Pernah dengan mengenai mata pelajaran Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik?

Mungkin ramai yang tidak tahu kerana hanya tiga sekolah di negara ini yang menyediakan subjek yang diasaskan pada 2005 untuk pelajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tiga sekolah terpilih itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24 (2) diikuti SMK Tasek Utara 2, Johor dan SMK Pengkalan Chepa, Kelantan.

Fokus GPSBestari kali ini memberi pendedahan kepada pembaca mengenai aktiviti dan kelebihan subjek ini kepada pelajar.

Alwardah

Guru SMK Seksyen 24 (2), Shah Alam, Alwardah Dolhalit berkata, subjek itu bukanlah sekadar subjek akademik semata-mata kerana ada pengisian bermanfaat bagi pelajar yang mengambil subjek tersebut.

Beliau yang juga Penyelaras Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik ini berkata, subjek berkenaan merupakan satu daripada mata pelajaran elektif vokasional di sekolah menengah atas dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

"Pelajar yang mengikuti mata pelajaran ini dapat menguasai kemahiran memberi perkhidmatan penjagaan warga tua dari segi fizikal, psikologi dan sosial," kata beliau.

Katanya, melalui subjek itu pelajar diajar bagaimana cara menyuap makanan dengan betul, mengangkat dan mengalih, memandikan, mengajar naik dan turun tangga dan sebagainya.

"Pelajar wajar dibekalkan dengan kemahiran penjagaan warga tua kerana ilmu yang diperoleh berguna sampai bila-bila," ujarnya.

Pelajar menunjukkan cara menggosok gigi warga emas dengan betul.

Alwardah berkata, pemilihan sekolah berkenaan bergantung kepada kementerian, diselarikan dengan keperluan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

"Kursus ini memerlukan kos tinggi. Penubuhan bengkel misalnya, sekolah memerlukan kelengkapan yang mencukupi seperti di hospital.

"Katil, keperluan peralatan perubatan dan bukan perubatan, kerusi roda dan pelbagai lagi kelengkapan diperlukan untuk memudahkan pelajar belajar Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik," ujarnya.

Pelajar makin bertambah

Hanya pelajar tingkatan empat dan lima yang mengikuti Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik.

"Tahun ini, seramai 97 pelajar terdiri daripada 50 pelajar tingkatan empat dan 47 tingkatan lima mengikuti mata pelajaran berkenaan.

"Sebab jumlah pelajar sebanyak itu, pihak sekolah membuka empat kelas, dua kelas untuk tingkatan empat dan dua lagi tingkatan lima berbanding sebelumnya hanya dua kelas sahaja," katanya.

Sesi amali oleh pelajar Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik.

Melihatkan permintaan tinggi dan pertambahan kelas, pihak sekolah telah mengambil seorang lagi guru bagi membantu beliau.

"Mujur ada Cikgu Maslitah Latip, guru baru yang turut mengajar subjek ini.. bukan senang nak dapat guru Gerontologi kerana perlu memenuhi ciri tertentu.

"Guru subjek ini perlulah seorang yang lemah lembut dan bersopan santun kerana bersesuaian dengan modul berkaitan warga tua," jelas Alwardah.

Walaupun Cikgu Maslitah lulusan bidang perakaunan tetapi dia cuba cabar diri untuk mengajar Gerontologi.

Pelajar dapat dua sijil Dalam subjek ini terdapat 7 modul iaitu modul 1 hingga 3 dan sebahagian modul keusahawanan diajar kepada pelajar tingkatan empat manakala modul 4 hingga 7, untuk pelajar tingkatan lima.

Menurut Alwardah, waktu belajar berdasarkan jadual kelas masing-masing.

"Dalam seminggu, ada 15 masa diperuntukkan untuk Gerontologi. Sehari, pelajar akan belajar sekitar satu jam setengah (tiga masa).

"Proses pembelajaran berlangsung di Bengkel Permata Kasih. Mereka belajar teori, amali dan praktikal. Istimewanya, pelajar Gerontologi akan dapat dua sijil iaitu sijil SPM dan sijil MPV," ujarnya.

Walaupun Gerontologi sudah lama diwujudkan, masih ramai yang belum mengetahui kehadirannya.

"Mungkin kita kurang promosi kepada masyarakat. Saya berharap, promosi dapat diperluaskan khususnya kepada ibu bapa.

