KUALA PILAH – Sebanyak 20 buah sekolah dipilih oleh Unit PrasekolahJabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) untuk program Jerayawara Bengkel Asas Boneka Bayang Prasekolah NS 2018.

Program berkonsepkan didik hibur tersebut mendapat kerjasama Patungpatung Network & Services, Arts Space Kids dengan tajaan Lazz Ain Marketing Sdn Bhd.

Pengurus Operasi Patungpatung Network & Services juga moderator bengkel, Mardiah Shafri berkata, penganjuran bengkel itu bertujuan menjadikan boneka bayang sebagai instrumen atau alat pedagogi dalam pembelajaran di dalam kelas kanak-kanak di prasekolah.

Kanak-kanak prasekolah ceria selepas mengikuti program Jerayawara Bengkel Asas Boneka Bayang Prasekolah NS 2018.

“Selain itu, ia merangsang minda anak-anak agar kreatif dan berfikiran kritis.

“Bengkel ini mampu mengurangkan kebergantungan anak-anak prasekolah kepada gajet dan pastinya instrumen menarik minat untuk anak-anak hadir ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran bengkel asas boneka prasekolah Negeri Sembilan 2018 dan persembahan teater boneka bayang Anak Biri biri dan Serigala bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chun Dangi.

Kanak-kanak teruja melihat teater boneka bayang Anak Biri biri dan Serigala bertempat di SJKC Pei Chun Dangi.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Unit Prasekolah Pejabat Pendidikan Daerah, Siti Marziah Mohd Yusoff.

Hadir sama, Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid SJKC, Pei Chun Dangi, Lim Tsuey Ying.

Sementara itu, Penyelaras Prasekolah SJKC Pei Chun Dangi, Hee Mun Cheng berbesar hati kerana prasekolah SJKC Pei Chun terpilih dalam penganjuran bengkel boneka ini.

“Pembelajaran berkonsepkan didik hibur pastinya memberi impak positif kepada pemikiran kanak-kanak untuk lebih kreatif dan berdaya saing.

“Mereka boleh bernyanyi di samping mengenali karakter teater boneka dengan lebih dekat,” katanya.

Mardiah memberi taklimat kepada murid prasekolah.