Bagi atlet, dapat beraksi di gelanggang ternama tentunya satu pengiktirafan buatnya walaupun misi sebenar memburu juara.

Mari kita lihat 10 gelanggang skuasy tercantik di dunia semoga menjadi inspirasi kepada pelajar.

Agak-agak yang mana kami idamkan untuk beraksi.

1. Great Pyramid of Giza, Mesir

Pada 1996 dan 2016, kejohanan Skuasy Antarabangsa Al-Ahram pernah berlangsung di sini. Gelanggang berlatar belakangkan tujuh keajaiban dunia menjadi antara venue tercantik sukan berkenaan.

2. Hurghada, Mesir

Satu lagi gelanggang tercantik di Mesir kerana dibina di tepi pantai yang pastinya mampu menggamit ramai pengunjung dan peminat skuasy untuk menyaksikan perlawanan di sini. Antara kejohanan yang pernah berlangsung ialah 2011 Hurghada International.

3. Plaza Hollywood Mall, Hong Kong

Gelanggang ini dibina dalam kompleks beli-belah Plaza Hollywood Mall yang terletak di Diamond Hill, Kowloon East, Hong Kong. Ia antara gelanggang skuasy yang menarik di Hong Kong dan antara kejohanan yang pernah berlangsung ialah Terbuka Hong Kong. Ratu skuasy negara Datuk Nicol David menjadi antara pemenang yang paling banyak merangkul gelaran juara di sini.

4. The Magnificent Mile, Chicago

Berlatarbelakangkan bangunan cantik di Chicago, gelanggang Magnificient Mile dianggap antara tercantik di Amerika Syarikat. Antara kejohanan yang pernah berlangsung di sini ialah Terbuka Amerika Syarikat pada 2009.

5. Express Avenue Mall, Chennai

Satu lagi gelanggang yang dibina dalam kompleks beli-belah menjadi lokasi tumpuan peminat skuasy di India kerana keunikan seni binanya. Antara kejohanan yang pernah berlangsung di sini, Piala Dunia Persekutuan Skuasy Dunia pada 2011.

6. Antwerp, Belgium

Gelanggang skuasy di Handelsbeurs Stock Exchange, Antwerp ini dianggap tercantik di dunia kerana keunikan seni bina bangunannya. Kejohanan Skuasy Terbuka Lelaki Dunia pernah berlangsung di sini pada 2002.

7. Luxor Temples, Mesir

Mesir tidak pernah jemu untuk menghasilkan gelanggang skuasy tercantik di dunia. Gelanggang terletak di Luxor Temples ini adalah antara yang menarik pernah disaksikan peminat skuasy. Pada 2010 pernah dianjurkan Kejohanan Red Bull Squash Temple di sini.

8. San Francisco, California

Gelanggang skuasy ini dibina berlatarbelakangkan pelabuhan dan jambatan San Francisco yang cantik di waktu malam. Gelanggang kaca ini terletak di South Lawn, Justin Herman Plaza dan antara kejohanan besar yang pernah berlangsung, Terbuka NetSuite pada 2012 dan 2013.

9. Grand Central Terminal, New York

Gelanggang ini dianggap antara yang ikonik kerana pernah menjadi lokasi pertama diperkenalkan gelanggang kaca pada 1995. Kejohanan besar yang biasa berlangsung di sini ialah J P Morgan yang diadakan pada Januari setiap tahun sebagai simbolik minggu skuasy di New York.

10. Tsim Sha Tsui, Hong Kong

Gelanggang skuasy di Tsim Sha Tsui adalah antara gelanggang tepi laut tercantik pernah dibina di Hong Kong. Antara kejohanan yang pernah berlangsung di sini ialah Kejohanan Wanita Dunia pada 2005.