Seorang guru dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu berjaya meraih Anugerah Princess Maha Chakri (APMC) Tahun 2017 yang diadakan di Centara Grand and Bangkok Convention Central, Central World Bangkok, Thailand pada 11 Oktober lalu.

Saripah Embong, 54, telah berkhidmat sebagai guru selama 34 tahun bermula 1983 dan mata pelajaran utama yang diajarnya adalah Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) selain subjek Schoolwide Enrichment Model (SEM), Sains, Matematik dan Teknologi Maklumat.

Menurutnya, beliau bersyukur menerima anugerah itu dan teruja serta tidak percaya berikutan terdapat persaingan hebat antara empat calon finalis dari Malaysia.

Tambahnya, dalam pertandingan itu, finalis perlu melalui proses demi proses bermula dari pengisian borang pada akhir Disember 2016, verifikasi oleh pengurusan tertinggi KPM, penyediaan dan bahan pameran hingga ke lawatan Sekretariat Princess Maha Chakri Award Foundation ke sekolah pada 6 September lalu.

“Kesabaran sepanjang menunaikan tugas utama sebagai guru di samping menjalankan tugas sampingan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini.

"Saya pegang pada prinsip 'setiap murid mempunyai potensi diri yang mampu digilap'. Saya juga amalkan kaedah pengajaran menyeronokkan dalam kelas dan mendidik penuh kecaknaan serta kasih sayang," katanya yang berasal dari Bukit Besar, di sini.

Pada majlis itu, beliau menerima wang tunai USD10,000 dolar, piala, medal, kerongsang emas lencana PMCA Foundation, sijil anugerah dan sijil ucapan daripada HRH Princess.

Saripah Embong semasa menerima Anugerah Princess Maha Chakri  (APMC) Tahun 2017 yang diadakan di Centara Grand and Bangkok Convention Central, Central World Bangkok, Thailand pada 11 Oktober lalu.

 

Mahu bimbing pasukan reka cipta sekolah

Saripah berkata, beliau berharap dengan kemahiran sedia ada itu membolehkannya membimbing pasukan reka cipta dan inovasi sekolah atau institusi lain selaras dengan peranan sebagai ahli seumur hidup Malaysia Research and Innovation Society (MyRIS), satu badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Universiti Malaysia Perlis (Unimap) serta sebagai Pakar Rujuk Pembangunan Inovasi Bahagian Pendidikan Islam KPM.

"Saya juga akan pastikan pencapaian gemilang mampu dicapai oleh anak murid dalam subjek diajar dan pada masa sama mampu membimbing rakan setugas di sekolah sama mahupun dari sekolah lain," katanya.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sehingga memenangi anugerah itu.

Seorang pencalonan dari setiap negara

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pendidikan dari 11 negara South Asean Minister Education Organization (SEAMEO) bertanggungjawab untuk pemilihan penerima anugerah di mana hanya seorang pencalonan dari setiap negara.

“Calon berkelayakan, pencalonan dan kriteria pemilihan, tempoh dan proses ditentukan oleh jawatankuasa Yayasan Anugerah Princess Maha Chakri. Keputusan akhir ditentukan oleh Jawatankuasa Yayasan Anugerah Princess Maha Chakri dan Kementerian Pendidikan setiap negara.

“Objektif APMC ini  untuk mengiktiraf sumbangan cemerlang sehingga ke peringkat antarabangsa dan dedikasi guru dalam bidang pendidikan yang telah mentransformasikan dan memperkembangkan potensi pelajar serta memberi sumber inspirasi kepada rakan guru yang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, beliau bangga pencapaian itu kerana ia selaras dengan elemen transformasi pendidikan yang dibawa oleh Jabatan Pendidikan iaitu transformasi guru dalam memperkasakan transformasi pendidikan (MTP).

Penerima kedua dari Malaysia

Sementara itu, APMC adalah anugerah peringkat antarabangsa yang diberikan oleh Kerajaan Thailand kepada guru sekolah dari negara anggota SEAMEO yang berdedikasi dan menunjukkan pencapaian istimewa dalam bidang perguruan.

Seramai 11 orang guru dari setiap negara Asean termasuk Timor Leste menerima anugerah itu.

Kali pertama anugerah diperoleh adalah Zainudin Zakaria dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur dan Saripah adalah penerima kedua dari Malaysia.

Saripah juga pernah diiktiraf sebagai Guru Cemerlang (GC) subjek KHB pada 2010 hingga 2017 dan sepanjang perkhidmatan telah memperoleh Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak enam kali.