Putrajaya - Ibarat menerima bonus berganda. Itulah reaksi rata-rata guru mengenai pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang dibuat jam 3.30 petang tadi.

Dalam sidang media yang berlangsung di Dewan Za'ba, Kementerian Pendidikan petang tadi, beliau membuat pengumuman besar mengenai Dokumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2).

"Selaras dengan janji PH iaitu untuk meringan kan beban guru.. saya membuat keputusan untuk memberhentikan siri audit yang sedang dijalankan oleh pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) berkuat kuasa serta merta demi maslahat para guru di seluruh negara.

"JNJK  hanya akan meneruskan sesi latihan dan bimbingan yang diperlukan sahaja. Saya harap ia memberikan khabar gembira buat semua guru," katanya.

Dr Maszlee berkata, sejak dilantik menjadi menteri pendidikan beliau dibanjiri rayuan, keluhan, rintihan guru termasuk yang telefon menangis-nangis sama ada melalui media sosial, WhatApps dan facebook.

"Kami mendengar keluhan ini dan cuba untuk memahami serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk apa yang dilalui.

"Sempena hari raya ini kita buat pengumuman besar mengenai SKPMg2," katanya.

Kata beliau, SKPMg2 dihasilkan dalam usaha memastikan kelangsungan transformasi pendidikan negara selaras dengan keperluan pendidikan bertaraf global namun proses audit untuk
verifikasi pengisian data bagi 2017 menyebabkan banyak salah faham dan kegelisahan dalam kalangan guru.

"Saya mahu bebanan tugas guru dikurangkan  agar mereka boleh memberi tumpuan yang lebih kepada usaha mendidik murid terutama dalam membentuk sahsiah dan tahap keilmuan mereka," katanya.