14 Ogos 2017

PORT DICKSON - Murid tahun empat, Faralysa Amani yang dilaporkan hilang pada waktu pagi dari rumah keluarganya di kuaters kakitangan Politeknik Port Dickson ditemui sekitar jam 9 malam, hari yang sama.

Bapanya, Fazil Abdullah, 35, berkata, anaknya dipercayai dipulangkan semula oleh individu yang melarikan anaknya.

“Fara ditinggalkan di tepi kedai makan berhampiran pintu utama masuk ke politeknik.

“Dari situ, dia jalan ke pondok pengawal keselamatan politeknik, dalam keadaan trauma dan kedua-dua tangan yang diikat,” katanya.

5 Disember 2017

BATU PAHAT - Pelajar perempuan tingkatan empat dari Yong Peng, yang hilang ketika dalam perjalanan untuk menghadiri Ujian Berkomputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), disahkan mengikut teman lelakinya ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, siasatan polis juga mendapati remaja berusia 16 tahun itu sudah tiga kali ‘hilang’ dengan hanya dua kehilangannya dilaporkan kepada polis.

“Kes Orang Hilang membabitkan Nur Aliyah Haslan, 16, selesai apabila kita mendapati dia sebenarnya mengikut teman lelakinya ke Kuala Lumpur, malah keluarganya kini dalam perjalanan ke ibu negara untuk menjemputnya.

“Ini kejadian ketiga membabitkan Nur Aliyah dengan kejadian pertama diselesaikan keluarga, manakala kejadian kedua dan ketiga dilaporkan kepada polis,” katanya.

8 Disember 2017

PUCHONG - Kanak-kanak berusia lima tahun yang dilapor hilang dari rumahnya di Taman Sri Puchong ditemui semula pada petang hari kejadian berlaku.

Bapa, Teh Faizal, 35, berkata, kehilangan Qaseh Amelin Soffya, disedari isterinya apabila kanak-kanak itu yang dikatakan hanya mahu mengambil kasut di pintu bersebelahan rumah tiba-tiba tidak bersuara apabila namanya dipanggil.

“Selepas ditemui, Qaseh mendakwa dia dilarikan dengan menaiki motosikal ke sebuah rumah papan kosong, namun tidak diketahui lokasi rumah tersebut. Anak saya beritahu lelaki itu lambai tangan ke arahnya dan ajak naik motosikal, dia diletakkan di raga depan motosikal.

“Dia dapat larikan diri bila lelaki terbabit keluar dari ‘rumah papan’ itu kononnya kata nak pergi beli aiskrim. Agaknya dia berjalan sendirian sebelum ditemui jemaah masjid taman perumahan yang saya diami,” katanya.

29 Disember 2017

TEMERLOH - Pelajar perempuan yang dipercayai dilarikan seorang lelaki menyamar polis dari rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan ditemui selamat pada pagi dua hari berikutnya.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata, Nur Syaminn Nabila Mohd Sapawi, 16, ditemui berseorangan di stesen bas di bandar itu jam 11.05 pagi.

“Soal siasat awal mendapati mangsa menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Raub dan anggota kami mengambilnya di stesen bas berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Raub untuk pemeriksaan lanjut .

“Kita masih meneruskan siasatan bagi mengesan suspek yang dikatakan melarikan mangsa petang kelmarin,” katanya kepada pemberita.