BENTONG - Memahami kekangan kewangan dihadapi keluarga, seorang murid tahun dua sanggup memakai pakaian lama untuk ke sekolah pada sesi persekolahan awal Januari lalu.

Kanak-kanak lelaki, Sena Tang , 8, itu malah faham ayahnya juga tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli keperluan persekolahan yang baharu untuknya.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lentang di sini, bagaimanapun sudah mampu tersenyum apabila terpilih antara 30 penerima sumbangan kelengkapan sekolah pada Program Tumpangan Sambil Belajar Tengku Hassanal Ibrahim Shah Tengku Abdullah peringkat Bentong, di sini, semalam.

Sena berkata, dia bersyukur sumbangan diterimanya melalui program dengan kerjasama Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu Bentong (JCMB) dan pelbagai agensi juga dilihat meringankan beban kedua ibu bapanya.

“Saya sangat seronok dan teruja sebab terpilih terima sumbangan ini dan sangat bersemangat untuk mulakan sekolah tahun ini. Lagipun bantuan ini dapatlah ringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Seorang lagi penerima, Angelina Tang, 13, berkata bantuan tersebut sekali gus menyuntik semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Pendapatan bapa tak seberapa dengan mencari hasil hutan sebab keluarga kami tak mampu untuk beli kelengkapan persekolahan yang baru.

“Saya gembira penerima sumbangan pakaian sekolah, kasut sekolah dan alat tulis ini jadi perbelanjaan untuk keperluan ini  boleh guna untuk   bayaran yuran sekolah,” katanya.

Bapa mereka, Tang Ah Wan, 46, berkata, dia mempunyai lima anak berumur 8 hingga 16 tahun dan kesemuanya masih bersekolah dan dia bersyukur kerana dua anaknya menerima sumbangan daripada program tersebut.

“Setiap kali sekolah nak buka memang banyak duit nak kena pakai dan saya perlu sediakan kira-kira RM200 setiap seorang. Lega rasanya, bila diberitahu dua anak saya terpilih menerima bantuan persekolahan daripada Tengku Hassanal.

“Saya amat berterima kasih kepada Tengku kerana beri sumbangan yang dapat dinikmati anak-anak untuk ke sekolah nanti. Saya harap bantuan ini diteruskan dan diperluaskan lagi supaya ibu bapa masyarakat Orang Asli lain yang lebih memerlukan berpeluang merasa bantuan sama,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini, kelmarin.

Seramai 15 pelajar sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah dari Kampung Orang Asli Sungai Miak telah menerima sumbangan kelengkapan sekolah yang turut dihadiri Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang Johari Alwi dan Pengerusi Pengerusi Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu Bentong (JCMB), Datuk Jasvir Singh Ram Singh.

 

Semangat majukan diri, tak disisihkan

DALAM pada itu, Johari berkata, pelaksanaan program itu memberikan semangat kepada orang masyarakat orang Asli supaya sentiasa majukan diri dan tidak tersisih daripada kemajuan.

Menurutnya, pihaknya yakin penduduk kampung teruja dengan kehadiran Tengku Hassanal ke kampung mereka kerana seramai 200 penduduk sanggup tinggalkan rumah untuk datang berjumpa dengan Tengku.

“Ini program kali pertama Tengku bersama masyarakat orang Asli di daerah ini dan Yang mulia Tengku banyak memberi semangat kepada orang kampung supaya sentiasa majukan diri terutamanya dalam bidang pendidikan dan juga ekonomi serta infrastruktur dan sebagainya

“Saya yakin jika Tengku terus hadir ke perkampungan orang Asli , ianya akan memberi kesan yang besar terhadap semangat masyarakat Orang Asli dan kita di Jakoa sentiasa membantu orang Asli untuk meningkatkan taraf hidup dan memartabatkan hidup Orang Asli.

Tambahnya, bantuan berupa kelengkapan persekolahan itu diharap dapat memberikan semangat kepada masyarakat orang Asli agar terus berminat untuk mempelajari ilmu sehingga berjaya ke menara gading.

Sementara itu, Datuk Jasvir yang lebih dikenali sebagai JC berkata dirinya berbangga kerana dapat bersama-sama menggerakkan program tersebut demi membantu dan menceriakan masyarakat di daerah ini.

“Kami daripada JCMB sangat berbangga dapat menyertai program tersebut dan kami sungguh teruja dapat berjumpa dan beramah mesra dengan Tengku buat kali pertama.

“Tengku seorang yang amat peramah dan kami lihat masyarakat dan penerima sumbangan sangat teruja kerana mereka berpeluang berjumpa dengan anak Pemangku Raja Pahang dan jika diberikan peluang untuk bersama menerajui program, kita pasti akan bersama-sama demi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di daerah ini,” katanya.

Jasvir berkata, dirinya juga ingin mengucapkan berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob kerana banyak memberinya peluang untuk membantu masyarakat di sini dan akan terus berusaha untuk sentiasa memberikan tumpuan dalam membantu masyarakat memerlukan khususnya golongan miskin.