Sejak pelantikan YB Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Pelbagai permintaan berkaitan pendidikan telah diusulkan kepada Menteri Pendidikan.

Terbaru yang dilihat adalah ‘105 Harapan Guru Malaysia kepada Menteri Pelajaran Malaysia’ di portal GPS Bestari yang dimuatnaik untuk perhatian Menteri Pelajaran Malaysia.

Tidak dinafikan terlalu banyak aspek yang perlu dilihat semula bagi tujuan penambahbaikan namun ianya dapat dilihat dan diambilkira mengikut peringkat dan kepentingan semasa.

Satu soalselidik awal telah dijalankan bagi mengenalpasti aspek yang perlu diberi perhatian mengikut kepentingan khasnya di sektor persekolahan. 

Dari hasil maklumbalas umum (respons diperolehi dalam kalangan guru, ibubapa, awam, dan pelajar), lima fokus utama yang perlu diberikan adalah penilaian dan penambahbaikan pada bahagian kurikulum dan silibus sekolah; sistem pentadbiran sekolah; sistem penilaian dan pentaksiran sekolah; buku teks; dan penekanan kepada dasar autonomi guru dan pelajar di sekolah.

Kurikulum dan Silibus

Kurikulum dan silibus Pendidikan merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak Kementerian Pelajaran. Silibus yang bersesuaian dengan umur dan peringkat pembelajaran pelajar amat perlu. Jika dilihat kepada kurikulum dan silibus sekolah rendah, Tahun 1 sebagai contoh, kandungan silibus yang ditetapkan agak sukar dicapai oleh pelajar.

Di peringkat Tahap 1 (Tahun 1, 2, dan 3), sewajarnya diberi perhatian kepada penguasaan dan kemahiran asas literasi dan numerasi. Ini bagi membolehkan pelajar memahami konsep asas sebelum mereka meneruskan pelajaran ke tahap seterusnya yang memerlukan mereka membina kemahiran pada aras yang lebih tinggi selain dari ‘ingat’ dan ‘faham’ (remember and understand).

Oleh kerana taksub sesetengah pihak dengan kemahiran aras tinggi (KBAT), silibus pelajar Tahap 1 telah diterapkan dengan konsep KBAT. Adalah dilihat bahawa penerapan KBAT di Tahap 1 Sekolah Rendah amatlah tidak sesuai dan membebankan pelajar. Di Tahap 1, sewajarnya pelajar dipupuk minat untuk belajar melalui pembelajaran yang menarik, berkesan, dan terkesan.

Tumpuan perlu diberikan kepada tiga perkara asas literasi iaitu membaca, menulis, dan mengira. KBAT boleh diperkenal di Tahun 3 dan seterusnya.

Perlu diingatkan, pengenalan KBAT di Tahun 1 khasnya akan memberi kesan negatif terhadap minat dan motivasi pelajar untuk belajar. Antara rungutan ibubapa dan guru mengenai kurikulum dan silibus Pendidikan adalah “silibus terlalu sukar…terlalu tinggi berbanding dengan tahap IQ pelajar”, “terlalu banyak mata pelajaran diperkenalkan di sekolah, membebankan guru dan pelajar... tumpuan sepatutnya diberikan kepada mata pelajaran teras sahaja”, “silibus yang banyak utk dihabiskan”, “di SRK, kemahiran berfikir aras tinggi atau KBAT banyak membuatkan anak-anak kurang faham dan keliru” begitu juga “tahap pemahaman pelajar yang rendah menyebabkan pelajar tidak suka kepada pelajaran dan berlakunya masalah ponteng” atau tidak mahu ke sekolah. Keluhan dalam kalangan ibubapa dan guru sendiri perlu diberi perhatian sewajarnya kerana mereka meluahkan berdasarkan pengalaman yang mereka dan pelajar alami berkaitan kurikulum dan silibus. Ada juga ibubapa yang buntu untuk mengajar anak mereka berikutan istilah baharu dan berbeza dengan apa yang mereka pelajari terdahulu.

