Pengalaman dilalui 15 guru Matematik dan Sains ini amat mahal hingga tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Mereka antara beratus ribu guru di Malaysia yang terpilih mengikuti program angkasawan Honeywell Educators at Space Academy (Hesa), di Alabama, Amerika Syarikat.

Program selama seminggu anjuran bersama Honeywell (NYSE: HON) serta Pusat Angkasa dan Roket US atau US Space & Rocket Center (USSRC) pada Jun 2016 dan 2017 meninggalkan kenangan tidak akan dilupakan.

Pada program itu, guru tersebut perlu jalani latihan selama 45 jam bagi pembelajaran di bilik darjah dan makmal, yang beri tumpuan khusus terhadap sains dan eksplorasi angkasa.

Mereka perlu mengambil bahagian dalam latihan ala angkasawan seperti simulasi jet berprestasi tinggi, misi angkasa berasaskan senario, cabaran pengekodan, latihan jaya diri di darat dan air serta program dinamik pesawat interaktif.

Melalui kesemua latihan ini, mereka mempelajari kaedah bagaimana menceriakan bilik darjah dengan idea, pelajaran dan pelbagai bahan lain.

Menurut Presiden Honeywell Asean, Briand Greer, sebagai syarikat peneraju teknologi dan perisian, Honeywell memberi penekanan yang tinggi dalam mendidik generasi baharu saintis dan jurutera.

"Kami gembira kerana dapat menyediakan peluang ini kepada guru yang terpilih dari Malaysia.

"Penambahan jumlah guru yang terpilih dari rantau Asean sangat memberangsangkan. Ia membuktikan dan mengukuhkan komitmen kami terhadap perkembangan bakat serta pembangunan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) di rantau ini,” katanya.

Menurutnya, peserta terpilih telah melengkapkan proses permohonan yang ketat.

Guru yang berkelayakan telah dianugerahkan biasiswa, tambang penerbangan pergi dan balik, tuisyen, makanan dan tempat tinggal, semuanya hasil sokongan yang berterusan daripada Honeywell dan kakitangannya.

GPSBestari berpeluang menemu bual beberapa guru yang terpilih mengikuti program Hesa 2016 dan 2017. Jom kita berkongsi pengalaman bersama mereka..

Pengalaman terbaik

Nur Azrina Azmi, 28, merupakan guru yang terpilih menyertai program Hesa.

Mengajar subjek Sains dan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, Nur Azrina berkata, penyertaannya dalam Hesa cukup bermakna sepanjang dia bergelar pendidik.

“Ia adalah salah satu pengalaman terbaik kerana kami didedahkan kepada suatu pengalaman yang tidak dapat dijangka. Bukan itu saja, salah satu keindahan program ini adalah dapat berjumpa dengan guru lain yang juga mahukan terbaik,” ujarnya.

Nur Azrina

Sepanjang berada di sana, graduan lulusan University Of Nebraska-Lincoln (sarjana muda) dan Universiti Utara Malaysia (sarjana) ini berkata, pelbagai aktiviti menarik dan hebat telah disediakan.

“Kami melalui misi berkumpulan yang mana perlu melakonkan senario apabila angkasawan mendarat di Marikh, melancarkan kapal angkasa dan juga membawa pulang angkasawan dengan selamat.

“Saya dan peserta juga merasai bagaimana angkasawan dilatih menggunakan kerusi graviti 1/6 yang membolehkan kami merasakan situasi berjalan di bulan," katanya.

Lebih mencabar kata Nur Azrina, beliau berpusing di Multi Axis Trainer, mesin yang sama melatih angkasawan untuk mempersiapkan diri dengan masalah disorientasi yang mungkin akan dirasai apabila mereka masuk semula ke atmosfera bumi.

Dirinya terinspirasi apabila bertemu insan yang menakjubkan dari Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (Nasa) tidak kiralah angkasawan yang sudah bersara ataupun jurutera angkasa lepas.

“Saya rasa ia amat penting untuk belajar mengenai insan yang memberi inspirasi dan memahami bagaimana mereka menjadi diri sendiri serta berjaya cipta kejayaan luar biasa.

