Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh mengambil langkah proaktif meningkatkan motivasi calon peperiksaan dengan melaksanakan Program Cendekia, Sahsiah dan Intelek (CSI) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2018, di sini, baru-baru ini.

Program pelancaran yang dikelola sepenuhnya oleh Jawatankuasa Penyelaras Program CSI dan PT3 itu diketuai oleh Rahisham Zaid Ramli dan Norharizal Baharum.

Antara pelajar yang menyertai pelancaran Program CSI di Majlis Penutupan Rasmi Reorientasi Pelajar di Dewan MRSM Gemencheh, baru-baru ini.

Pengetua MRSM Gemencheh, Maznan Maamor dalam ucapannya berkata, program berkenaan merupakan program sokongan akademik yang diberi penjenamaan semula dengan slogan ‘Beyond PKP’ bagi memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM khususnya dan memperoleh 100% A dalam PT3.

“Oleh itu, kita harap agar calon SPM dan PT3 pada tahun ini dapat mencapai gred purata maktab yang ditetapkan. Semua calon berusaha bersungguh-sungguh mencapai kecemerlangan baik dari segi akademik mahupun hafazan al-Quran.

“Malah, melalui program ini juga kesemua calon SPM tahun ini iaitu seramai 145 orang dan PT3 seramai 180 orang akan diberikan bimbingan, semangat dan motivasi untuk meningkatkan kecemerlangan masing-masing,” katanya sempena pelancaran Program CSI di Majlis Penutupan Rasmi Reorientasi Pelajar di Dewan MRSM Gemencheh, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Adun Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa selaku perasmi program yang berlangsung sejak 1 hingga 5 Jan lalu itu.

Mohd Isam (tengah) ketika menghadiri pelancaran Program CSI di Majlis Penutupan Rasmi Reorientasi Pelajar di Dewan MRSM Gemencheh, baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Isam dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau berharap agar kesemua pelajar MRSM khususnya yang bakal menduduki peperiksaan penting akan dapat menggunakan segala peluang serta kemudahan di MRSM berkenaan bagi meningkatkan lagi kecemerlangan.

Menurutnya, dengan bimbingan guru serta program sokongan akademik yang dijalankan kesemua calon SPM dan PT3 akan dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan diduduki.