"Masyarakat perlu buka mata kerana subjek ini bukan hanya beri potensi akademik, tetapi bekalkan pelajar kemahiran, peluang dan pengalaman untuk masa depan," ujarnya.

Peluang kerja lebih luas

Bilangan warga tua di negara saban tahun makin meningkat.

Untuk itu, pelajar gerontologi ini cukup bertuah untuk membina masa depan yang cerah.

"Bila warga emas ramai, kita memerlukan individu yang berkemahiran terhadap penjagaan warga tua.

"Untuk 'batch' pertama 2006, dari segi potensi unggul pelajarnya sudah mencebur dalam pelbagai kerjaya," katanya.

Maslitah

Menurutnya, ramai lepasan SPM yang mengambil Gerontologi menjadi ahli fisioterapi dan jururawat.

"Tak kurang juga yang bekerja dalam bidang kulinari, perhotelan dan juga peguam, tambahan pula pencapaian dalam SPM pelajar ini sangat memberangsangkan," katanya.

Misalnya, pada 2014 gred purata mata pelajaran (MP): 1.14 (peratus lulus 100%); 2015 gred purata MP 1.07 (peratus lulus 100%) dan 2016 gred purata MP 1.59 (peratus lulus 100%).

Cikgu Maslitah yang baharu diamanahkannya mengajar Gerontologi sebelum ini mengajar subjek Bahasa Melayu bagi tingkatan satu dan dua.

Cara mengangkat warga emas daripada kerusi roda ke kerusi komod.

Kemudian, apabila berlakunya penambahan pelajar dalam Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik, beliau dipilih pentadbir untuk mengajar mata pelajaran tersebut bagi tingkatan empat.

"Saya mula mengajar pada Mac tahun lalu. Mulanya agak tidak yakin juga sebab saya daripada jurusan perakaunan.

"Tapi bila dah cuba dan buat kajian mengenai subjek Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik, semuanya jadi mudah," katanya.

Menurut beliau, subjek itu bukan sukar kerana modul yang ada merupakan apa yang kita lalui seharian.

Mengambil bacaan denyut nadi.

"Pelajar diajar cara makan, minum dan mandi bagi orang tua tetapi, semua itu perlu melalui teknik yang betul, ada kaedah jadi tak ada masalah untuk guru atau pelajar menguasainya," ujarnya.

Katanya, mengajar subjek itu memang menyeronokkan kerana ia cukup berbeza dengan subjek lain.

"Dengan pelajar, hubungan bertambah rapat berbanding subjek lain yang memerlukan guru mengajar dan pelajar mencatat.

"Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik ini banyak amali. Bila banyak amali, pelajar banyak bertanya pada guru dan mula mesra. Mereka juga sentiasa buat kerja berkumpulan dan ini membuatkan hubungan makin erat," katanya.

Cikgu Alwardah menunjukkan cara melakukan CPR dengan betul.

Kata Cikgu Maslitah, beliau menganggap pelajar yang mengikuti subjek itu dianggap sebagai fardu kifayah.

Selain mempelajari teori, amali dan praktikal, Gerontologi turut menganjurkan aktiviti dan program untuk pelajarnya.

"Kita pernah buka kaunter pemeriksaan kesihatan ketika program sekolah berlangsung. Kita juga adakan Bengkel Cardiopulmonary Resuscitation atau CPR dengan kerjasama Pertubuhan CPR 1Malaysia.

"Kita juga mengadakan lawatan ke Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, di Puchong dan akan datang, iaitu pada 22 September ini, pelajar akan mengadakan lawatan Kembara Mahkota ke Pusat Jagaan warga emas Nur Ehsan dan Hospital Sultan Ismail sebagai memberi peluang kepada pelajar untuk aplikasikan apa yang mereka belajar," katanya.

Reaksi pelajar

Majoriti pelajar yang mengikuti mata pelajaran Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik gembira kerana berpeluang menimba ilmu pengetahuan dalam penjagaan orang tua.

Bukan senang nak dapat kemahiran dan pendedahan sebegini, jika bukan inisiatif mewujudkan subjek berkenaan, mana mungkin pelajar dapat mengetahui bagaimana cara memberi perkhidmatan penjagaan warga tua dari segi kebersihan, tidur, mobiliti, riadah, rekreasi dan sebagainya.