“Sebab itu, amat penting buat pelajar saya belajar mengenai insan yang memberi inspirasi supaya boleh membantu mereka mengukir masa depan cerah kelak,” ujarnya.

Justeru, Nur Azrina memasang impian untuk menyaksikan pendidikan negara ini dikenali pada peringkat global sebagai pendidikan berkualiti dan inovatif, yang juga dapat diberikan kepada semua pelajar secara sama rata.

Cabaran paling seronok

Beliau tidak pernah termimpi untuk mengikuti program kursus angkasa lepas di Alabama, Amerika Syarikat.

Namun, bila mengetahui yang diri terpilih menyertai program Hesa, ini katanya..

“Sangat bertuah, begitu teruja dan antara kemuncak hidup saya sebagai pendidik. Saya harap ilmu yang diperoleh dapat dikongsi dengan semua,” kata Suwiti Abd Ranee dari Sekolah Kebangsaan (SK) St Mary, Kuching, Sarawak.

Suwiti membina roket ketika sesi latihan.

Merupakan guru mata pelajaran Sains, Suwiti telah menyertai pelbagai aktiviti yang menguji mental dan fi zikal di sana.

Antaranya, simulasi angkasa iaitu Misi Mars dan Misi Leo (Low Earth Orbit); cabaran pengekodan menggunakan mikro komputer Raspberry Pi yang dimasukkan dalam roket untuk merekod kelajuan; halaju dan jarak roket terbang.

Mereka didedahkan dengan Bahasa Pengaturcaraan Raspian untuk mengekod data dalam roket yang telah dibina.

Berpeluang memegang replika Stesen Angkasa Cupola.

Beliau juga melakukan aktiviti simulasi latihan angkasawan; latihan jaya diri laut:'zipline', aktiviti menyelamat dalam air dan cabaran berkumpulan.

Semua simulasi itu memberi pengalaman yang cukup menakjubkan.

Selepas mengikuti Hesa, Suwiti kemudiannya menjalani tugas seperti biasa dan berkongsi pengalaman dengan warga sekolah.

Selain SK St Mary, Kuching, beberapa sekolah lain turut menghubungi Suwiti dan memintanya untuk berkongsi pengalaman beliau bagi pengisian aktiviti pasca Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Selain sekolah, saya turut dijemput pihak tertentu untuk bercerita mengenai latihan angkasawan di Alabama.

"Misalnya pada 12 Ogos lalu, saya berkongsi sedikit pengalaman sempena Bengkel Bergerak Pesta Sains Kejuruteraan Kuala Lumpur (KLESF) Kota Samarahan atas jemputan Might.

"Penasihat Sains Perdana Menteri, Profesor Tan Sri Zakri Abd Hamid telah membuat perkongsian Why I want to be a Scientist? dan saya telah dijemput oleh beliau ke pentas untuk
berkongsi pengalaman dan menjawab pertanyaan peserta,” ujarnya.

Suwiti ketika mengikuti Misi Leo yang mana beliau dilantik sebagai Mission Specialist Officer.

Besar harapan Suwiti agar lebih ramai guru di negara ini menyertai program sebegini kerana ia membuka mata dan minda mereka sebagai pendidik.

"Program ini boleh menyemarakkan semula semangat guru untuk menerokai bidang Sains yang tidak terhad kepada buku teks sahaja, membolehkan guru menjadi inspirasi kepada murid bahawa guru Sains mereka telah melalui latihan angkasawan dan berharap murid bercita-cita menjadi jurutera angkasa serta angkasawan suatu hari nanti,” katanya.

Cara terbaik ajar Stem

Memohon dalam masa seminggu sebelum tarikh tutup, benar-benar membawa tuah buat Chong Mei Ching, 26 dari SMK Subis, Batu Niah, Sarawak.

“Saya follow apa yang diperlukan dalam permohonan tersebut.

“Menyiapkan karangan dan sertakan beberapa dokumen yang diperlukan. Keseluruhannya, proses permohonan berjalan lancar dan saya terpilih. Ia satu luck,” kata graduan Imperial College London.

Mei Ching dalam sut angkasawan Nasa.

Terpilih untuk ke sana, cukup membanggakan semua peserta kerana mereka dapat melalui sendiri pengalaman menjalani aktiviti Stem dalam pelbagai teknik pembelajaran.

