PUTRAJAYA - Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) adalah satu kaedah penilaian yang menilai kompetensi dan potensi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) berdasarkan konsep tugas dan tempat bertugas ('Job-Based and Work Place').

Ia dilaksanakan mengikut standard prestasi yang ditetapkan berinspirasi kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025.

Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Md Sani Latip berkata, PBPPP merupakan penilaian baharu menggantikan semua penilaian prestasi sedia ada termasuk Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) yang lebih fokus kepada elemen pembangunan kompetensi berasaskan gred dan jawatan.

Menurutnya, pelbagai sumber yang terdiri daripada instrumen, standard dan kajian lepas telah diadaptasi dan dimodifikasi bagi menghasilkan PBPPP yang dilaksanakan ke atas semua PPP bermula Januari tahun ini.

“PBPPP dibangunkan berasaskan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT), Kriteria Kecemerlangan, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), Penilaian Kompetensi dan Prestasi
(PROSPEK), Standard Guru Malaysia (SGM) serta Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM).

“Ia turut melibatkan Instrumen Kompetensi Pemimpin Sekolah (KOMPAS), Instrumen Penilaian Kepimpinan Instruktional, Penilaian Guru Cemerlang dan Penilaian Pengetua dan Guru Besar Cemerlang,” katanya.

Maklum beliau, PPP dalam kumpulan Guru PdP, Kepimpinan Sekolah, Guru Bimbingan dan Kaunseling serta Jurulatih Sukan dan Seni mengguna pakai PBPP mulai April tahun lalu.

Penilaian lebih menyeluruh

Selaras dengan matlamatnya, PBPPP membuat penilaian menyeluruh dengan menggabungjalinkan kompetensi dan keberhasilan PPP dalam usaha meningkatkan kecekapan dan komitmen bagi melahirkan PPP berprestasi tinggi seterusnya mendukung aspirasi ke arah pendidikan berkualiti tinggi serta negara maju.

Md Sani

“Antara objektif PBPPP adalah menilai kompetensi dan potensi PPP, menilai keberhasilan yang merupakan hasil kerja PPP, mengenal pasti jurang kompetensi PPP untuk membolehkan Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) serta mengenal pasti keperluan latihan untuk pembangunan kerjaya PPP," katanya.

Md Sani berkata, komponen PBPPP terbahagi kepada dua iaitu Penilaian Kompetensi dan Keberhasilan. Penilaian kompetensi terdiri daripada empat dimensi iaitu nilai profesional, pengurusan aktiviti, sumbangan dan kemahiran.

Komponen ini digabungkan dengan penilaian keberhasilan yang melibatkan peningkatan atau pencapaian hasil kerja PPP.

“Standard prestasi pula merupakan satu piawai yang perlu dicapai oleh PPP dalam sesuatu bidang tugas berdasarkan satu penanda aras yang ditetapkan dan ia dapat memandu penilai dalam melaksanakan aktiviti penilaian prestasi secara objektif, adil dan telus,” katanya.

PYD dinilai dua individu berkelayakan

Penilaian dilakukan berasaskan kerja dan tempat kerja dengan menggunakan instrumen PBPPP oleh dua orang penilai yang merupakan merupakan pegawai yang dilantik oleh jawatan kuasa PBPPP dan telah mengikuti latihan penilaian.

“Ia terdiri daripada pegawai yang menyelia tugas yang dijalankan oleh PYD atau mempunyai gred yang lebih tinggi daripada PYD atau berdasarkan kekananan jawatan dan berkhidmat di organisasi yang sama.

“Penilaian pula dilaksanakan sepanjang tahun tetapi pegawai penilai mesti memasukkan skor penilaian dua kali iaitu pada pertengahan dan akhir tahun.

"PYD digalakkan merekod dan mengumpul semua maklumat yang diperlukan untuk memudahkan pegawai penilai menjalankan penilaian sepanjang tahun penilaian. Mereka kemudian
akan menerima keputusan penilaian yang dikeluarkan dalam bentuk slip keputusan yang mengandungi skor bagi setiap aspek yang dinilai," katanya.

