SHAH ALAM - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 melakar sejarah tersendiri apabila berjaya  mengumpul sebanyak 1,000 keping bekas biskut terpakai bagi menghasilkan dua Jalur Gemilang yang menghiasi Dataran Bunga Raya di sini.

Selain menghasilkan bendera eksklusif daripada kepingan plastik bekas biskut itu, warga SMK Seksyen 16 turut  menghasilkan replika kereta kebal daripada bahan buangan sebagai simbolik sambutan bulan kemerdekaan  peringkat sekolah itu.

Replika kereta kebal daripada bahan terbuang menjadi prop utama Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan SMK Seksyen 16.

 

Guru penyelaras program,  Mohamad Khamidon Sadi berkata, semua persiapan untuk pelancaran tersebut disiapkan dalam masa dua minggu.

"Hampir semua guru lelaki turut membantu dan lebih kurang 50 pelajar mengerah tenaga untuk menyiapkan semuanya.

"Selain bendera gergasi, kereta kebal dan mural Jalur Gemilang panjang, kami juga turut berjaya menghasilkan monumen Batu bersurat, TN50, Satu Malaysia serta laman sejarah," ujarnya.

Kata Cikgu Khamidon, objektifnya tercapai apabila pelajar suka membuat kerja tersebut dan secara tidak langsung ia memupuk nilai kerjasama.

"Saya menggunakan masa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkonsepkan belajar di luar bilik  darjah untuk siapkan semua replika.

"Saya mengajar mata pelajaran Pendidikan Seni dan Lukisan Kejuruteraan, jadi saya gunakan masa itu selain menyambungnya pada waktu petang," katanya di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan 2017  peringkat sekolah itu.

Beberapa meriam yang dihasilkan daripada barang terbuang ini diletakkan di Taman Kemahiran Hidup sekolah itu.

 

 

Menurutnya, kerja menyiapkan setiap projek dibahagikan kepada beberapa kumpulan, jadi kerja lebih teratur, pantas  dan mudah.

Beliau turut memuji komitmen yang diberikan setiap pelajar yang sanggup mengorbankan masa waktu petang menyiapkan tugasan.

"Sambutan tahun ini berlainan, kita cuba melibatkan seramai mungkin pelajar antaranya 40 pelajar unit badan uniform, 50 badan pengawas dan 20 pelajar tingkatan satu sesi petang.

"Itu bertujuan menyemarakkan jiwa merdeka kepada semua pelajar," ujarnya.

 

Pupuk semangat patriotisme

Pengetua SMK Seksyen 16, Rohana Mat Sah berharap penglibatan yang tinggi daripada pelajar untuk menjayakan pelbagai aktiviti dan program yang dirancang sepanjang bulan kemerdekaan.

"Selain menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan, aktiviti ini bertujuan menyemai semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Alhamdulillah, berkat usaha dan komitmen yang diberikan mereka, akhirnya kami berjaya menyiapkan semuanya.

“Memandangkan kesemua pelajar memberi komitmen yang tinggi, saya yakin, dengan adanya aktiviti sebegini kita dapat memupuk kesedaran mereka terhadap kepentingan memeliharakedaulatan dan kemerdekaan negara,” katanya.

Cikgu Hamidon memberi penerangan kepada Dr Mustaffa Halabi mengenai replika Batu Bersurat SMK Seksyen 16 yang dibuat daripada kerusi rosak sambil diperhatikan Rohana.

 

Rohana berkata, semangat patriotisme harus dipupuk secara berpanjangan terutama kepada golongan pelajar dalam melahirkan masyarakat memiliki semangat patriotisme yang tinggi.

“Usaha begini harus dipuji kerana ia adalah salah satu inisiatif dalam membentuk pelajar yang sentiasa cintakan negara dan tidak melakukan perkara memburukkan nama serta imej sekolah selain  negara,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Hab Media Kreatif & Teknologi UiTM, Profesor Dr Mustaffa Halabi Azahari.

 

Amat terkesan di hati

Selain itu, Ketua Pengawas, Muhammad Iqbal Mohd Rasif, 17, berkata sambutan peringkat sekolah pada hari  itu sangat terkesan kepadanya.

"Saya juga turut terlibat membantu guru menyiapkan replika dan monumen tersebut.. dari situ lahirlah sikap bersatu padu antara kami.

"Sebagai ketua pelajar juga, saya akan pastikan rakan pelajar turut serta apa program yang cikgu adakan..  saya berharap ianya dapatlah menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam diri," katanya.

 

Menurut Siti Nur Nabila Mohd Anuar, 17, dia berasa bangga dengan sambutan tahunan sekolahnya.

"Ia menunjukkan semangat patriotik sentiasa ada dalam diri kami, saya juga gembira setelah mengerah tenaga membantu cikgu menyiapkan semua replika dari bahan terbuang," ujarnya.

Timbalan Ketua Pengawas, Muhammad Aidil Solehin Marhalim, 17, berkata, kebanyakan pelajar bersemangat untuk turut serta dalam program sepanjang bulan kemerdekaan ini.

"Saya juga akan cuba nasib dalam semua pertandingan memandangkan semua pelajar sekolah kami sangat berdaya saing," ujarnya.

 

WARNA-WARNI SAMBUTAN

Mural bendera Malaysia sepanjang pagar hadapan sekolah.