Tanggungjawab yang digalas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Sabak Bernam bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi terpaksa berdepan dengan segelintir masyarakat yang memandang sinis usaha mereka untuk membawa penagih dadah pulang ke pangkal jalan.

Namun semua itu tidak mematahkan semangat Mohd Najib Al Puad Morshidi, 53, untuk terus berbakti kepada masyarakat agar gejala penagihan yang menjadi duri dalam daging dan menghantui negara ini dapat dibanteras.

Biarpun usaha murni itu dipandang serong, Mohd Najib tidak menoleh ke belakang, sebaliknya meneruskan tekad dan gerak kerja untuk membantu memulihkan golongan penagih agar kembali menjalani kehidupan normal.

Mohd Najib berkata, stigma segelintir masyarakat yang menganggap penagih dadah sebagai ‘sampah’ masyarakat harus dikikis kerana mereka berhak untuk dilayan sebagaimana manusia lain.

Menurut beliau, walaupun pelbagai cemuhan dilemparkan terhadap penagih termasuk mengasingkan mereka daripada masyarakat, namun itu bukanlah jalan penyelesaian dalam menangani isu penagihan dadah di negara ini.

“Macam-macam cemuhan saya dengar daripada mulut masyarakat. Ada kata, mengapa nak pulihkan penagih dan kenapa tak tembak sahaja mereka atau asingkan saja mereka di pulau? Saya kata kepada mereka, selagi mereka ini manusia, kita kena layan mereka sebagai manusia. Inilah jihat kita. Bila seseorang itu dah terjebak (dadah) mereka ini enam kali kerinduan daripada perkara lain.

“Mengikut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) penagih dadah adalah pesakit. Jadi bila pesakit, mereka mesti dirawat. Berbeza penagih yang ada rekod jenayah, itu mesti didakwa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau yang juga guru Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Rahah berkata, beberapa pendekatan diambilnya sejak memegang jawatan itu pada tahun 2009.

“Terdapat tujuh garis panduan yang kami laksanakan bagi program kepada bekas penagih merangkumi rawatan dan pemulihan, pencegahan dalam komuniti, latihan dan kaunseling, pencegahan relaps, kewangan dan ekonomi, kesenian, kebudayaan dan sukan serta hari kebesaran Islam,” katanya.

Mohd Najib menyertai operasi memusnahkan sarang penagih di Bagan Sungai Besar.

Manusia terbaik beri manfaat

Berpegang pada prinsip, manusia terbaik ialah yang memberi manfaat kepada orang lain, Mohd Najib tekad meneruskan usaha dakwah kepada bekas penagih agar mereka tidak terus menyimpang dari landasan kehidupan.

“Maknanya kita mesti ada sikap tanggungjawab pada masyarakat. Kalau bukan kita membantu mereka siapa lagi? Sejahat mana manusia, dia akan mencari tuhannya. Saya yakin suatu hari nanti, ada dalam kalangan mereka akan sedar.

“Saya dan rakan lain dalam JKPD Sabak Bernam hanyalah berusaha dan bantu mereka, tetapi menyembuhkan dan beri hidayah adalah ALLAH. Sebab itu, kami mesti bantu mereka. Sudahlah disisihkan masyarakat, dibuang manusia pula,” katanya.

Tanpa menoleh ke belakang Mohd Najib berkata, pihaknya tidak hanya menunggu dana kewangan semata-mata, sebaliknya berusaha untuk mencari sumber kewangan bagi menggerakkan sesuatu program.

“Alhamdulillah, usaha murni kami ini mendapat sokongan penuh wakil rakyat di daerah ini serta bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor.

“Mereka inilah yang banyak bantu mengendalikan program yang berkaitan penagihan dadah,” katanya.

Penagih dadah dalam kalangan kanak-kanak

Mengulas mengenai isu penagihan dadah di daerah Sabak Bernam, Mohd Najib memberitahu, terdapat pelbagai kategori umur mereka yang terjebak dengan aktiviti tidak sihat itu.

“Gejala ini bukan saja melibatkan remaja, tetapi kanak-kanak pun ada yang terlibat. Saya pernah berhadapan dengan seorang datuk yang mempunyai seramai 13 cucu masih menagih dadah hingga pernah dimasukkan ke tujuh pusat pemulihan, namun masih tiada kesedaran,” katanya.

Beliau berkata, mengikut laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sabak Bernam, terdapat lebih 500 Orang Kena Pengawasan (OKP) di daerah itu pada tahun 2017.

“Kita lihat AADK aktif banteras kegiatan dadah daripada terus berleluasa,” katanya.

Penerima Anugerah Khas pada Majlis Anugerah Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDA) Negeri Selangor 2017 ini berkata, masalah ketagihan dadah tidak dapat diselesaikan jika diri penagih itu sendiri tidak mahu berubah.

“Sebab tu kita adakan pelbagai aktiviti libatkan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan. Kita bantu mereka kembali dalam masyarakat,” katanya.

Mohd Najib bergambar bersama-sama jawatankuasanya pada majlis jamuan hari raya.