BIMBINGAN secara berterusan kepada kanak-kanak disleksia antara yang diberi penekanan oleh Pusat Disleksia, Ampang dalam memastikan anak-anak ini tidak terus tercicir dalam
pelajaran dan dapat berjaya seperti kanak-kanak seusia mereka.

Pendekatan yang dilaksanakan ini membuktikan keprihatinan pihak yang berkenaan sekali gus mengelakkan jurang dalam kalangan masyarakat.

Menurut Koordinator Pusat Disleksia, Ampang, Hasnor Hassan, pusat disleksia itu adalah kelas intensif untuk anak-anak disleksia belajar dan memahami secara lebih  terperinci.
Mungkin jika di sekolah aliran perdana mereka dikategorikan sebagai murid yang lemah dalam pelajaran dan berada di kelas tercorot.

"Namun di sini kita akan memberi perhatian dalam penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira bagi mencungkil potensi diri mereka. Selain itu, kelas tekwondo pun turut disediakan bagi meningkatkan keyakinan diri.

"Di pusat disleksia keseimbangan akademikdan kokurikulum diberi penekanan yang sama rata. Sebagai contoh dalam tempoh setahun kita akan adakan aktiviti sukan tahunan, perkhemahan, konsert mencungkil bakat kanak-kanak dan aktiviti art & craft," katanya.

Hasnor yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang ini menyatakan terdapat dua sesi pengajaran (pagi dan petang) untuk kanak-kanak disleksia mengikutinya pada hari biasa.

Manakala untuk kelas Sabtu turut disediakan bagi ibu bapa yang ingin menghantarnya.

"Biasanya ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sini berdasarkan cadangan pihak sekolah dan mereka mendapat surat pelepasan khas. Dalam tempoh tiga bulan mengikuti kelas di
pusat ini, kad penilaian akan diberikan kepada ibu bapa untuk melihat prestasi anak mereka.

"Melalui cara ini guru dan ibu bapa boleh berbincang mengenai penyelesaian terbaik jika anak masih lemah dan tidak boleh mengikuti modul yang diajar. Bagaimanapun, bagi kanak-kanak disleksia yang telah mencapai sasaran ditetapkan, mereka boleh ke sekolah biasa untuk meneruskan pelajaran.

"Cuma jika ingin terus mempelajari modul khas, kita mengalu-alukan ibu bapa menghantar anak pada cuti hujung minggu (Sabtu)," ujarnya.

Hasnor

Teknik belajar mudah dan terkini

Tenaga pengajar seramai 15 orang dari pelbagai latar belakang kelulusan juga tunjang utama kepada Pusat Disleksia Ampang ini.

Sejajar dengan hasrat untuk membantu anak-anak disleksia berjaya, pelbagai teknik khas dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Contohnya untuk subjek bahasa Melayu, pengenalan kepada bunyi huruf (fonik) diutamakan.

Selain itu, bagi mata pelajaran Matematik, sukatan pelajarannya diambil daripada pihak kementerian dan juga beberapa teknik gabungan dari luar negara.

Dalam pada itu, Bahasa Inggeris pula kita gunakan teknik Fit2roy Reader (buku bacaan/latihan).

Kesemua mata pelajaran ini pendekatannya lebih kepada program interaktif.

Bermula dari asas, ia akan dikembangkan mengikut tahap penerimaan kanak-kanak itu.

Sementara itu, Hasnor berkata, ibu bapa yang disahkan mempunyai anak disleksia perlu segera mendiagnosis anak mereka dan membantu anak mendapatkan pendidikan yang terbaik.

Jika lambat peluang untuk mereka mendapat pendidikan sempurna mungkin akan ketinggalan.

"Usah berasa malu dengan tanggapan orang sekeliling tetapi perlu terbuka menerima pembaharuan demi kebaikan anak.

"Sebenarnya anak disleksia ini bukanlah dikategorikan anak yang cacat cuma membezakan mereka dengan anak normal yang lain adalah masalah gabungan seperti sebutan, tulisan, pendengaran, penglihatan dan pengecaman," ujarnya.