Kehadiran usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman ke Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong (SMKTG) beberapa hari lalu meninggalkan kenangan dan seribu makna buat pelajar dan guru-guru di sekolah itu.

Sheikh Hanis (kanan) dan guru-guru SMKTG menyambut kehadiran Aliff Syukri di pekarangan sekolah.

Mana tidaknya, apabila pengasas produk kecantikan dan kesihatan, D’ Herbs Healthy Sdn Bhd yang tersohor itu berkongsi sejarah kehidupannya dan bagaimana beliau mencapai impiannya bergelar usahawan pada usia yang sangat muda.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sheikh Hanis Sheikh Sallahuddin berkata, pihak sekolah dan PIBG sepakat menjemput beliau sempena program Motivasi Perdana dan Sembang Santai yang berlangsung di Dataran Terbuka, sekolah berkenaan.

Pengetua SMKTG, Shokimi Saman (kiri) mengiringi usahawan terkenal itu ke pentas utama.

“Kehadiran beliau yang juga bekas pelajar SMKTG itu juga disambut meriah oleh kira-kira 1,200 pelajar yang terdiri daripada tingkatan 3, 4 dan 5.

“Beliau berkongsi banyak perkara berkenaan kehidupan masa remaja, halangan yang dihadapi dan bagaimana dia merubah kehidupan keluarganya yang susah kepada lebih baik sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.

Motivasi yang disampaikan Aliff Syukri begitu mencuit hati dan menyentuh perasaan semua yang hadir.

Menurutnya, kehadiran Aliff Syukri benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam kepada para pelajar sehingga mereka tekun mendengar setiap apa yang disampaikan.

“Harapan kita agar pelajar-pelajar menjadikan kejayaan usahawan itu sebagai contoh dan tidak menjadikan untuk berjaya,” katanya.

Pada majlis sama, Aliff Syukri turut memberikan penghargaan melalui barangan kosmetik dan wang tunai kepada pelajar-pelajar dan guru yang sporting, berkeyakinan, mahu berjaya dan sebagainya ketika acara itu berlangsung.

Sheikh Hanis (kiri) bersama Aliff Syukri dan guru-guru yang pernah mengajar usahawan terkenal itu.

Pelajar kelihatan gembira dan bersemangat ketika mendengar perkongsian daripada Aliff Syukri.