SHAH ALAM - Institusi kekeluargaan perlu memainkan peranan mengawal dan membimbing anak-anak mereka terutama yang masih berada di peringkat sekolah rendah agar kejadian kehilangan kanak-kanak dapat dielakkan.

Pakar psikologi dan kaunseling dari Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Ruhani Mat Min berkata, ini sebab pada usia tersebut, kanak-kanak belum mencapai kematangan yang layak untuk membuat keputusan sama ada baik atau buruk.

“Ibu bapa atau ahli keluarga yang dewasa ini mereka mungkin nak beri sedikit kebebasan kepada anak-anak mereka tetapi mereka tidak sedar bahawa kanak-kanak belum mampu buat pertimbangan baik dan buruk jika terdedah dengan kandungan dalam media sosial tanpa pengawasan dan kawalan.

“Sebagai contoh kanak-kanak ini menggunakan aplikasi media sosial dan mendedahkan lokasi mereka kepada umum, ia menimbulkan bahaya kerana orang berniat jahat akan ambil kesempatan," katanya.

Kata beliau, situasi itu yang berlaku tanpa ada kawalan dan bimbingan institusi kekeluargaan kerana kita perlu tahu kanak-kanak belum mencapai kematangan dalam membuat pertimbangan serta keputusan dalam hidupnya.

Dr Ruhani berkata, pendedahan mengenai perkara yang berlaku dalam dan luar media sosial bagus untuk kanak-kanak tetapi apa yang penting adalah kawalan daripada keluarga itu sendiri.

“Perkara itu mestilah sesuai dengan usianya. Sebagai contoh di media sosial, ada video mengenai kes buli atau pukul, sampaikan kepada anak-anak bahawa ia satu perbuatan buruk serta nyatakan kesan terhadap dirinya jika dia berbuat demikian.

“Ibu bapa dan masyarakat perlu sedar, tindakan di luar jangkaan oleh anak-anak kecil dipengaruhi apa yang dilihat oleh mereka berulang kali," katanya.

Kata beliau, kekerapan itu akan mewujudkan satu corak dalam dirinya bahawa ia boleh dilakukan.

Sebagai contoh anak kecil berulang kali menonton aksi pukul dalam satu-satu filem dan dari sudut psikologi, kita akan mengingati sesuatu lebih ingat peristiwa yang diulang-ulang.