PUTRAJAYA - Bebanan guru berkaitan pengurusan data pendidikan melibatkan pelbagai aplikasi dapat dikurangkan apabila Kementerian Pelajaran menetapkan hanya Aplikasi Pengkalan
Data Murid (APDM) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS-online) yang hanya perlu dilakukan. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penetapan itu dibuat bermula sesi persekolahan bermula tahun ini.

“Penetapan ini dapat mengurangkan 50 peratus beban guru dalam menguruskan aplikasi tersebut,” katanya.

Menurutnya, guru kelas dan guru akademik hanya perlu mengisi data di APDM serta PBS Offline sahaja berbanding sebelum ini. 

“Jika sebelum ini guru terpaksa melengkapkan data di pelbagai aplikasi, kini tidak lagi,” katanya.

Hadirin mendengar perutusan tahun baharu 2017 Kementerian Pendidikan oleh Mahdzir Khalid di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Beliau berkata, Sistem Pengurusan Maklumat Pendidikan (Emis) dan Sistem Pendaftaran Atas Talian (SPAT) dilaksana guru yang dilantik sahaja seperti guru data dan setiausaha
peperiksaan.

“Kementerian amat prihatin dan komited dengan tanggungjawab guru,” katanya.

Mahdzir berkata, kementerian juga memandang serius isu berkaitan masalah pelbagai tugas bukan hakiki yang dihadapi guru.

“Kita mahu ia diselesaikan kerana guru perlu beri lebih tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran.

“Kementerian Pelajaran juga berusaha cari jalan penyelesaian untuk lihat kembali tanggungjawab tugas hakiki dan tugasan lain yang diberikan termasuklah mengurangkan masalah
pengisian data secara atas talian,” katanya pada sidang media selepas majlis perutusan tahun baharu kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Selain itu, Mahdzir berkata, Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan telah dibangunkan untuk memberi panduan dan motivasi.

“Kementerian sentiasa komited untuk memastikan guru berkualiti sentiasa berada dalam perkhidmatan pendidikan.

“Pelan yang fleksibel ini memenuhi keperluan kompetensi individu, organisasi dan standard semasa secara sistematik serta bersepadu,” katanya.

JPA lulus cadangan penstrukturan semula jawatan

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan cadangan penstrukturan semula perjawatan telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ia diluluskan pada 14 Disember lalu. Kementerian dan JPA akan memuktamadkan struktur pada peringkat bahagian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam masa terdekat setelah urusan waran perjawatan diselesaikan,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu adalah usaha kementerian untuk meningkatkan kapasiti kementerian, JPN dan PPD ke arah pengantarabangsaan pendidikan.

“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menggariskan dengan jelas mengenai keperluan untuk meningkatkan kecekapan kementerian dalam menangani cabaran pendidikan global,” katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai tujuan itu, inisiatif penstrukturan dibangunkan bagi tujuan  memperkemaskan struktur peranan Kementerian Pendidikan, JPN dan PPD dengan memberi
lebih pengupayaan, kekuasaan serta kebertanggungjawaban dalam membuat keputusan.

“Inisiatif ini juga bertujuan membangunkan daya kepimpinan bagi 150 hingga 200 jawatan utama di Kementerian Pendidikan,” katanya.