Persiapan rapi sedang dilakukan pelajar Selangor terpilih bagi persembahan padang, bersempena sambutan kemerdekaan yang akan disambut tidak lama lagi.

Mereka perlu menjalani latihan yang telah ditetapkan oleh jurulatih demi memastikan persembahan padang adalah yang terbaik.

Walaupun dimarah, ditengking, ditegur, penat dan terpaksa berpanas terik, namun mereka tetap bersemangat mengikuti latihan kerana bagi pelajar ini, bukan mudah untuk dipilih menyertai dalam acara kemerdekaan, hanya mereka yang layak sahaja diberi peluang.

GPSBestari mendapatkan beberapa jurulatih untuk berkongsi mengenai penglibatan pelajar mereka dalam persembahan padang.  

Keceriaan jelas terbayang pada wajah pelajar SSAAS yang terlibat dalam segmen 'colorguard'.

Latih dua bulan

Sebanyak 46 sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah terlibat pada persembahan padang tahun ini.

Antaranya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Bukit Kuda, Klang; SMK (P) Raja Zarina, Klang; SMK Tengku Idris Shah, Klang; SMK Taman Dato Harun, Petaling Utama; SMK Saujana Impian; SMK Gombak Setia dan SMK Puchong Utama.

Jurulatih yang terlibat pula, terdiri 16 guru sekitar Selangor dan mereka melatih pelajar mengikut segmen.

Terdapat empat segmen yang diketengahkan dalam persembahan padang itu nanti.

Empat segmen tersebut adalah segmen reenakmen (lakonan); bendera (formasi Jalur Gemilang); 'colorguard' (gerakan kreatif dan 'cheerleading') dan TN50 (formasi dan gerakan kreatif).

Jurulatih utama segmen 'colorguard', Mohammad Azmi Ag Amin berkata, seramai 1,380 pelajar terbabit dibahagikan tugas mengikut segmen.

"Latihan kita bermula awal Julai lalu," kata guru kelahiran Sipitang, Sabah.

Beliau yang juga guru Sains dan Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tinggi, Klang berkata, permulaan latihan berlangsung di Dewan MBSA Seksyen 19, Shah Alam.

"Latihan bermula dengan Training of Trainers (TOT) bersama wakil guru seramai dua orang dan dua wakil pelajar setiap sekolah yang terlibat.

"Setelah diberi taklimat dan pergerakan, wakil sekolah akan melatih pelajar di sekolah masing-masing selama dua minggu," katanya.

Menurut beliau, sepanjang latihan, jurulatih utama akan turun padang untuk memantau latihan dilakukan.

"Beberapa minggu kemudian, semua sekolah akan berkumpul di IM4U Sentral, Puchong dan Kompleks Sukan Negara, Seksyen 21, Shah Alam untuk latihan kelompok dan seterusnya mengadakan latihan di Dataran Merdeka sehingga 31 Ogos nanti," katanya yang telah bergelar jurulatih utama persembahan padang selama tiga tahun berturut-turut.

Latihan demi latihan yang dilakukan, tentunya membuatkan Mohammad Azmi memasang harapan tinggi untuk pelajar ini.

"Semua jurulatih mahu yang terbaik. Selama dua bulan kita berlatih, semestinya kita mahu persembahan mengagumkan, menarik dan memberi kepuasan buat seluruh rakyat Malaysia.

"Justeru, saya berharap agar pelajar menunjukkan persembahan dan penghayatan yang terbaik. Dapat membentuk jati diri yang hebat sebagai seorang rakyat Malaysia yang hidup dalam berbilang kaum, selain dapat memupuk semangat patriotisme dalam diri kerana sanggup berpanas demi negara tercinta," katanya.

Jurulatih utama yang melatih pelajar pada persembahan padang sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2017.

Sertai dua segmen

SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) merupakan salah sebuah sekolah yang terpilih menyertai persembahan padang tahun ini.

Manakala Cikgu Nurulhuda Mohd Subki, 34, telah dipilih untuk menjadi guru pengiring merangkap pembantu jurulatih utama (PJU) bagi pelajar.

Selain menjaga disiplin, beliau juga menjaga kebajikan dan memantau latihan oleh pelajar ketika pocket training.

Beliau yang mengajar beberapa subjek, antaranya Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Bahasa Melayu dan Sejarah berkata, tahun ini kali kedua dia terlibat dalam acara persembahan padang.

 

4 tahun latih pelajar ‘colorguard’

Jurulatih mahu pelajar buat persembahan terbaik pada 31 Ogos nanti

Banyak cabaran apabila mengajar pelajar yang baru menyertai persembahan padang.

Seseorang jurulatih perlu banyak bersabar dengan karenah pelajar mereka.