Penggubalan instrumen bantu penilaian stabil

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian, Adzman Talib berkata, penggubalan instrumen PBPPP adalah berasaskan prinsip dan proses yang ditentukan iaitu pernyataan yang jelas, relevan, praktikal, adil, dan realistik serta berasaskan konsep tugas dan tempat bertugas (Job-based and Work Place).

Adzman

“Selepas itu ia akan melalui langkah seterusnya iaitu pelaksanaan penilaian berasaskan kajian dan penanda arasan sebelum proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama dengan semua pihak berkepentingan termasuk konsultan bertauliah," katanya.

Menurutnya, bagi kumpulan guru akademik, guru bimbingan dan kaunseling, jurulatih seni dan jurulatih sukan penilaian juga dilakukan terhadap dimensi keberhasilan murid yang
merangkumi elemen perancangan, pelaksanaan dan pentaksiran manakala dimensi keberhasilan bagi kumpulan pemimpin sekolah meliputi dimensi bidang tugas yang dijalankan sebagai pentadbir dan pengajar.

Peranan PYD dan Penilai dalam PBPPP

Adzman berkata, PYD perlu memahami PBPPP secara menyeluruh sama ada sebagai PP1 atau PP2 berkaitan instrumen, kaedah penilaian, rubrik dan skor.

“PP1 dan PP2 boleh berbincang untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dan bukti berkaitan PYD dalam aspek yang dinilai. PP1 dan PP2 tidak boleh berbincang dalam memberikan skor penilaian.

"Perkara ini penting untuk menentukan kebolehpercayaan penilaian. PYD boleh mengetahui keputusan PBPPP setelah disemak dan diluluskan oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM) organisasi berkenaan yang akan memuktamadkan markah penilaian," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan penilai yang dipilih adalah adil dan berupaya melaksanakan tugasnya secara adil, peranan sewajarnya oleh penilai perlu dimainkan bagi memastikan sistem berkenaan jelas dan berkesan kepada semua pihak terlibat.

“Penilai mesti memahami PBPPP secara menyeluruh dan mereka perlu menyelia kerja yang dijalankan oleh PYD melalui pengawasan dan bimbingan yang berterusan.

“Penilai juga hendaklah berbincang dengan PYD mengenai kemajuan kerja sekurang-kurangnya dua kali setahun sama ada di pertengahan dan akhir tahun bagi mengenal pasti masalah pelaksanaan dan mengambil tindakan untuk mengatasinya serta membuat pengubahsuaian strategi kerja untuk meningkatkan prestasi kerja,” katanya.

Menurutnya, penilai mestilah terdiri daripada mereka yang mahir dalam bidang kerja PYD selain merupakan individu yang mampu melakukan pentaksiran berasaskan maklumat, analisis dan refleksi bahan secara objektif tanpa pilih kasih (bias) dan penghakiman atau penilaian yang konsisten.

Jelasnya, PBPPP turut mengambil kira keunikan pelbagai skim perkhidmatan, namun perkara ini tertakluk kepada garis panduan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bagi memastikan ia relevan, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan.

Info

Tanggungjawab Jawatankuasa PBPPP

1. Merancang, menyelaras dan memantau aktiviti penilaian.

2. Menentukan proses pelaksanaan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

3. Mencadangkan dan mengemukakan senarai pegawai penilai untuk diperakukan.

4. Merancang dan melaksanakan latihan dalaman bagi pegawai penilai.

5. Menyediakan laporan pelaksanaan penilaian.

6. Membuat penyelarasan skor apabila ketidaktekalan skor berlaku.

7. Memastikan PP melaksanakan penilaian serta mematuhi tempoh yang ditetapkan.

8. Menjaga kerahsiaan skor PYD.