Dalam kebanyakan ruangan berita dan media, selalu dinyatakan kanak-kanak sekolah atau pelajar yang dibuli.

Ramai yang tidak menghiraukan atau tidak mengendahkan bahawa pendidik juga dibuli.

Membuli di tempat kerja dalam sektor pendidikan berpotensi mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran secara negatif dan merupakan kebimbangan yang besar serta pelanggaran hak pekerja selain hak asasi manusia.

Ia adalah kelemahan sosial yang kerap berlaku dan mengganggu persekitaran kerja, menjejaskan hubungan dan pertalian serta menyakitkan hati.

Bilangan insiden dilaporkan, serta penyelidikan terdahulu mengenai buli di tempat kerja secara umum tidak diambil endah mahupun jarang diambil tindakan oleh pihak tertentu.

Buli yang berlaku di sekolah dan institusi pendidikan adalah disebabkan oleh pentadbiran organisasi lemah dan penuh kecelaruan.

Pentadbir sekolah dan institusi seperti ini digambarkan sebagai pimpinan yang tidak kompeten, tidak bertanggungjawab, angkuh dan biadab, kurangnya akauntabiliti, keadilan dan ketelusan.

Pembuli menunjukkan ketidakadilan, tidak mengamalkan ketelusan dalam persekitaran kerja dan menjejaskan serta membahayakan kehidupan profesional mangsa yang sering tertindas, sering dipersalahkan, mengasingkan diri dan didiskriminasikan.

Ramai ingin berkongsi pengalaman mereka sendiri sebagai mangsa buli di tempat kerja atau ada rakan mangsa yang ingin membantu, tetapi memutuskan untuk memelihara ketenteraman dengan mengatakan; “kami terlalu takut untuk menyatakan perkara sebenar bagi pihak rakan sekerja kami,” atau “pada masa kini semua orang takut untuk menyatakan dan menyuarakan apapun”.

Kajian menunjukkan penyalahgunaan lisan ('verbal abuse') adalah kekerapan dan gangguan utama yang digunakan pembuli selain penyebaran gosip dan fitnah berniat jahat sebagai rekaan strategi paling diutamakan.

Pembuli juga sering membuat ‘ancaman’ yang menjadi taktik selain mengganggu mangsa dengan perlakuan tidak sopan serta kerap merendahkan darjat dan kedudukan mangsa dibuli.

Diskriminasi juga adalah sejenis buli. Seorang rakan sekerja telah berada di dalam organisasi selama lebih dari 10 tahun, dan selama 10 kali berturut-turut, biasiswa melanjutkan pelajarannya ditolak sedangkan rakan sekerja yang baru berkhidmat kurang dari lima tahun dalam organisasi berjaya memperoleh biasiswa dipohon.

Gaya pengurusan autokratik, biadab, angkuh serta penyalahgunaan kuasa oleh ‘ketua pembuli’ secara berterusan mengakibatkan sikap tidak peduli dalam kalangan anggota kakitangan (contoh: “Kami hanya berdiam diri semasa mesyuarat. Biarkan dia menjalankan mesyuarat itu sendiri.” atau “kini dia takut untuk menyuarakan apa-apapun”.)

‘Ketua Jabatan/Ketua Unit’ (kebanyakannya pegawai kanan) sering menyalahgunakan kuasa mereka, kerana mereka diberi peluang untuk menentukan kedudukan pembangunan profesional, kenaikan pangkat, beban kerja serta pelantikan dan pemecatan pendidik yang berpengalaman serta tidak tetap.

Memang mencabar untuk berurusan dengan ‘kepala pembuli’. Untuk menangani dengan berkesan, anda tentunya memerlukan bantuan.

Menentang mereka secara persendirian atau berseorangan bukanlah sesuatu yang berfaedah dan menguntungkan diri. Oleh sebab ketua pembuli memang berkedudukan dan berkuasa ke atas anda, mereka boleh membuat kehidupan dan kerja anda seolah-olah ‘neraka’ jika anda cuba melakukan sesuatu yang memalukan atau mencabar ego mereka.

Tiga langkah penting untuk guru ambil jika dibuli:

1. Pendokumentasian adalah satu alat keperluan yang baik dan tidak boleh dipandang remeh. Sekiranya anda berurusan dengan ‘bos’ yang dikenal kerana membuli, anda perlu masuk ke dalam 'mod wartawan mahkamah' dan secara diam dan senyap dalam mengumpul dokumentasi anda.

2. Apa saja perkara yang berkaitan dengan insiden pembuli, e-mel/teks; termasuk kenyataan atau petikan tepat (jika boleh), tarikh, masa, segala-galanya hendaklah dikumpulkan dan dikemukakan bagi tujuan membuat aduan atau laporan.

3. Bagi guru dan pendidik di negara ini, mereka mungkin dapat menyalurkan ‘aduan’ melalui Perkhidmatan Pelanggan Kementerian Pendidikan dengan menelefon Talian Bebas Tol Bulanan (ADU DISIPLIN) 1-800-884774 atau e-mel: Kpkkpm@moe.gov.my. Lihat juga http://www.moe.gov.my/index.php/en/contactkami/ suara-anda/khidmat-pelanggan.