Bagi Cikgu Norzinani Ahmad Fauthi, 38 dari SMK (P) Methodist, Klang, ini bukan kali pertama dia dilantik sebagai guru pengiring dan juga pembantu jurulatih utama (PJU) sebaliknya ini tahun keempat dia diberi tanggungjawab oleh pihak sekolah untuk membawa pelajar  ke Dataran Merdeka.

"Memang banyak cabarannya. Ini sebab kebanyakan pelajar yang terlibat adalah pelajar berbeza setiap tahun.

"Pelajar yang terpilih hanyalah pelajar tingkatan 1, 2 dan 4. Pelajar kelas peperiksaan tidak dibenarkan terlibat dalam persembahan ini," katanya.

Menurut beliau, cabaran utama adalah melatih dan mengajar pelajar yang memang tidak ada pengalaman dalam rutin 'colorguard' serta tarian.

"Pendek kata memang rata-rata pelajar terbabit tidak ada pengetahuan dalam persembahan ini.

"Saya dan seorang lagi guru pengiring wajib memastikan setiap pelajar kami tahu dan pandai rutin 'colorguard' serta ingat segala 'step' tarian," kata guru Pendidikan Jasmani & Pendidikan Kesihatan ini.

Kata Cikgu Norzinani, mereka perlu mengajar dan menunjuk cara satu persatu agar ia mudah difahami dan boleh dibuat oleh semua pelajar.

SMK (P) Methodist, Klang turut terlibat dalam segmen 'colorguard'. Bentuk latihan yang biasa dilakukan adalah membuat beberapa rutin mengikut kiraan dan ulangan yang sepatutnya.

Antara rutin yang perlu dibuat adalah 'single spin', 'butterfly', 'con and circle', 'swing and turn' dan beberapa rutin lagi.

Rutin itu dibuat mengikut kiraan dan muzik serta lagu yang telah ditetapkan. Setelah rutin disiapkan, pasukan 'colorgurad' akan membentuk pula beberapa formasi.

Sebelum membuat persembahan  di Dataran Merdeka, 31 Ogos ini, pelajar terbabit terlebih dahulu menjalani latihan di beberapa lokasi, antaranya padang sekolah, IM4U Sentral, Puchong; Stadium Matsushita Panasonic, Shah Alam dan Dataran Merdeka.

Sehubungan itu, Cikgu Norzinani sangat berharap agar sekolah dapat meneruskan penyertaan dalam latihan persembahan padang sempena kemerdekaan.

"Terlalu banyak pengalaman dan ilmu yang akan diperoleh pelajar terlibat. Apatah lagi ini adalah sumbangan terhadap negara.

"Selain pengalaman, pelajar akan dapat sijil peringkat kebangsaan. Jadi, pencapaian ini dapat dimasukkan dalam sijil kegiatan kokurikulum mereka nanti," ujarnya.

Buat persembahan terbaik  

Sementara itu, seramai 30 pelajar perempuan SMK Convent Klang terpilih mengikuti latihan untuk persembahan padang.

Mereka juga terlibat dalam segmen 'colorguard' dan latihan yang sedang dijalani pelajar adalah asas pergerakan dalam rutin 'colorguard', formasi dan gerakan tarian.

 

PJU Cikgu Khairiah Mat Alias berkata, SMK Convent Klang terlibat dengan persembahan hari kemerdekaan sejak 2003 sehingga sekarang.

"Saya gembira kerana terlibat secara langsung dalam kumpulan persembahan Hari Kebangsaan.

"Dengan penglibatan ini juga dapat memberi pengalaman kepada pelajar dan juga saya sendiri," katanya.

Menurut Cikgu Khairiah, seawal latihan TOT mereka terlibat mempelajari kemahiran asas pergerakan 'colorguard' dan bersama-sama melatih pelajar di sekolah dengan bantuan jurulatih utama.

"Saya juga dapat melihat kegigihan, kesabaran dan keseronokan pelajar dalam menghafal gerak langkah tarian dan kemahiran dalam pergerakan 'colorguard'. Ia merupakan satu kenangan manis," katanya.

Akhir sekali, Cikgu Khairiah mengharapkan pelajar melakukan persembahan yang sangat baik, gembira dan tiada sebarang kecederaan atau masalah kesihatan ketika persembahan Hari Kebangsaan nanti.

"Saya harap sekolah akan terus terlibat dengan persembahan Hari Kemerdekaan pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Pelajar-pelajar sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melakukan raptai persembahan ‘Sehati Sejiwa’ sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka. - Bernama

Pelajar SMK (P) Methodist, Klang ketika mengadakan latihan di Dataran Merdeka.

 

Kami bangga terpilih!

Enam pelajar ini gembira kerana berpeluang membuat persembahan padang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Walau terpaksa jalani latihan sejak Julai lalu, namun mereka tetap bersemangat waja mengikuti jadual yang diaturkan. Memang terbaiklah pelajar ini.