HARI pertama Cikgu Hamim Hazwani Mohamad Azzahari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Jaya, dianggap biasa-biasa sahaja namun beliau memberi kejutan apabila disapa oleh seorang sahabat yang terpisah hampir 25 tahun.

Pertemuan dengan Azhar Amanullah Ariffin, bekas Penolong Kanan Kokurikulum anak kelahiran Ibu Kandung Suluh Budiman yang sekarang dikenal sebagai Institut Perguruan Sultan Idris (Ipsi), Tanjong Malim itu melakar sejarah baharu bagi SMK Permatang Tok Jaya.

SMK Permatang Tok Jaya adalah sebuah sekolah menengah yang mula dibina pada 1992 dibuka secara rasminya dengan pengambilan pelajar pertama pada 1995.

Pelbagai kenangan manis terimbau di mata. Sambil menyelak majalah tahunan Ipsi yang telah 25 tahun ditinggalkan, perbincangan dengan Cikgu Azhar membawa kepada persoalan.

“Pelik rasanya sekolah hebat yang telah mencipta pelbagai kejayaan tidak mempunyai arkib!”

Kata-kata itu menghantui Cikgu Hamim.

Cikgu Azhar bersungguh-sungguh meminta Cikgu Hamim menerajui penerbitan majalah sulung SMK Permatang Tok Jaya.

“Cikgu yakin saya mampu merealisasikan impian cikgu ni?”

Digelar 'Nyonya Gambaq' kerana semangat dan minatnya dalam bidang fotografi.

Setiap kali ditanya, Cikgu Hamim akan menjawab dengan soalan yang sama.

Beliau masih tidak yakin dengan kemampuan sendiri, apatah lagi Cikgu Hamim guru baharu di sini.

Ternyata, kerisauan Cikgu Hamim tidak mematikan semangat Cikgu Azhar.

Bosan dengan asakan demi asakan, cabaran demi cabaran daripada Cikgu Azhar, berbekalkan pengalaman terlibat dalam sidang redaksi majalah di sekolah terdahulu, akhirnya Semarak Jaya Edisi Khas 2015 berjaya direalisasikan.

Dua edisi Semarak Jaya yang telah diterbitkan oleh SMK Permatang Tok Jaya.

Semarak Jaya Edisi Khas ini umpama anak sulung Cikgu Hamim.

Dengan minat mendalam dalam bidang fotografi, Cikgu Hamim mula merakam pelbagai aktiviti anak-anak SMK Permatang Tok Jaya sepanjang 2014.

Sokongan tidak berbelah bahagi daripada pihak pentadbir, khususnya Cikgu Azhar, aktiviti sepanjang 2014 akhirnya terakam dalam bentuk PDF, seterusnya dimuat naik ke alam maya.

Adalah mustahil untuk diterbitkan dalam bentuk cetakan memandangkan unit majalah tidak mempunyai sebarang dana pada masa itu.

Berjaya dapat dana

Berpuas hati dengan Semarak Jaya versi maya, Cikgu Azhar dengan kerjasama Koperasi SMK Permatang Tok Jaya Berhad berjaya mendapat penaja seterusnya lahirlah Semarak Jaya Edisi Sulung pada Jun 2015.

Paling tidak disangka, kelahiran Semarak Jaya 2015 juga telah membawa kepada johan kategori cerpen dalam Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Wilayah Utara 2015.

Dengan kejayaan ini, Cikgu Hamim terus mengorak langkah menjadikan Semarak Jaya sebagai arkib sekolah yang merakam pelbagai aktiviti sepanjang tahun.

Seterusnya, Semarak Jaya 2016 berjaya diterbitkan mengikut perancangan iaitu pada November tahun yang sama.

Pada 15 Februari 2017, Cikgu Hamim dikejutkan dengan berita pertukaran Cikgu Azhar kerana kenaikan pangkat.

Berita itu membuatkan Cikgu Hamim terkedu.

Beliau masih ingat pesanan terakhir Cikgu Azhar sebelum bertukar.

“Hamim, teruskan apa yang kita dah mulakan. Saya yakin Hamim mampu.”

Jika dahulu, sebarang permasalahan akan dibincangkan dengan Cikgu Azhar, kini, tergalas segala tanggungjawab itu dibahunya.

Tiada masa untuk melayan perasaan resah, Cikgu Hamim terus melangkah dengan yakin.

 Hasil kerja kerasnya berbalas.

Melihat kesungguhan Cikgu Hamim ke hulu dan ke hilir dengan ‘Canon’nya, dia lebih dikenal sebagai ‘nyonya gambaq’ dalam kalangan rakan setugas.

Lama-kelamaan gelaran itu kian sebati dengan dirinya.

Selain sibuk dengan tugasan hakiki, Guru Bahasa Inggeris itu kini gigih menyiapkan Semarak Jaya Edisi 2017 dengan bantuan kru Semarak yang terdiri daripada lapan pelajar terpilih daripada tingkatan dua dan empat.

Kejayaan dua edisi Semarak Jaya terdahulu memberi keyakinan kepada cikgu Hamim untuk menerbit dan mengedarkan edisi 2017 pada awal November nanti.

“Sama-sama kita doakan kejayaan kita tahun ni”.

Pinta Cikgu Hamim sambil tersenyum sebelum menamatkan perbualan santai kami pada petang ini.

Karya pelajar
SMK Permatang Tok Jaya (Model Khas Pulau Pinang) Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa III
Sungai Dua, Butterworth