KUALA LUMPUR - Lebih 10,000 pengunjung meluangkan masa hujung minggu ke Pavilion Karangkraf, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 di PWTC, semalam.

Pengurus Penerbitan Novel Grup Buku Karangkraf (GBK), Mohd Ali Mohd Noor berkata, jumlah berkenaan agak memberangsangkan dan berharap lebih ramai pengunjung mengambil kesempatan datang ke Pavilion Karangkraf yang bermula sejak Jumaat lalu itu.

MOHD ALI

“Nampak ramai pengunjung yang cintakan buku dan bahan bacaan. Mereka bukan sahaja datang, tetapi turut membeli pelbagai jenis buku yang kita ada.

"Ada pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak, sesi penulis novel bertemu peminat, pelancaran buku seperti Syahid Bintang Syurga, pelancaran buku Chichi Chacha, pelancaran buku Sepahit Kopi/Ustaz Traveller dan kehadiran penulis antara menarik hari ini (semalam).

“Kedatangan pengunjung tak putus-putus seawal pameran dibuka lagi,” katanya ketika ditemui di Pavilion Karangkraf, Dewan Tun Dr Ismail, PWTC, semalam.

Pengunjung PBAKL 2018 tidak melepas peluang ke Pavilion Karangkraf.

Menurutnya, tawaran harga menarik dan berpatutan hanya bermula dari RM3 juga antara menarik yang boleh diperoleh pengunjung.

Ali berkata, terdapat juga buku dan novel ditawarkan dengan diskaun setinggi 70 hingga 80 peratus.

“Novel baru seperti Banja Manggala oleh Ramlee Awang Murshid antara terlaris dan banyak kali kita ‘top up’ bila kehabisan,” katanya.

Sementara itu, Editor Sains Sosial Bestari Karangkraf, Nazrie Haslieanie Mohd Kobri berkata, turut menarik kunjungan adalah buku pendidikan pelajar sekolah terbitan Bestari Karangkraf.

Menurutnya, Kertas Model iaitu kertas peperiksaan PT3 dan SPM, buku latihan untuk Tahun 1 hingga Tahun 6 termasuk pra sekolah antara mendapat permintaan tinggi pengunjung.

“Penulis kita pun daripada guru sekolah dan guru cemerlang yang faham serta tahu mengenai sukatan mata pelajaran mengikut standard ditetapkan.

“Buku kerja dan latihan kita mengikut susunan buku teks. Ibu bapa pun ramai yang datang ke sini untuk mendapatkan buku anak-anak mereka,” katanya.

PBAKL 2018 dianjurkan bermula 27 April sehingga 6 Mei ini menampilkan penglibatan pempamer dan penerbit buku di dalam dan luar negara.

Pelbagai jenis buku dengan tawaran harga istimewa tumpuan pengunjung.

IRFAN DANIAL

Pengungjung, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Rampai, Kuala Lumpur Muhammad Irfan Danial Che Zakri, 17, berkata, seronok dapat berada di Pavilion Karangkraf, kerana terdapat pelbagai aktiviti dan bahan bacaan menarik.

“Saya pun banyak dapatkan buku latihan dan kertas model peperiksaan di sini. Harganya pun berpatutan.

.“Saya harap akan datang, program sebegini lebih dipanjangkan tempohnya mungkin dua minggu,” katanya.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.828415.1525081539!/image/image.jpg

NOR ASHIKIN

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Nor Ashikin Sabtu, 46, berkata, dia datang ke Pavilion Karangkraf untuk mendapatkan buku sekolah anaknya.

“Saya banyak cari buku di sini untuk anak yang akan mengambil peperiksaan penting. Banyak juga aktiviti bermanfaat.

“Memang rugi siapa yang tak berkunjung ke sini,” katanya.

Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli buku di Pavilion Karangkraf.

Al-Quran turut menjadi perhatian pengunjung.