Akademi Bola Sepak Ijok Kids kini memfokuskan kepada  latihan bagi membuat persiapan rapi untuk dua pasukan bawah 16 tahun berdepan Kejohanan Terbuka Bola Sepak Kolej Vokasional Kuala Selangor 2018.

Jurulatih Kelab Ijok Kids, Amri Yasin berkata, kejohanan itu dijangka diadakan pada 8 Ogos depan.

Menurutnya, persiapan rapi perlu bagi membolehkan pemain beraksi cemerlang.

"Penyertaan dalam kejohanan terbuka seumpama ini memberi kelebihan kepada pemain meskipun mereka masih muda kerana ramai yang berusia bawah 16 tahun.

“Tetapi faktor umur bagi saya bukannya halangan kerana jika melihat rekod penyertaan kejohanan terbuka sebelum ini, mereka mampu mempamerkan aksi cemerlang.

“Sebagai contoh, kejohanan terbuka yang diadakan di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada Jun lalu membolehkan dua pasukan mara ke peringkat separuh akhir,” katanya.

Amri menegaskan, latihan yang dijalankan setiap hujung minggu di Padang Bola Akademi Ijok Kids Bukit Badong bertujuan untuk memastikan setiap pemain berada dalam posisi bersedia.

“Kita mahu tingkatkan keupayaan diri dan keyakinan pemain apabila berdepan dengan pasukan lebih berusia supaya mereka tidak hilang fokus dan pada masa sama, beraksi mengikut strategi yang diajar.

“Kita juga bawa pasukan ini untuk perlawanan persahabatan supaya mereka dapat beraksi lebih baik dan masing-masing perlu tahu kekuatan diri dalam posisi yang ditetapkan.

“Sudah tentunya kita mengharapkan penyertaan dua pasukan Ijok Kids ini nanti dapat menempatkan diri di kedudukan terbaik ranking kejohanan terbabit,” katanya.

Katanya lagi, Klinik Bola Sepak Ijok Kids juga diadakan tiga kali dalam tempoh setahun bagi membolehkan pemain berkongsi ilmu dengan bekas pemain handalan negara.

“Kita berusaha untuk mencari bekas pemain veteran yang sudi berkongsi skil kemahiran, tips kecergasan demi menguatkan semangat pemain muda untuk mempamerkan keupayaan diri.

“Setakat ini, kita pernah panggil bekas pemain negara seperti Anuar Abu Bakar, Azhar Sharif, Sharif Majid dan perancangan masa terdekat, mungkin akan panggil selebriti Asmawi Bakiri.

“Penglibatan secara langsung ini dilihat dapat menyuntik semangat pemain Ijok Kids untuk bermain dengan lebih cemerlang dan tidak mengenal erti putus asa,” katanya kepada Sinar Harian.