Sesi persekolahan 2017 baru seminggu bermula. Jika sepanjang anak-anak bercuti Ummi boleh berlengah-lengah di pagi hari, tapi bila sekolah kembali dibuka, paling lewat jam 4 pagi mata Ummi perlu sudah celik. Ummi perlu segera turun dari katil.

Anak-anak pula perlu bangun paling lewat jam 6 pagi. Membersihkan diri, bersiap lengkap, solat Subuh dan kemudian memeriksa beg untuk memastikan tiada buku atau barangan yang tinggal sebelum melangkah ke sekolah.

Ummi akan bangun selewatnya dua jam lebih awal daripada anak-anak. Selesai tahajud, Ummi tidak boleh berlengah-lengah. Sarapan untuk anak-anak mengisi perut sebelum ke sekolah perlu disediakan.

Ummi juga perlu memasak untuk bekalan anak-anak juga hidangan makan tengah hari supaya bila anak-anak pulang sebelum ke sekolah semula untuk sesi petang, mereka tidak melangkah keluar rumah dengan perut kosong.

Ummi pasti, ibu-ibu di luar sana pun sama seperti Ummi. Menjadi orang paling awal bangun dan menjadi ahli keluarga paling akhir berbaring dan melelapkan mata.

Nampak macam tugasannya amat berat. Namun, jika kita lakukan dengan niat ‘kerana ALLAH Ta’ala’ , semuanya akan jadi ringan. Dan insya-ALLAH, ganjaran yang menanti amat besar.Melihat anak-anak lengkap berpakaian sekolah, Ummi teringat peristiwa ketika Atif baru berusia tujuh tahun.

Atif ketika itu suka sekali bermain doktor-doktor. Sampai  tutup cerek Ummi pun diambilnya untuk dijadikan peralatan rawatannya.

Atif pernah kata kepada Ummi: “Atif akan belajar rajin-rajin dan bersungguh. Jika Atif sudah besar nanti Atif mahu jadi doktor. Bila nanti Ummi sakit,  Atiflah yang akan merawat Ummi.” Ummi terharu mendengar janji Atif.

Ummi minta maaf sekiranya Ummi terlalu mendesak Atif dan adik-adik untuk belajar bersungguh-sungguh. Malah, terkadang Ummi sering memarahi kalian. Tapi jujur... sebenarnya itu semua Ummi lakukan agar anak-anak Ummi dapat mencapai apa yang kalian impikan.

Atif rajin belajar. Ummi tak perlu meragukan kepintarannya.

 

Ummi pernah tanya semua anak-anak tentang cita-cita mereka. Ada yang menjawab doktor, jurugambar, ahli perniagaan dan macam-macam lagi keluar dari mulut mereka. Tak cukup satu, seorang punya dua tiga cita-cita. Tapi ada anak Ummi yang menjawab ‘saya tidak tahu’. Dan kemudian menambah, saya tidak mahu jadi sesiapa.

Ya, yang memberi jawapan sedemikian adalah Sumaiya.

Tapi, Ummi tidak puas hati dengan jawapan itu. Lalu Ummi mendesak dah akhirnya Sumaiya menjawab:

“Kalau adik jadi penjaga taska boleh tak? Boleh ajar budak-budak menyanyi, menari dan bermain.

“Duduk rumah, masak di dapur, bacakan cerita untuk anak-anak kecil,  malam-malam bawa mereka ke padang untuk melihat bintang... macam tu pun seronok kan.”

Itu yang ada di fikiran Sumaiya yang masih suci dan jernih. Fikiran seorang Sumaiya yang suka membuat origami, suka melukis dan mewarna.

Jawapan yang Sumaiya beri bagi Ummi umpama satu jenaka yang keluar dari mulut anak kecil.

Ummi masih ingat kata ustazah pra sekolah Sumaiya dahulu.

“Sumaiya suka bantu orang. Selalu bantu saya, bantu kawan-kawan. Selalu buat lawak, selalu beri semangat dan menghiburkan orang lain.”

Pernah juga waktu kakak-kakak dan saudara sepupu-sepapatnya yang lain sedang tutup-tutup mata, menonton video filem seram, Sumaiya dengan selamba berkata;

“Eelehhh, cerita je pun. Korang takut sangat ni kenapa...” sambil ketawa kecil. Sewaktu itu usia Sumaiya baru sekitar empat tahun.

Pernah juga Ummi bergurau dan katakan kepada Sumaiya, “Adik nak jadi pelawak ke?”

Sumaiya yang sedang bermain menoleh dan berkata, “Kalau pelawak buat persembahan atas pentas, tentu ada orang tepuk tangan kan. Adik nak jadi orang yang tepuk tangan tu saja lah  Ummi.”

Ummi sebenarnya terkejut dengan jawapan ini. Walaupun ia seperti biasa, namun hati Ummi benar-benar tergugah.

Di dunia ini ramai yang bercita-cita ingin dikenali. Namun Sumaiya memilih untuk menjadi orang yang tidak dipandang sesiapa.

Seperti akar sepohon tanaman, tidak kelihatan, tapi akar itulah yang mengukuhkan segenap pokok.

Jadi, jangan paksa anak kita untuk jadi apa yang kita mahu.

Jika apa yang dipilihnya membolehkan dia hidup sihat, bahagia, tidak melanggar norma kehidupan dan agama, mengapa anak kita tidak boleh menjadi seorang biasa yang berhati baik  dan jujur...