Sekumpulan 30 sukarelawan Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (KKTB), Universiti Malaya (UM) membawa seramai 120 pelajar dan guru Madrasah Darul Tahfiz Sri Al-Ain, Sungai Buloh, ke Zoo Negara di Ulu Kelang, baru-baru ini.

Madrasah ini menempatkan lebih 100 pelajar harian dan asrama yang terdiri dari penduduk sekitar, keluarga miskin dan asnaf selain pendatang Kemboja serta Rohingya. Kehadiran sukarelawan UM setiap hujung minggu melakukan aktiviti bersama mereka sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada pelajar madrasah untuk meneruskan pelajaran. Program lawatan ke Zoo Negara ini merupakan kali pertama mahasiswa UM membawa pelajar-pelajar madrasah ini ke luar.

Selain daripada berjalan ke seluruh kawasan zoo bagi menyaksikan kehidupan haiwan-haiwan yang ada dengan lebih dekat, pelajar-pelajar ini turut dibawa melihat persembahan burung kakak tua, monyet dan singa laut. Menariknya, mereka turut dibawa melihat sepasang panda yang dihadiahkan oleh kerajaan China kepada Malaysia, tidak lama dahulu.

Pengalaman menyaksikan haiwan liar di habitat masing-masing, diharapkan menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar untuk sentiasa meneroka sesuatu yang baru, dan menjadi lebih berani mendepani cabaran yang mendatang.