Pada 25 April yang lalu, bermulalah episod kehidupan seorang penganggur buat seorang mantan profesor madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Khidmat beliau menabur khidmat bakti di taman ilmu dan budi UIAM sejak 2000 amatlah bermakna dalam kehidupan sosok tubuh berusia 44 tahun bernama Dr Maszlee Malik.

Penamatan tugas di gedung ilmu tersebut adalah bertujuan bagi membolehkan dirinya bertanding sebagai salah seorang calon pada PRU14 yang telah berlangsung pada 9 Mei lalu.

Anak jati bumi Johor Darul Takzim ini mendapat mendapat pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman 2 (Star 2) dan kemudiannya menyambung pengajiannya ke Maktab Sultan Abu Bakar.

Pada 1989, beliau kemudiannya telah menyertai Madrasah al-Quran Waddin dan seterusnya ke Maahad Johor.

Setelah itu, permusafiran ilmu beliau di menara gading bermula apabila menyambung pengajian ke Jordan sehingga berjaya mendapatkan ijazah sarjana muda dari Universiti Al al-Bayt, Jordan dan kemudiannya meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya.

Kedua-duanya dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh.

Tidak puas menggali mutiara ilmu di Timur Tengah dan tanah air, maka pada 2007, Dr Maszlee melanjutkan pula pelajaran di School of Governments and International Affairs (SGIA) di University of Durham, England dan dikurniakan ijazah kedoktoran dalam bidang Good Governance pada 2011.

Nama Dr Maszlee Malik sekali lagi menjadi bualan hangat terutama dalam kalangan netizen media sosial setelah diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat, 18 Mei yang lalu setelah nama menteri Kabinet yang baharu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Ini sebab, portfolio sebagai Menteri Pendidikan pada mulanya disandang oleh Perdana Menteri.

Namun, setelah diteliti ia bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menetapkan Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio lain dalam Kabinet, maka Tun Dr Mahathir mengotakan janji tersebut dengan menamakan calon lain sebagai penggantinya.

 

Ajak mahasiswa berfikir

Ketika ditanya oleh pihak media mengenai keperibadian Dr Maszlee, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidil menyatakan jika diperlukan untuk disenaraikan antara sahabat baik dalam hidup beliau, pastinya nama Dr Maszlee terpahat dalam senarai nama tersebut.

Menurut beliau lagi, ahli akademik tersebut yang juga handal dalam gerakan Islam yang pelbagai dan mempunyai kepakaran dalam menyatakan pandangan terutamanya bidang fekah menjadikan beliau salah seorang tokoh ilmuwan yang disegani.

Inilah yang menjadikan ilmuwan yang arif dalam bidang Fekah dan Pemikiran Islam ini mendapat tempat sebagai anggota Jawatankuasa Fatwa Perlis pada 2006-2008.

Penulis juga sering terbaca mengenai komentar dan ulasan beberapa mahasiswa pernah menuntut dengan beliau di UIAM, pastinya kuliah dikendalikan oleh beliau di Kulliyah of Law dipenuhi mahasiswa yang terkesan dengan kaedah pengajaran beliau yang sarat dengan nilai kehidupan yang ditagih mahasiswa.

Sang pencerah ilmu ini bukan sahaja mengajak pelajar hanya membuta tuli dan menghafal mengikut apa yang diajarkan, tetapi mengajak mereka berfikir dan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan Maha Pencipta sebelum melakukan sesuatu keputusan.

Fasih berbahasa Mandarin

Menariknya, ketika kempen PRU14 dijalankan, Dr Maszlee dan tenaga kerja serta penyokongnya mempunyai kreativiti yang tersendiri dalam memikat pengundi untuk memilihnya sebagai Ahli Parlimen.

Antaranya, rekaan aplikasi yang bernama Simpang Renggam Smart City yang diwujudkan untuk manfaat orang ramai terutamanya penduduk di seantero Simpang Renggam melaporkan pelbagai masalah yang mereka hadapi seperti bekalan air, sampah, jalan berlubang, penderaan, kebersihan alam sekitar dan sebagainya.

Diharapkan dengan kewujudan aplikasi seumpama ini memudahkan mereka melaporkan sebarang aduan dan tidak lagi bersusah payah untuk hadir ke pejabat beliau.

Oleh yang demikian, besarlah harapan agar lebih ramai Yang Berhormat memanfaatkan ketubuhan mudahan teknologi maklumat seperti ini kerana ia boleh diakses dengan mudah, cepat dan berkesan serta pengundi boleh menilai keberkesanan wakil rakyat yang dipilih mereka dalam menjalankan tugas diamanahkan.

Selain itu, beberapa video kempen seperti yang dilakukan bersama isteri beliau, Dr Hamidah Mat dan anak beliau turut menarik perhatian.