 

Pentadbiran Sekolah

Sistem pentadbiran sekolah merupakan cabang kedua terpenting yang perlu diberi perhatian dan merangkumi beberapa skop di bawahnya. Skop pertama, adalah mengenai beban tugas guru. Bebanan tugas yang diberikan kepada guru harus dikaji semula. Begitu juga dengan pemberatan pengajaran setiap guru mengikut opsyen masing-masing.

Guru seharusnya diberikan lebih masa untuk merancang, melakukan pengajaran, serta memantau dan memberi maklumbalas terhadap perkembangan pelajaran di dalam bilik darjah. Maklumbalas pembelajaran pelajar amat penting bagi memastikan pelajar tahu kelemahan dan guru juga boleh membantu pelajar untuk meningkatkan kefahaman mereka.

Setakat ini, dikatakan guru “terlalu banyak membuat kerja pengkeranian” dan “terlalu banyak tugas sehingga tidak dapat memberi masa yang lebih pada persediaan rancangan pelajaran dan menyemak buku pelajar-pelajar.” Ini jelas bahawa guru dibebani tugas selain pengajaran yang menjadi tugas hakiki mereka.

Diharapkan tenaga kerja bagi melaksanakan tugas-tugas perkeranian yang dipikul oleh guru ketika ini dapat disediakan untuk mengambil alih tugas perkeranian ini. Kementerian Pendidikan juga diminta untuk menyemak semula pelbagai sistem merekod atas talian/berkomputer yang digunapakai di sekolah agar tidak bertindan dan mengambil terlalu banyak masa guru untuk melengkapkannya.

Kedua, adalah mengenai kesesuaian guru di sekolah yang mengajar mata pelajaran bukan bidang. Contohnya, terdapat guru yang kurang mahir di dalam Bahasa Inggeris diarah untuk bantu pengajaran Bahasa Inggeris kerana dikatakan sekolah mempunyai kekurangan guru opsyen tersebut. Alangkah baiknya jika unjuran guru mengikut bidang dapat dibuat bagi menampung kekurangan guru di sekolah.

Kita tidak mahu pelajar berada di sekolah tetapi tidak belajar mata pelajaran sepatutnya oleh kerana tiada guru untuk mengajar dan mereka hanya diberi guru ganti yang hanya mengawasi pelajar dan keadaan bilik darjah. Begitu juga terdapat guru yang tidak mengajar mata pelajaran opsyen mereka, sebaliknya memilih untuk mengajar mata pelajaran yang lebih mudah, “tidak mahu mengajar opsyen sendiri dengan alasan mereka adalah pentadbir dan hanya mengajar matapelajaran sivik yang tidak perlu mempersiapkan pelajar untuk menghadapi peperiksaan penting seperti PT3 dan SPM.”

Ketiga, melibatkan pengurusan pentadbiran yang tidak cekap, amalan kronisme, amalan salah gunakuasa, dan pentadbiran kewangan yang tidak telus. Walaupun ini dikatakan hanyalah masalah/politik dalaman sekolah, perkara ini harus diberi perhatian sewajarnya bukan sahaja oleh pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah dan Negeri bahkan harus dipantau oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri secara berterusan dan berkesan kerana ianya melibatkan emosi guru yang secara tidak langsung akan mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran serta membentuk persekitaran sekolah yang kurang sihat dan tidak seronok.

Ini ditimbulkan sebilangan guru dan ibubapa di mana didapati ada guru yang tidak dapat mengawal emosi dan hilang fokus, adakalanya melepaskan kemarahan kepada pelajar, menjadikan ianya salah satu faktor “pelajar malas datang ke sekolah.” Ada juga yang membangkitkan hal salahgunakuasa dan berkepentingan dalam kalangan pentadbir sekolah.

