Minat mendalam terhadap subjek Bahasa Inggeris dan pendedahan yang diterima sejak kecil menjadikan impian anak jati Ipoh, Perak ini untuk bergelar Pensyarah Bahasa Inggeris direalisasikan.

Nurulhayati Ilias mengakui, sering mendapat markah cemerlang dalam subjek itu selain dihantar bapanya ke sekolah aliran Inggeris, sangat membantu perkembangannya pada masa sama, pernah tinggal selama lapan tahun di Singapura membolehkannya bertutur bahasa itu dengan baik.

Memulakan kerjaya sebagai pendidik sejak 1997, Nurulhayati telah menimba banyak pengalaman mengajar di sekolah rendah, menengah dan kini pensyarah bahasa di Kolej Polytech Mara (KPTM), Ipoh.

Walau bagaimanapun katanya, kesemuanya memerlukan pendekatanyang berbeza kerana kebanyakan pelajar sejak dahulu hingga kini, masalah utamanya  mempunyai tahap malu yang tinggi untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Kemahiran bahasa Inggeris yang paling tinggi adalah pertuturan. Subjek ini bukan seperti mata pelajaran lain. Ramai yang anggap bahasa Inggeris perlu diajar. Guru tidak boleh ‘transfer’ pengetahuan, tetapi pelajar perlu paksa dan cabar diri untuk menggunakan bahasa itu.

“Walaupun berusia 19 tahun dengan tahap bahasa Inggeris darjah enam, tak perlu malu. Teruskan usaha untuk bercakap walaupun tatabahasanya berterabur. Kemahiran bahasa itu akan meningkat dengan sendirinya,” katanya.

Mengetuai pelajar Kolej Poly-Tech Mara Ipoh dalam program Bahasa Inggeris.

Pensyarah cetus minat menulis

Pemegang ijazah Sarjana TESL ini berkata, minat menulis dan melakukan kerja kajian mula disemai sejak menyambung pengajian di peringkat sarjana muda di UiTM Seri Iskandar, Perak.

Nurulhayati tidak menafikan, pensyarahnya semasa di UiTM Seri Iskandar, Dr Airil Haimi Mohd Adnan, banyak membantunya sepanjang bergelar mahasiswa malah sehingga kini masih berhubung dan bekerjasama dalam bidang penulisan dan program berkaitan dengan pengajiannya.

“Saya yakin melalui penulisan banyak perkara boleh saya kongsi dengan orang ramai terutama pelajar dan guru. Idea atau ilham bukan sesuatu yang sukar untuk diperoleh namun ia adalah daripada pemerhatian, pengalaman, tip dan lain-lain.

“Selain telefon bimbit, saya selalu bawa buku kecil dan pen untuk tulis apa sahaja yang saya ingat sebagai draf,” katanya.

Bersama keluarga tercinta.

Hasil lapan buku sejak 2014

Ibu kepada empat cahaya mata ini yakin usaha dan minatnya menulis berjaya menghasilkan lapan buah buku; tujuh buku Bahasa Inggeris dan satu lagi dalam Bahasa Melayu.

Jelasnya, selepas ini dia akan menambah koleksi buku bahasa Melayu kerana sudah puas menulis buku bahasa Inggeris.

“Tiada sasaran jumlah buku yang saya nak hasilkan tetapi saya akan pastikan sekurang-kurangnya satu buku setahun.

“Sehingga kini, 30 artikel kajian dan dua jurnal antarabangsa telah diterbitkan. Saya bertuah kerana pihak KPTM turut memberi sokongan dan menghantar saya ke persidangan atau konvensyen pendidikan untuk meluaskan lagi pengalaman,” katanya.

Nurulhayati berkata, selain buku ilmiah, dia yang juga ahli seumur hidup Persatuan Karyawan Perak turut mengembangkan bakat penulisannya dalam karya eceran iaitu sajak 'Cukupkah Aku dengan Apa yang Ada' (2015) dan 'Senyumlah-Masih Ada yang Sayang' (2016).

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2014 dan 2016 ini turut berkongsi bagaimana dia menguruskan bidang penulisan selain kerja hakiki.

Pada pandangannya, jika diikutkan kerja sama ada di pejabat atau di rumah tidak pernah habis untuk disiapkan, namun sedikit masa yang diperuntukkan untuk berehat itu boleh digunakan sebaik mungkin.

“Jangan tunggu semua perkara selesai, baharu duduk depan komputer untuk buat buku. Kita takkan siap buku dalam satu hari. Tip mudah daripada saya, setiap kali ada idea berkaitan isu yang akan diterbitkan, terus catat atau draf di komputer.

"Apabila ada masa, semua draf itu disusun dan ditambah baik.. akhirnya siap sebuah buku,” katanya.

Kata Nurulhayati, beliau akan melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah dan kini masih mencari tajuk yang sesuai untuk kajian saya nanti.

"Saya yakin usaha dan sokongan keluarga mampu membawa saya lebih jauh dalam bidang pendidikan.

“Saya yakin dengan pembelajaran sepanjang hayat walaupun saya baharu sahaja bergelar nenek, ia tidak akan memadamkan semangat saya untuk memperoleh PhD,” katanya yang bakal mendaftar sebagai mahasiswa peringkat PhD di UiTM Shah Alam.

Anak ketiga daripada enam beradik itu bercita-cita membuka sebuah pusat bahasa selepas bersara untuk pelajar atau sesiapa sahaja menguasai bahasa Inggeris selain berhasrat menghasilkan penulisan mengenai feminisme yang islamik.