PUTRAJAYA - Sempena sambutan bulan kebangsaan tahun ini, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sekali lagi menganjurkan program #mohngetehmerdekakklw.

Majlis perasmiannya diadakan di Institut Kemahiran Mara, Sungai Petani, Kedah yang disempurnakan oleh Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Program yang dianjurkan buat tahun ke dua ini berjaya mencatat rekod tersendiri apabila disertai kira-kira sejuta warga kementerian, agensi berkaitan dan orang ramai.

Diadakan secara serentak di seluruh negara yang melibatkan empat lokasi utama dan 12,246 lokasi berlainan melalui agensi-agensi di bawah KKLW.

Antara pengisian bagi program kemuncak sambutan bulan merdeka tahun ini ialah sesi persembahan pencak silat, persembahan puisi dan sajak kemerdekaan serta lintas langsung  bersama pelajar dan Komuniti Mara Luar Negara dari Australia, Mesir, Jerman dan United Kingdom.

 

Agensi yang terlibat adalah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH),  Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pusat-pusat Transformasi Luat Bandar (RTC) serta pelajar yang berada di luar negara.

Difahamkan penganjuran program ini bertujuan untuk memupuk serta menyuburkan rasa cinta dan sayang terhadap negara di kalangan masyarakat termasuklah warga KKLW sendiri.

Tahun lalu, program ini telah dirasmikan oleh Ismail Sabri di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan yang mana berjaya menghimpunkan seramai 609,662  peserta di seluruh negara.