KUALA KRAI - Seramai 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Mengkebang, dekat sini, menerima bantuan beg sekolah daripada Sukarelawan Hospital Sungai Buloh.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya Murid, Kuala Krai, Zahari Yusoff meluahkan rasa gembira PPD Kuala Krai dipilih untuk menerima bantuan tersebut.

"Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada penyumbang dan amat berbangga kerana rakyat Malaysia kini semakin aktif dan prihatin terhadap isu-isu permasalahan sosial, khususnya kemiskinan kian mencabar dihadapi komuniti terkini.

"Saya berharap akan ada ramai lagi sukarelawan yang peka dengan murid khususnya dalam era pendidikan hari ini," katanya selepas program Bantuan Awal Persekolahan di SK Batu Mengkebang.

Turut hadir, Pengerusi Sukarelawan Hospital Sungai Buloh, Datin Seri Zubaidah Hazabollah; Guru Besar SK Batu Mengkebang, Zakaria Jaafar, dan guru-guru SK Batu Mengkebang.

Pada majlis sama, sukarelawan terbabit turut menyumbangkan beras, minyak masak dan makanan kepada 100 ahli orang penduduk miskin.