“Sebagai seorang guru, saya percaya bahawa ini adalah cara terbaik untuk mengajar subjek Stem – mencabar pelajar secara intelektual dan fi zikal.

“Sesetengah pendekatan kelas yang saya rasakan cukup bagus adalah: mengajar proses purifi kasi air dengan membenarkan pelajar melakukan sendiri eksperimen purifi kasi air," katanya.

Kata beliau, guru boleh menunjukkan langkah purifikasi air sebelum membandingkan dengan yang dilakukan di angkasa lepas.

Proses purifikasi air di angkasa lepas adalah lebih mencabar kerana kekurangan bahan dan ruang.

"Kemudian, mereka perlu merancang apakah bahan yang akan mereka gunakan dan perlu mengikut bajet yang telah ditetapkan apabila mengusulkan eksperimen ini kepada guru,” katanya.

Kontrak Mei Ching bersama sekolah berakhir selepas dua tahun dan kini beliau bekerja di Arus.

Arus adalah suatu perniagaan sosial yang menggalakkan aktiviti digital dan pergerakan Stem.

Di sini, Mei Ching telah menganjurkan tiga kem angkasa lepas pada 2017 dan baru sahaja menganjurkan kem keempat, baru-baru ini.

Lalui 27 jam penerbangan dalam bulan puasa

"Saya mengetahui mengenai program Hesa apabila beberapa rakan guru sebelum ini pernah menyertai Hesa pada 2015 dan 2016.

"Melihatkan keseronokan dan kisah menakjubkan yang dikongsi dengan rakan guru yang lain, membuatkan saya berani untuk mencuba," kata Puteri Nazatulsima Megat Zulkifle, 30.

Puteri Nazatulsima ketika pemindahan gas Oksigen dan Nitrogen dari kapal angkasa ke ISS.

Beliau kemudian mengisi borang permohonan dan perlu menjawab beberapa soalan, antaranya soalan berbentuk pendidikan Stem di Malaysia dan bagaimana program beri manfaat kepada guru dan pelajar.

Puteri Nazatulsima mengajar subjek Sains dan Geografi di SMK Pujut, Miri, Sarawak dan menjadikan Sharon Charista Mc Auliffe sebagai idola.

Menurutnya, ketika umat Islam menjalani ibadah puasa yang ke-25, dia dan peserta lain mula bertolak ke Amerika Syarikat dan tempoh penerbangan lebih kurang 27 jam, iaitu dari Miri ke Kuala Lumpur; Kuala Lumpur ke Incheon; Incheon ke Detroit; Detroit ke Atlanta dan Atlanta ke Hunstville.

Puteri Nazatulsima dilantik sebagai Mission Commander.

“Ini pengalaman penerbangan solo pertama saya ke Amerika dan ia sangat mengujakan," katanya.

Sepanjang menjalani latihan di USSRC, tiada sebarang kesukaran yang dihadapi malahan dia bersyukur kerana dapat menimba ilmu serta mencuba pelbagai aktiviti.

Menjalani stimulasi zero graviti.

“Walaupun ketika itu semua umat Islam menyambut Aidilfitri, tetapi kekosongan hati terisi dengan aktiviti dijalankan,” katanya.

Semangat mengajar

Selepas pulang daripada latihan di USSRC, beliau bersemangat melakukan aktiviti luar kelas dan projek bersama pelajar.

Beliau juga mendapat banyak idea menarik dan sumber PDPC yang boleh diaplikasikan dalam kelas seperti DarkStar, Marshmallowchallenge dan Air Partice in Bottle.

Insya-Allah, guru ini akan lakukannya secara berperingkat.

Puteri Nazatulsima sebenarnya belum berpeluang menggayakan uniform penerbangan ke kelas kerana terikat dengan peraturan pemakaian di sekolah.

"Rakan-rakan dari negara lain sudahpun menggayakannya. Mungkin saya akan memakai uniform ini ketika mengadakan aktiviti roket air bersama pelajar tidak lama lagi," jelasnya.

Sementara itu, inisiatif Honeywell mengambil langkah proaktif dengan melabur dalam modal insan dan generasi akan datang harus diberi pujian.

