KOTA BHARU - Alumni Islah English School (PAIES) mengambil inisiatif menyumbangkan wang tunai dan al-Quran kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Islah,  di sini semalam.

Timbalan Pengerusi PAIES, Ab Halim Hassan berkata, biarpun sekolah berkenaan tidak meminta bantuan daripada pihaknya namun ia menjadi tanggungjawab alumni untuk bersama-sama membantunya.

“Biarpun bukan sekolah kami tapi disebabkan nama Islah itu sama dengan tempat kami menuntut ilmu dulu maka alummi perlu berganding bahu selagi termampu untuk bantu anak-anak murid di sini.

“Kami akan berusaha setakat mampu untuk pastikan keselesaan murid-murid di sekolah ini terbela. Nama sekolah ini sangat dekat di hati para Alumni.

"Insya-ALLAH kami akan bantu sedaya upaya kami,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan RM5,000 dan 60 naskah al-Quran kepada Penolong Kanan Pentadbiran, Alias Arifin dan hadir sama Yang Dipertua PIBG SK Islah, Wan Mohd Zuhdi Wan Abdullah.

Al-Quran tersebut adalah sumbangan daripada Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub juga Alumni PAIES.

Sementara itu, Alias berkata, sumbangan berkenaan akan dimanfaatkan untuk membeli barangan kelengkapan Madrasah Asyakirin SK Islah yang baharu siap dibina bagi kegunaan 1,400 murid sekolah berkenaan.

“Kami masih memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 untuk lengkapkan keperluan madrasah sekolah termasuk karpet dan berterima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan wang tunai dan juga al-Quran,” katanya.