Antara respons yang diberi adalah “guru besar yang tidak amanah...dan mempunyai kepentingan peribadi,” “pentadbir yang tidak menjaga kebajikan guru,” “pentadbiran yang mementingkan anugerah dan pengiktirafan,” pentadbir tidak mempunyai wawasan untuk memajukan sekolah” dan “tiada keseiringan dan kurang kerjasama dari pentadbir sekolah terhadap ahli jawatankuasa PIBG.”  Disarankan sekolah tidak ditadbir oleh “pentadbir yang terlalu jumud pemikirannya dan tidak berpandangan jauh serta tidak kreatif.” Juga tidak terkecuali adalah pelantikan pegawai Pendidikan Daerah, Pendidikan Negeri dan di Kementerian Pendidikan itu sendiri harus dilakukan dengan telus berdasarkan merit dan tiada kepentingan atau pengaruh politik. Mereka juga disarankan agar dapat bertindak pantas dan adil terhadap setiap laporan yang dibuat oleh guru, ibubapa dan PIBG.

Skop keempat merupakan pengurusan pelajar di sekolah. Saiz kelas yang terlalu besar, mempunyai bilangan pelajar yang ramai, menyukarkan guru dan pelajar memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya. Disarankan agar kelas yang mempunyai bilangan pelajar yang ramai dapat diberikan pembantu guru yang bertugas untuk berada di dalam bilik darjah bersama guru mata pelajaran bagi membantu pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Dari soalselidik, dimaklumkan masih terdapat sekolah yang membuat pengasingan pelajar mengikut pencapaian akademik (streaming) yang dianggap menyisih pelajar yang kurang cemerlang. Antara maklumbalas yang diberikan mengenai perkara ini adalah “saiz kelas yang besar menyebabkan tidak dapat fokus kepada pelajar yang lemah,” “bilangan pelajar yang ramai di dalam satu kelas menyebabkan ketidakselesaan,” dan “kecilkan bilangan pelajar di dalam satu kelas bagi memberi kemudahan kepada guru untuk mengajar dgn lebih fokus.”

Dirasakan satu pendekatan yang lebih terangkum dan pelbagai (inclusivity and diversity) dapat diterapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan sepertimana yang dinyatakan dan terbukti keberkesanannya di dalam Teori Sosiobudaya (Sociocultural Theory) bahawa pelajar dapat belajar dari rakan lain yang lebih berupaya (learners learn from their more capable peers) tanpa perlu mengklasifikasikan mereka mengikut kecemerlangan akademik dan setiap pelajar mempunyai tahap kebolehan, kecenderungan dan kecemerlangan yang berbeza. Dengan Pendidikan Inklusif, konsep kesamarataan dalam kalangan pelajar dapat dipupuk dan tiada perbandingan antara yang cemerlang dan yang lemah. Begitu juga, Pendidikan Inklusif perlu dilihat dari skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada Pelajar Berkeperluan Khas (MBK), ini termasuk juga keperluan untuk memberi peluang pelajaran kepada pelajar yang ‘tiada kerakyatan’ (Stateless children).

Dengan Pendidikan Inklusif, guru dapat mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berbanding dengan pengajaran di kelas yang bersifat homogen. Secara positif, ianya dapat mendorong dan mencabar kebolehan guru untuk membuat yang terbaik bagi setiap pelajar. Selain itu, penerapan nilai-nilai murni dapat dilakukan dengan lebih berkesan secara tidak langsung di dalam Pendidikan Inklusif seperti saling cuba memahami, hormat-menghormati, toleransi dan bantu antara satu sama lain dengan melihat kepelbagaian atau perbezaan itu sebagai sesuatu yang istimewa dan membina. Antara harapan yang dinyatakan oleh responden guru adalah “berikan kembali nilai kemanusian kepada guru dan pelajar supaya mereka seronok berada di sekolah.” Ini sejajar dengan apa yang YB Maszlee nyatakan dan Kementerian Pendidikan harapkan iaitu pelajar perlu mempunyai bukan sahaja ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak yang baik dan juga sifat naluri manusiawi yang mendalam yang dapat memupuk “kegembiraan, kasih sayang, dan saling hormat menghormati” antara satu sama lain di dalam masyarakat yang majmuk.

 

Penilaian dan Pentaksiran

Konsep penilaian dan pentaksiran berteraskan kemanusiaan (humanising assessment) yang diperkenalkan suatu ketika dahulu perlu diteruskan bagi mengelakan pelajar belajar hanya kerana ingin lulus peperiksaan dan berikutan itu budaya menghadiri tuisyen di luar waktu sekolah sebagai satu kewajipan menjadi tekanan masyarakat ketika ini untuk memastikan pelajar berjaya dengan cemerlang berdasarkan bilangan ‘A’.

