Biodata

Profesor Madya Dr Angzzas Sari Mohd Kassim

Certified NLP Trainer & NLP Coach

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Pernahkah anda tertanya-tanya apakah kunci kejayaan?

Bagaimana pula keadaannya apabila dalam persekitaran pembelajaran yang sama iaitu guru yang sama, kemudahan fasiliti yang sama dan sebagainya, garapan dan kefahaman ilmu setiap pelajar masih berbeza?

Ada yang amat trampil dengan ilmu di dada, tidak kurang juga yang biasa-biasa sahaja.

Lebih menyedihkan apabila, kegagalan sentiasa menjadi peneman setia.

Pastinya tiada seorangpun yang inginkan kegagalan.

Malah, kehidupan yang baik pada masa hadapan sering dikaitkan dengan kecemerlangan di institusi pengajian.

Adakah benar IQ semata-mata yang terkod dalam DNA keluarga mentakdirkan kemampuan setiap manusia?

Pada hakikatnya, anda semua adalah sempurna!

Kemampuan minda anda sebenarnya melepasi jangkauan pemikiran manusia. Mereka yang telah berjaya mungkin sudah menemui cara untuk mendapat kejayaan itu dengan guna kemampuan minda untuk mencipta nasib mereka.

Walau bagaimanapun, mungkin ada juga sekumpulan manusia yang masih terlena mindanya dan perlukan sedikit ransangan untuk membangkitkannya semula.

Mungkin inilah rahsianya.

Persoalannya, bagaimana?

Awal tahun 2015 dengan izinNya saya mempelajari ilmu NLP (neuro-linguistic programming); iaitu satu kaedah untuk memodelkan kecemerlangan hasil daripada kajian saintifik beberapa pakar psikoterapi.

Apa yang menarik saya untuk lebih mendalami ilmu ini adalah keberkesanan teknik yang digunakan dalam masa agak singkat.

Tambahan lagi, ia merupakan templat yang fleksibel dan boleh diaplikasikan ke pelbagai bidang, daripada pendidikan, perniagaan, pengurusan organisasi termasuklah kekeluargaan.

Perkara utama yang ditekankan dalam mencapai kecemerlangan adalah ‘kawalan diri’ (state management).

Berjaya atau gagalnya seseorang itu bertitik tolak dengan bagaimana dia kawal emosi yang seterusnya pengaruhi tindakan dan respon akan dijana.

NLP menunjukkan bahawa emosi boleh dikawal dengan dua perkara, fisiologi dan sistem representasi dalaman (wayang minda).

Dalam Islam misalnya, kita digalakkan untuk duduk sekiranya sedang marah, ambil wuduk dan bernafas dalam-dalam.

Kita jadi lebih tenang. Nah, ini adalah contoh ringkas bagaimana dengan ubah fisiologi dapat mengubah emosi merundum seseorang dengan cepat.

Daripada pengalaman saya sebagai seorang pensyarah, kebanyakan pelajar tidak jelas dengan apa yang mereka mahu. Jawapan seperti, ‘saya tak minat program ini tetapi ibu/ayah yang suruh buat’, ‘saya ikut sahaja, kawan-kawan yang pilihkan’, ‘saya tak pasti kenapa saya di sini, nak cuba-cuba dulu lah’ dan macam-macam lagi, amat merunsingkan.

Apabila hidup seperti robot dalam mod default, maka pencapaian hidupnya biasa-biasa sahaja.

Sebaliknya, ada juga pelajar yang begitu jelas dengan apa yang diinginkan, seluruh fokus dan tenaganya lebih terarah seperti lampu yang menerangi malam yang gelap.

Justeru, pendidik bukan sahaja perlu pakar dalam kandungan subjek, malah perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran.

Teknologi yang diketengahkan dalam NLP merupakan sesuatu yang amat bernilai untuk diterokai.