Kepetahan mereka sekeluarga bertutur dalam bahasa Cina bukan sahaja menjadikan nilai tambah ketika kempen dijalankan, namun penyertaan beberapa rakan beliau daripada pengundi berbangsa Cina seperti saudara Alex Chai yang turut sama memuat naik video kempen mereka yang menyokong penuh Dr Maszlee sebagai ikon Muhibbah rakyat Malaysia yang akan mewakili Simpang Renggam ke Dewan Rakyat.

Selain itu, beliau mengorak langkah transformasi dalam berkempen secara berhemah dan bijaksana dengan mencipta lagu gurindam khas yang berjudul Gurindam Simpang Renggam.

Nyanyian yang berdurasi dua minit 21 saat itu dihasilkan sendiri oleh beliau untuk didengarkan kepada penduduk di Simpang Renggam.

Ketika gendang kempen bermula, beliau sama sekali tidak terpedaya dengan beberapa tohmahan ke atas beliau hatta walaupun daripada kalangan agamawan sendiri.

Tidak cukup dengan itu, sokongan moral daripada selebriti tidak kurang pentingnya bagi membuktikan ketokohan muka baharu ini dalam bidang politik.

Antara selebriti media yang menyuarakan sokongan secara terbuka buat beliau termasuklah Amin Idris dan Wardina Safiyyah yang memuji serta mendoakan kemenangan beliau.

Sifatnya yang mudah didekati dan mempunyai pandangan yang terbuka menyebabkan beliau menang bergaya pada PRU14 yang lalu dengan memperoleh undi sebanyak 15,157, mengalahkan calon Barisan Nasional, Lian Teck Meng dan calon Pas, Jubri dengan majoriti sebanyak 3,475 undi.

Aktif dalam NGO

Ketokohan figura ini dalam bidang keilmuan Islam juga terserlah dengan penghasilan beberapa buah karya untuk masyarakat umum seperti 'Risalah Pemuda Muslim' (kata alu-aluan oleh Datuk Dr Hj Zahazan Mohamed), 'Menuju Sejahtera Meraih Bahagia', 'Shqiptar di Champs Elysess', 'Pemburu Kesepian di Bumi Geordy' serta banyak lagi penulisan ilmiah beliau yang diterbitkan dalam pelbagai bahasa.

Seterusnya, budaya ilmu yang menyerap dalam kehidupan peribadi beliau juga diterjemahkan apabila aktif menyertai beberapa organisasi seperti ahli Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid), Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan Ikram Malaysia, penasihat ahli lembaga kepada beberapa NGO serta badan pendidikan seperti Teaching for the Needs (TFTN), Pusat Pendidikan Downsyndrome Orkids (Orkids), Pertubuhan Darul Fitrah, Ideas Autism Centre, Lembaga Pusat Pendidikan al-Amin dan penaung kepada Kelab Penyokong Kelab Bola Sepak Manchester City Malaysia.

Dalam keterlibatan bersama pihak media pula, nama Dr Maszlee lebih dikenal sebagai moderator debat dan wacana politik serta penganalisis politik Timur Tengah, pemikiran politik Islam dan juga gerakan Islam kontemporari.

Hujah beliau yang sarat dengan fakta serta idea yang bernas pastinya menggamit pendengar untuk menilai dengan matang segenap dimensi isi perbincangan yang diutarakan.

Pandangan dan kritikan beliau terhadap sistem pendidikan masa kini juga menarik perhatian untuk diketengahkan oleh penulis.

Antaranya, dalam satu program wacana ilmu bertajuk 'Berfikir Dalam Beragama', beliau mengutarakan hujah secara optimis mengapa sistem pendidikan pada masa kini tidak bersifat manusiawi kerana ujarnya sistem pendidikan hanya mendidik pelajar seawal sekolah rendah untuk menjawab soalan peperiksaan serta dijadikan bahan percubaan oleh kerajaan dengan pelbagai pentaksiran yang sering kali berubah.

Harapan besar tadbir KPM

Oleh yang demikian, pastinya rakyat menaruh harapan yang besar buat insan ini yang akan mengemudi pentadbiran baharu Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pastinya, tiada laluan mudah bagi sesebuah organisasi yang memayungi lebih 10,000 sekolah dan institusi pendidikan serta lebih 400,000 guru yang menggalas tugas di bawah naungan satu kementerian.

Memetik kata-kata Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, ilmu dan pengalaman yang dimiliki Dr Maszlee dalam dunia pendidikan sebelum ini pastinya akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh beliau dalam menerajui Kementerian Pendidikan.

Didoakan beliau akan dapat menunaikan segala janji dalam manifesto Pakatan Harapan dalam isu menambah baik kualiti pendidikan negara serta mengatur strategi dan langkah untuk menjadikan sistem pendidikan Malaysia dijulang di persada antarabangsa.

Selamat bertugas untuk rakyat YB!