APC atau Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sememangnya menjadi idaman semua guru-guru yang bertungkus lumus menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

Ini dikira macam satu pengiktirafan pihak pentadbir terhadap kesungguhan dan ketekunan kita bekerja.

Tetapi, kadangkala, dalam sesetengah keadaan banyak perkara yang berlaku akan menyebabkan timbul rasa tak puas hati. Jadi pada ketika ini, APC dah jadi Anugerah Paling Controversy!

 

Kenapa Boleh Jadi Controversy?

1. Pilih Bulu / Anak Emas

Apabila ada pentadbir yang memilih bulu atau ada anak emas kesayangan, maka ketika ini lah APC jadi controversy.

Budaya pilih bulu atau anak emas nih tak kisah lah sama ada kerana cikgu tu benar-benar rajin dan suka menolong, atau pun kerana cikgu tu benar-benar rajin membodek dan mengipas.

Sesiapa pun pasti tak berkenan dengan mereka-mereka yang suka membodek para pentadbir.

 

2. Masih Junior

Kadang-kadang, ada sesetengah guru yang baru setahun dua posting, dapat APC lebih awal daripada abang-abang dan kakak-kakak yang posting berpuluh tahun. Maka di sini dah tentulah akan ada yang tak puas hati. Lagi-lagi pula faktor pemilihan lain yang diambil kira (jika ada), tidak dinyatakan dengan jelas oleh pihak pentadbir. Confirm senior hangen satu badan!

 

3. Tarik Balik Kerana Buat Hal

Ada juga kes yang APC ditarik semula kerana guru buat hal pada tahun semasa.

Lagi-lagi semasa awal tahun sebelum keluar keputusan APC. Sedangkan pemberian APC adalah bergantung kepada prestasi pada tahun sebelumnya.

Akibat daripada satu kesilapan kecil, maka pentadbir menggunakan APC sebagai hukuman kepada guru terbabit.

 

 

Bagaimana Sebenarnya Faktor Pemilihan APC?

Bagi menjelaskan lagi tentang perkara ini, cikgu-cikgu boleh rujuk Garis Panduan Pemilihan Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Pelajaran Malaysia, bertarikh 8 November 2010 ini.

Dalam surat ini dinyatakan dengan jelas kriteria dan garis panduan yang boleh digunapakai oleh pentadbir sekolah dalam memilih guru-guru dan kakitangan sekolah yang layak untuk diberikan APC.

 

Kriteria Umum

a. merupakan anggota perkhidmatan awam

b. berkhidmat genap tempoh setahun

c. memberi sumbangan kepada pelbagai tahap

d. markah LNPT 85% ke atas

 

Kriteria Tambahan

a. bebas tindakan disiplin

b. rekod kehadiran bertugas yang bersih

c. tidak pernah menerima APC 3 tahun kebelakangan

d. pencapaian dalam pdp

e. pencapaian aktiviti ko-kurikulum

f. bebas teguran audit

g. kuota bangsa, gender dan lokasi bekerja

h. kuota perkhidmatan, gred, skim, jawatan

 

Bilangan Penerima APC adalah tidak boleh melebihi 8% daripada jumlah anggota yang berkhidmat sehingga 31 Disember pada tahun penilaian.

Dan jika pada tahun tersebut tidak ada yang layak untuk diberikan APC, maka agensi tidak perlu melaksanakan APC tersebut.

 

Jadi, Apa Yang Saya Perlu Buat Jika Belum Dapat APC?

1. Mulalah Bekerja

Bagi mereka-mereka di luar sana, yang inginkan APC, tetapi malas bekerja, maka mula lah untuk lebih rajin bekerja dengan ikhlas. Tak ada orang nak bagi anda pengiktirafan dengan secara percuma.

Memang akan sampai juga giliran anda untuk menerima APC, jika pengetua anda berikan berdasarkan kepada senioriti, tetapi tentu lah lebih lewat berbanding rakan lain yang lebih muda daripada anda dalam perkhidmatan.

Bukanlah satu keperluan untuk dianugerahkan APC, tetapi sebagai pengiktirafan kepada usaha dan kerja anda. Tentu lebih bersemangat untuk bekerja selepas itu kan?.

 

2. Teruskan Kerajinan Anda

Jika anda termasuk dalam kategori cikgu yang rajin dan pulun bekerja tetapi masih belum diberikan APC, maka bersabarlah wahai cikgu.

Teruskan usaha keras anda, betulkan niat dan kuatkan semangat.

Anggap itu belum rezeki anda. Mungkin ada mereka lain lagi yang lebih layak berbanding kita.

Yakin bahawa suatu hari nanti akan ada juga masa anda untuk diiktiraf sedemikian rupa. Teruskan bekerja!

 

3. Berdepan Dengan Pentadbir

Bagi mereka yang berjiwa kental dan 'berani mati', langkah bersemuka dengan pentadbir mungkin antara jalan yang terbaik.

Tetapi bersemuka secara baik, iaitu dengan bertanyakan apa lagi kekurangan pada mutu kerja anda.

Melalui perbincangan ini, anda akan mendapat maklumbalas yang sebelum ini hanya diketahui oleh barisan pentadbir mengenai diri anda.

Cuba perbaiki, inshaAllah boleh mendatangkan hasil pada masa akan datang.

Sekurang-kurangnya, itu juga boleh beri satu 'wake up call' untuk barisan pentadbir betapa bersemangat nya anda dalam menjalankan tugas.

 

 

Walau apa pun keputusannya, maka sebaiknya redha saja dengan apa yang berlaku. Jika ada rezeki kita, maka tak ke mana. Kalau tak ada pun, inshaAllah ada rezeki lain yang bakal menyusul tiba.

Betulkan niat, teruskan bekerja, inshaAllah pasti ada kejayaan!

 

 

 

Sumber: CiKGUHAiLMi