Seramai 700 pelajar Kolej Vokasional Lebuh Cator (KLVC) menyertai kejohanan merentas desa kali ke-6 kolej itu yang berlangsung, baru-baru ini.

Setiausaha kejohanan, Nor’ain Suaaib berkata, aktiviti itu adalah acara tahunan bagi memenuhi takwim sekolah, namun setiap tahun pelajar menunjukkan semangat tinggi untuk menamatkan larian dengan catatan masa yang terbaik.

Menurutnya, melalui aktiviti ini juga membina kecergasan fizikal dan mental bagi membentuk pelajar yang cergas dan sihat.

“Pelajar perempuan perlu menamatkan larian sejauh 5km dan 5.5 km pula bagi lelaki. Kategori terbuka untuk pensyarah dan kakitangan KLVC,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pelajar memulakan larian dari KLVC melalui Kinta River Front dan Taman Dr Seenivasagam sebelum menamatkan larian di pekarangan kolej.

Katanya, sepanjang larian, pelajar tidak mengalami sebarang masalah dan berjaya mengekalkan stamina sehingga penghujung larian.