POKOK SENA - Seramai 50 murid Sekolah Kebangsaan Kampung Paya dilantik sebagai pengawas, pengawas pusat sumber, pengawas Skim Pinjaman Buku Teks, ketua dan penolong ketua kelas baru-baru ini.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Zakaria Ismail berkata, pelajar yang dipilih itu berdasarkan keterampilan diri dari sudut sahsiah, kecemerlangan akademik, kokurikulum dan boleh menjadi ikon kepada pelajar yang lain.

Katanya, tujuan murid yang terpilih itu dilantik supaya dapat melatih mereka menjadi pemimpin dan bertanggungjawab.

“Sifat kepimpinan yang diasuh di sekolah sememangnya menjadi titik permulaan baik untuk melahirkan generasi dan pelapis sebagai pemimpin negara pada masa akan datang.

"Majlis itu diadakan bagi memberi semangat kepada mereka menjalankan tugas dengan lebih amanah dan berdedikasi,” katanya.

Majlis penyampaian sijil itu disempurnakan guru besar SK Kampung Paya, Ishak Hashim. Sebelum itu, ketua pelajar, Wan Muhamad Ammar Wan Jelani mengetuai membaca ikrar watikah.