“Saya berharap ramai lagi mengambil langkah sama dalam membantu jamin peningkatan kualiti pendidikan dan taraf sosial generasi akan datang," katanya.

'Tak sangka terpilih kerana saya hanya guru biasa'

"Saya hanyalah guru biasa yang mengajar di kawasan luar bandar. Untuk menyertai program besar sebegini, mungkin sekadar mimpi walaupun dalam hati begitu teringin untuk sertai," kata Saimma Ahmad, 34, guru SMK Syed Ahmad, Tambun Tulang, Arau, Perlis.

Mengenai tawaran mengikuti Hesa, Saimma akui ia satu kejutan luar biasa.

"Ia ibarat bulan jatuh ke riba. Tidak pernah saya impikan dapat menjejakkan kaki ke luar negara terutamanya ke USSRC.

"Siapalah saya kerana saya hanya guru biasa yang tidak dikenali. Saya mungkin satu dalam sejuta permohonan yang dihantar kepada Hesa dari seluruh dunia. Tapi, mungkin ini rezeki ALLAH, dan saya sangat bersyukur," kata Saimma.

Saimma dalam sut angkasawan sebenar ketika aktiviti berkumpulan.

Graduan lulusan Bacelor Sains dengan Pendidikan (Kepujian) Biologi, UPM berkata, ini kali pertama dia melangkahkan kaki ke bumi asing. Banyak cabaran dilalui dan Saimma berusaha menerima perubahan waktu di Huntsville, Amerika Syarikat.

"Di sana, masa berpuasa 16 jam dan ketika itu musim panas iaitu sama seperti di Malaysia. Walau berpanas, tetapi semua bangunan dilengkapi penyaman udara dan ini menjadikan suasana sejuk.

"Kenapa berpuasa.. sedangkan bermusafir? Saya tahu kelonggaran ini, jadi ada hari saya berpuasa dan ada hari saya tidak berpuasa. Tujuannya agar saya dapat merasai pengalaman berpuasa di negara orang," ujarnya.

Selepas mengikuti Hesa, Saimma mengakui yang perasaannya sangat luar biasa, seolah-olah seluruh semangat digantikan dengan semangat baru yang penuh berinspirasi, keseronokan Stem, dan perasaan menghargai pelajar.

"Saya dekati pelajar dan fahami mereka. Semua pelajar mempunyai kebolehannya sendiri, kebolehan itu haruslah dipupuk dan diasah, diberi peluang. Apabila ini diutamakan, pelajar pastinya akan meminati Sains dan subjek Stem lain," katanya.

Saimma melakukan aktiviti jaya diri angkasawan ketika membuat pendaratan kecemasan di lautan.

Guru, pelajar dan ibu bapa harus beri ruang kepada diri sendiri untuk didekati oleh Sains dan memahami Sains.

Sains sebenarnya berada dalam setiap aspek hidup kita.

Di rumah, di jalan, di tempat kerja.. pandanglah ke hadapan, lihat pada negara maju yang lain, Stem dan kebolehan individu saling memerlukan.. ia pencetus keluarga yang sihat dan berilmu.

'Saya berpeluang berkomunikasi dengan angkasawan'

Salah satu aktiviti yang paling saya suka adalah peluang melakukan misi berdasarkan senario di angkasa.

"Saya dapat membuat eksperimen mengkaji struktur dan ciri tanah yang diambil di permukaan planet Marikh di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)," kata Nadhirah Zamrose, 28.

Melakukan eksperimen ketika misi berlatarbelakangkan senario di angkasa.

Menurutnya, itu adalah antara tugas sebenar angkasawan untuk melakukan pelbagai eksperimen berkaitan di angkasa.

"Selain itu, saya berpeluang menjadi Paycom, di mana saya harus berkomunikasi dengan angkasawan di stesen angkasa.

"Fokus, kecekapan berfikir dan membuat keputusan diperlukan ketika melakukan tugasan ini," katanya.

Nadhirah

Beliau yang mengajar Sains di SMK Seri Desa, Tanjong Karang, Selangor berkata, banyak yang dia pelajari mengenai jawatan penting dalam menjayakan sesuatu misi angkasa.

