KUANTAN - Sebanyak 44 peratus daripada 8,256 murid tahun satu di daerah ini tidak mengenal huruf dan tidak tahu membaca, tahun ini.

Jumlah itu membabitkan seramai 3,677 orang, menunjukkan peningkatan berbanding 2,968 murid tidak tahu membaca dicatatkan daripada keseluruhan 8,060 murid tahun satu pada tahun lalu.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, Mohd Razali Mustaffar berkata, masalah itu satu cabaran bagi pihak sekolah dan guru-guru bagi memastikan semua pelajar terlibat mampu menguasainya.

Menurutnya, PPD menetapkan sasaran sehingga Julai, semua murid yang mengalami masalah tidak tahu membaca itu mampu menguasainya sekurang-kurang pada tahap empat iaitu mampu mengeja suku kata.

Katanya, beliau yakin sasaran sifar murid tidak mampu membaca mampu dicapai hasil kesungguhan guru besar dan semua guru-guru.

“Kita melihat ada kejayaan dicapai dalam mengatasi masalah itu berdasarkan perkembangan tahun lalu di mana daripada 2,968 murid, ia mampu dikurangkan kepada 254 orang dalam tempoh 10 bulan,” katanya di sini.

Mohd Razali berkata, keseluruhan pelajar yang mengalami masalah gagal membaca ini tidak melibatkan pelajar kurang upaya, sebaliknya dikategorikan sebagai murid normal.

“Kita cuba sedaya upaya untuk mengatasi masalah ini supaya semua murid mampu membaca dan dapat mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran dengan lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Razali berkata, 2017 merupakan tahun kecemerlangan bagi PPD Kuantan apabila keputusan peperiksaan utama menunjukkan pencapaian membanggakan.