PANTAI SENAK – Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak dibawa santai merehatkan minda mereka di sebuah pusat peranginan di Tok Bali, baru-baru ini.

Guru besarnya, Mohd Daud Salleh berkata, 109 calon UPSR tahun ini dibawa mengikuti program itu bagi memberi semangat kepada mereka untuk terus cemerlang terutama 16 murid sasaran mereka.

Beliau berkata, ia juga memberi peluang kepada mereka untuk terus fokus sekali gus memberi keyakinan untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan nanti.

“Tip untuk berjaya dan cemerlang tidak begitu sukar yang penting murid perlu sentiasa hadir ke sekolah, belajar dan buat ulangkaji. Latihan yang diberikan guru juga perlu diselesaikan bersungguh-sungguh.

“Sebab itulah setelah beberapa ketika belajar di sekolah kami bawakan murid untuk ikuti sesi rehat minda dan melepaskan tekanan, namun dalam masa sama tidak lupakan perjuangan mereka dalam akademik,” katanya.

Majlis perasmian program disempurnakan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Bachok, Mohd Faizul Yusoff.

Hadir sama, Penolong Kanan Pentadbiran SK Pantai Senak, Azizah Mohamad Zain. Mohd Daud juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang menjayakan program sehari itu.