KULIM - Seramai 58 murid Sekolah Rendah Islam Nurul Hidayah Penghulu Elang menerima watikah lantikan sebagai pengawas bagi sesi 2018.

Guru Pembimbing Pengawas, Norsham Awang berkata, lantikan baharu pengawas yang diadakan setiap tahun adalah untuk memberi peluang dan melatih pelajar menjadi pemimpin.

“Tahun ini saja lantikan baharu pengawas adalah seramai 58 orang dari tahun tiga hingga enam, di mana jumlah keseluruhan pengawas di sini adalah 123 orang,” ujarnya.

Katanya, sifat kepimpinan yang diasah dari peringkat sekolah rendah ini sememangnya menjadi titik permulaan yang terbaik untuk melahirkan generasi dan pelapis negara.

“Pelajar yang diberi peluang menjadi sebahagian daripada barisan pengawas sekolah ini akan banyak mendapat manfaatnya, bukan sahaja boleh membentuk disiplin, malah meningkatkan keyakinan diri.

“Pelajar ini juga kebiasaannya akan mempunyai prestasi pembelajaran yang cemerlang,” katanya.

Pelajar Tahun Tiga, Mohamad Harith Mohamad Shukor berkata, dia gembira kerana dipilih menjadi seorang pengawas sekolah.

“Saya seronok jadi pengawas sekolah, boleh jaga kawan-kawan, boleh jaga disiplin selain dapat meningkatkan keyakinan diri,” katanya.