PASIR MAS - Kasih guru terhadap anak muridnya diterjemahkan melalui makanan apabila mereka memasak sendiri hidangan untuk dijamu kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lemal.

Hidangan tersebut disediakan oleh 16 guru yang merupakan tenaga pengajar murid darjah enam.

Kesemua proses penyediaan makanan bermula dari membeli bahan, memasak sehinggalah mencuci pinggan mangkuk dilakukan oleh guru berkenaan secara gotong-royong.

Menariknya, hidangan itu disediakan hasil daripada wang tabungan yang dikumpul oleh guru-guru berkenaan untuk dijamu kepada calon UPSR sebagai tanda sokongan kepada mereka.

Guru Besar, Zakaria Sulaiman berkata, penyediaan makanan itu telah dimulakan sejak hari pertama calon-calon UPSR menduduki peperiksaan awam itu.

"Ini merupakan inisiatif yang diambil oleh pihak sekolah dalam mengukuhkan lagi hubungan antara guru dengan murid," katanya.

Menurutnya,  program berkenaan merupakan salah satu bentuk penzahiran izin ilmu dari guru kepada anak didiknya.

Katanya, beliau berharap program seumpama itu akan memberi keberkatan kepada calon UPSR sekaligus memudahkan mereka menjawab setiap soalan yang dikemukakan.

Zakaria berkata, ini merupakan tahun ke dua SK Lemal mengadakan program tersebut.

"SK Lemal cukup beruntung apabila semua guru dan ibu bapa memberikan sokongan penuh kepada perlaksanaan program berkenaan.

"Insya-ALLAH kita berhasrat menjadikan program ini sebagai acara tahunan setiap kali musim peperiksaan UPSR," katanya.

Menurutnya, seramai 84 calon menduduki peperiksaan tersebut yang dijangka berakhir esok.