Perubahan minda perlu berlaku dan akan berlaku sekiranya sistem penilaian dan pentaksiran begitu juga dengan sistem penilaian dan penggredan sekolah oleh pihak kementerian itu sendiri diubah pelaksanaannya. Perlu ada satu mekanisme baharu untuk menilai kecemerlangan sesebuah sekolah yang tidak berteraskan dengan purata nilai gred semata-mata.

Integrasi antara pentaksiran, pengajaran dan pembelajaran perlu ada bagi dimanfaatkan oleh guru, pelajar, dan ibubapa untuk membantu pelajar memahami sesuatu konsep dan memperbaiki pelajaran yang diajar di dalam bilik darjah. Sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang awalnya diperkenal pada 2005 dilihat sebagai satu inisiatif untuk mebuka jalan kepada penilaian dan pentaksiran yang lebih formatif.

Ini bermaksud, hasil penilaian dan pentaksiran dapat digunakan sebagai maklumbalas terhadap tahap pencapaian pelajar untuk membantu guru memperbaiki samada corak pengajaran, bahan pengajaran dan format pentaksiran sesuatu mata pelajaran.

Namun begitu, pelaksanaannya perlu penambahbaikan. Sebagai contoh guru tidak perlu menyimpan semua evidens dan merekod setiap pembelajaran pelajar, hanya pada pentaksiran tertentu ianya perlu direkodkan bagi tujuan pelaporan kepada pelajar dan ibubapa. Hasil penilaian formatif boleh diberikan kepada pelajar untuk dibawa pulang dan dibuat ulangkaji lanjutan. 

Sehubungan dengan itu pelaksanaan pentaksiran secara formatif dilihat lebih santai, progresif dan membangun. Ianya boleh dilaksanakan dalam bentuk kuiz, ujian kelas, portfolio dan sebagainya. Pentaksiran sumatif pula adalah lebih formal dan tujuan pelaporan akhir dalam bentuk peperiksaan bagi memberi maklumbalas sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran bagi tahun tersebut telah dicapai.

Turut disarankan adalah pentaksiran secara holistik yang tidak hanya melihat kepada pencapaian akademik. Antara respons yang diterima ialah perlu juga diberikan “keutamaan kepada perkembangan kemahiran insaniah (soft skills) pelajar daripada mmenekankan tentang pentaksiran dari sudut akademik,” “sistem pentaksiran harus fokus pada pembangunan sahsiah dan kemahiran hidup, selain daripada akademik.” Ini adalah kerana setiap pelajar itu berbeza dan mempunyai kecenderungan yang berbeza.

Sebagai contoh, “ada pelajar yang memang lemah dalam pelajaran tetapi cemerlang dalam bidang seni dan sukan” dan peluang harus diberikan kepada mereka untuk cemerlang di dalam bidang yang mereka cenderung atau minati. Pentaksiran holistik dilihat sebagai satu pendekatan pentaksiran yang adil dan tidak hanya bersandarkan kecemerlangan akademik.

Rata-rata respondens mengutarakan isu penilaian dan pentaksiran yang perlu dilihat semula oleh Kementerian Pendidikan: “

 

Buku Teks

Terdapat juga harapan agar Kementerian Pendidikan Malaysia dapat menyemak semula keperluan buku teks dan juga kandungannya. Diharapkan keperluan penggunaan buku teks tidak membebankan pelajar untuk memgalas ke sekolah. Begitu juga keperluan untuk menyemak kandungan buku teks agar dapat diterapkan pembentukan adab, sahsiah dan sifat kemanusiaan dalam mata pelajaran yang bersesuaian.

Sebagai tambahan, maklumat yang diberikan di dalam buku teks haruslah padat dan lengkap bagi memudahkan pelajar membuat rujukan dan menjadikannya sebagai buku rujukan utama. Tidak kurang juga ada yang berpendapat tentang perlunya pengurangan penggunaan buku teks dan beralih kepada pembelajaran berasaskan kemahiran, pengalaman, dan refleksi (skills, experiential, and reflective learning).