"Baru saya tahu bukan hanya angkasawan sahaja yang terlibat. Angkasawan akan berkomunikasi dengan pasukan di Bumi untuk memastikan kelancaran misi daripada pelancaran roket hingga mendarat.

"Saya hampir ingin memohon pekerjaan di Nasa!," katanya.

Diminta buat Ladap

Sekembalinya dari Hesa, Nadhirah menjalankan tugasnya sebagai pendidik dan tidak ketinggalan berkongsi ilmu dan pengalaman unik bersama warga sekolah.

"Saya diminta membuat latihan dalam perkhidmatan (Ladap) untuk guru panitia Sains di sekolah.

"Saya juga bercadang melakukan transformasi Kelab Sains di sekolah untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti hands on dan lawatan berkaitan subjek Stem untuk pupuk minat pelajar dalam Sains," jelas beliau.

Nadhirah berkata, subjek Sains penting untuk dipelajari kerana segala yang berlaku di sekeliling kita adalah Sains.

Cabang Sains terlalu banyak dan sentiasa berkembang, oleh itu, ramai pelapis diperlukan bagi meneroka dan melakukan penemuan baru untuk kemajuan serta kebaikan hidup.

"Generasi muda perlu sedar pengetahuan Sains ini juga diperlukan untuk membina negara maju dan kuat supaya 'dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi' dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun.

"Saya puji Honeywell kerana sedar dan memainkan peranan dalam bidang pendidikan untuk menggalakkan minat pelajar terhadap Sains dengan menghantar guru menimba ilmu serta pengalaman di Amerika Syarikat agar dapat dikongsi dengan pelajar," ujar graduan lulusan Universiti Utara Malaysia ini.

Tiga tajuk karangan cabar diri

Cikgu dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Nam, Kuala Lumpur, Cheong Wee Teng mengetahui program Hesa daripada bekas rakan sekerjanya.

Beliau telah mendaftar secara online pada November 2016 dan perkara paling rumit ketika proses aplikasi adalah proses menyiapkan tiga karangan.

"Tajuknya sangat mencabar dan saya perlu buat yang terbaik jika mahu ke Amerika Syarikat," katanya.

Wee Teng

Dek kesungguhan Wee Teng, pada Januari 2017, dia menerima keputusan menggembirakan.

"Bagaikan tak percaya yang saya diterima.

"Tempoh enam bulan diberikan untuk kami menyediakan semua dokumen dan barangan diperlukan. Penerbangan dan penginapan disediakan Hesa dan saya dapat menikmati hari yang cukup menarik di kem angkasa di USSRC, Huntsville," katanya.

Menurut Wee Teng yang berusia 30 tahun, keluarga sentiasa beri sokongan penuh, terutama adiknya yang belajar di Amerika.

"Dia menggalakkan saya untuk terus mengejar impian walaupun setelah berkahwin. Selain itu, saya juga berterima kasih kepada guru besar kerana mengesahkan permohonan cuti.

"Tanpa sokongan penuh mereka, saya tak mampu penuhi impian menyertai program Hesa," ujarnya.

Kumpulan Harmony Wee Teng terdiri daripada 15 peserta dari negara berbeza.

Wee Teng berkata, kehidupan seharian kita dikelilingi Sains.

Sebagai seorang guru, dia berharap agar boleh membantu pelajar menjana lebih banyak pengalaman dalam Sains.

"Setelah mereka melaluinya, mereka akan memahami teori di sebalik sesuatu perkara. Manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah hidupan di atas bumi.

"Di luar bumi, kita mempunyai angkasa lepas. Kita perlu mengenali sesama sendiri. Jadi, jangan cuba lari dari Sains, tetapi cubalah berhubung dengan Sains dan anda akan tahu bahawa ia sangat menarik," katanya.

Menurutnya, Hesa adalah satu pengalaman yang sungguh bermakna bagi guru Sains.

"Saya berharap agar lebih banyak syarikat yang berkait rapat dengan Sains boleh menyumbang untuk meluaskan lagi pengetahuan guru dan diikuti dengan pemimpin dunia kita pada masa akan datang," jelasnya.