Kalau tanya cita-cita murid sekarang, ramai yang angkat tangan nak jadi cikgu.

Mereka faham, jadi cikgu cukup senang. Keluar pagi, tengah hari dah boleh balik rumah.

Mungkin dulu caranya begitu buat sang pendidik. Semua mudah dan tak perlu nak stres banyak.

Tapi sekarang, ramai guru sudah kelihatan pening kepala dengan beban dan tanggungjawab yang diberikan. Mungkin ada yang terkejut, namun tak kurang juga yang pasrah.

Ikuti luahan Cikgu Mohd Fadhli Salleh melalui facebooknya @Mohd Fadhli Salleh mengenai kerjaya guru yang disandangnya kini...

“Kau bersungguh-sungguh sangat mengajar buat apa? Gaji sama juga orang rajin dengan yang biasa-biasa.”

Soal mengajar, soal kerja buat, soal melayan budak-budak, bukan soal gaji pada aku. Bukan juga soal nak tunjuk baik, nak tunjuk rajin, nak tunjuk bagus.

Soalnya tentang minat. Soalnya tentang tanggungjawab. Soalnya ini antara yang ditanya di akhirat kelak. Sama ada aku sungguh-sungguh galas amanah ini atau buat sambil lewa.

Paling penting, setiap kali aku tatap anak-anak aku, aku harap mereka diajar oleh sang guru yang sama seperti aku. Malah, guru yang jauh lebih hebat dan berdedikasi dari aku.

Aku berharap, sebagaimana aku ajar anak orang lain, begitu juga orang lain akan ajar anak-anak aku.

Sepertimana aku berkejar untuk membalut luka murid yang cedera, bilamana anak aku cedera pun orang berkejar begitu juga.

Sepertimana aku memujuk dan mengelap air mata anak-anak didik aku, seperti itu juga ada insan sudi memujuk dan mengelap air mata anak-anak aku.

Sepertimana aku tak pernah membiarkan anak-anak murid aku kelaparan, seperti itu juga Tuhan hantar sesiapa sahaja menyuap anakku makan saat dia kebuluran.

Kerana aku takkan sentiasa ada untuk mereka.

Dan, aku cuma berharap ada doa yang dikirim buatku oleh anak-anak didik aku suatu hari nanti.

Saat aku tidak lagi mampu menadah tangan untuk berdoa. Saat aku sangat memerlukan secebis doa di alam sana.

Menjadi guru itu bukan sekadar pekerjaan bagi aku. Itu darah daging dan jiwa aku. Itulah kecintaanku.

Begitulah.

Mohd Fadli Salleh,

0245am,

7 Feb 2018.

#MFS