Selain itu, adalah diharapkan kandungan buku teks menepati sosiobudaya masyarakat dan ditulis oleh guru yang pakar dan berpengalaman di dalam bidang tersebut. Sebagai contoh, terdapat pertikaian mengenai penggunaan buku teks Bahasa Inggeris yang diimport dari luar dan sejauh mana keberkesanannya dan perbezaannya dengan buku yang ditulis oleh penulis tempatan yang berpengalaman dalam pendidikan Bahasa Inggeris. Penggunaan buku teks yang diimport ini harus dinilai semula bukan sahaja dari segi kos tetapi yang lebih utama adalah dari sudut kandungannya dan objektif pembelajaran mata pelajaran itu sendiri.  Perubahan dan penambahbaikan kepada buku teks itu perlulah sejajar dengan objektif pengajaran dan pembelajaran yang selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.

 

Autonomi Guru dan Pelajar

Perkara kelima yang ingin diberi perhatian adalah terhadap autonomi guru dan pelajar. Kajia awal yang dijalankan mendapati ramai respondens menyatakan bahawa guru perlu diberi kebebasan untuk bersuara dan bebas merancang dan memilih bahan pengajaran “tanpa terikat dengan buku teks.”

Sehubungan dengan itu, mereka tidak perlu dibebankan dengan tugas selain pengajaran dan perlu diberikan masa yang lebih bagi tujuan penghasilan alat bantu mengajar yang bersesuaian dan berkesan.  Dengan autonomi ini, diharapkan dapat meningkatkan kreativiti guru dalam mencari idea membantu meningkatkan kefahaman dan menarik minat pelajar dalam setiap mata pelajaran.

Guru juga perlu diberi autonomi untuk mendidik dan membentuk pelajar dengan pelbagai kemahiran dan kebolehan tanpa campurtangan dari pentadbir selagi mana ianya dilakukan dengan penuh etika.

Autonomi harus diberikan kepada pelajar untuk belajar apa yang ingin dipelajari. Eksplorasi dalam pembelajaran tidak dapat dilakukan sekiranya pembelajaran yang disediakan secara berpusat membataskan guru dan pelajar. Begitu juga, pelajar sekolah perlu diberikan kebebasan untuk bersuara dan diberi peluang untuk menyuarakan pendapat.

Keadaaan ini juga membolehkan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif. Namun begitu mereka perlulah diajar untuk mengemukakan pendapat dengan cara yang betul dan berhemah. Autonomi juga harus diberikan kepada pelajar untuk memilih bidang yang mereka minati tanpa perlu ada kuota, khasnya dalam pemilihan aktiviti kokurikulum di sekolah.

Sebagai kesimpulan, Dasar Pendidikan yang baik harus diteruskan dan ditambahbaik mengikut keadaan dan keperluan semasa. Kajian berterusan juga perlu dilaksanakan bagi mengenalpasti kesesuaian dan kelemahan yang ada dan setiap perubahan yang ingin dibuat perlulah dengan cara yang berskala, bukan dengan mendadak. Setiap perubahan dasar yang memerlukan perubahan tatacara dari segi pentadbiran dan pengendalian haruslah diberikan penerangan dan latihan yang jelas kepada semua pihak yang terlibat dan bukannya dengan memilih segelintir individu dan mengharapkan individu itu menyampaikan kepada individu atau kumpulan yang lain.

Ini kerana tahap kehafaman setiap individu adalah tidak sama kerana ianya mungkin berdasarkan perbezaan perspektif individu tersebut. Begitu juga dengan keperluan untuk memantau secara berterusan di mana pemantauan perlulah dilakukan oleh mereka yang benar-benar memahami dan mahir tentang dasar dan konsep yang ingin dilaksanakan. Bagi proses penyampaian maklumat perubahan mengenai dasar khususnya, dilihat peranan media yang telus dan beretika amat penting bagi tujuan hebahan maklumat yang sahih dan tepat.

 

 

Ditulis oleh:

Dr Zuwati Hasim

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan

Universiti Malaya, Kuala Lumpur.