Ammar Rifqi Mohamad Azhar, 16

"Sebelum ni, saya tak tahu bagaimana cara sebenar untuk bantu warga emas makan, mandi, sakit dan sebagainya. Tapi sejak ikuti gerontologi, banyak kemahiran dan pendedahan yang dapat. Selain jururawat, saya teringin nak jadi fisioterapi. Nak tolong jaga warga tua dan berbual-bual tanya kisah hidup mereka. Harapnya, impian saya terlaksana kelak.”

Hanis Farhani Alias, 16

"Mula-mula belajar memang rasa susah, sebab kena buat amali mengangkat warga tua, kena layan karenah mereka dan sebagainya. Tapi, bila dah lama-lama, semuanya jadi senang. Insya-Allah, saya akan menyambung pelajaran dalam bidang sama. Namun jika saya dapat jurusan berbeza, segala ilmu yang saya dapat di sekolah, akan diaplikasikan kepada keluarga sendiri.”

Afiq Aiman Mohamad Azmi, 16

"Keluarga sokong dengan keputusan saya ambil mata pelajaran ni. Mereka sentiasa beri sokongan moral. Memang benar, awal-awal belajar, agak susah kerana banyak aktiviti dan amali. Bab menghafal agak bermasalah buat saya, tetapi jika kita berusaha semuanya dapat diatasi. Nasihat pada adik-adik yang minat dengan Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik agar banyakkan bersabar, kena rajin buat kerja, ikhlas dan sentiasa senyum.”

Farisha Dania Rudin Anwar, 17

"Banyak yang telah dipelajari, antaranya cara mengendalikan warga tua dari segi mengangkat mereka dari katil ke kerusi, kerusi roda ke kerusi komod, bantu naik dan turun tangga, CPR, mengambil suhu badan, denyutan nadi dan lain-lain. Jika semuanya berjalan lancar, saya mahu sambung pengajian ke MSU dan ambil jurusan fisioterapi. Impian saya sangat tinggi iaitu mahu bantu warga emas yang ada masalah pergerakan dan mahu beri mereka kegembiraan.”

Muhammad Aiman Faris Sayuti, 17

"Baru-baru ini, ayah terlantar di hospital kerana darah tinggi. Makan, mandi dan segala keperluan ayah, saya yang buat hinggakan doktor dan jururawat tanya, saya belajar di mana dan ambil jurusan apa sebab apa yang saya buat, semuanya tersusun dan mengikut kaedah sebenar. Kiranya ilmu ini satu bonus buat saya.”

Sheikh Muhammad Fazren Sheikh Abd Hadi, 17

"Cita-cita saya nak jadi ahli fisioterapi. Sebab itu, saya pilih subjek ini dan nekad belajar bersungguh-sungguh selama dua tahun. Saya masih ingat, ketika kunjungan ke Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong, saya berpeluang menyuap makanan kepada sekumpulan orang tua. Tak ada perasaan jijik atau melecehkan sebaliknya saya sedih melihatkan keadaan warga emas tersebut.”

Afwan Hakim Abd Halim, 16

"Saya dapat tahu subjek ini daripada kawan yang pernah ambil Gerontologi. Mereka cakap subjek ni best, terbaik dan menyeronokkan. Bila banyak keistimewaan, saya mula jatuh cinta pada Gerontologi. Tambahan pula, saya sudah tiada ayah, cuma ada mak saja. Sebagai anak bongsu lima beradik, jadi tanggungjawab saya untuk jaga ibu. Atas sebab itu, saya mahu kutip segala ilmu untuk kegunaan masa depan. Tamat belajar nanti, saya nak tubuhkan rumah warga tua dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka, insya-Allah.”

Afifa Naqiah Johari, 17

"Warga tua cukup sensitif. Cepat terasa, merajuk, sedih dah sebagainya. Sebagai pelajar yang belajar subjek berkaitan, saya kena pandai pujuk dan caranya, kena cakap lemah-lembut dan jangan tinggikan suara kerana akan membuatkan keadaan menjadi keroh. Cikgu pun ajar, jangan terlalu ambil hati dengan apa yang orang tua cakap, lagipun, warga emas ini, kadang-kadang mereka tidak tahu apa yang mereka katakan.”