Putrajaya - Masyarakat tidak harus menunding jari dengan meletakkan perbuatan buli yang dilakukan pelajar ke atas bahu pendidik semata-mata.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khaled melalui laman facebooknya berkata, kini bukan masanya untuk kita menunding jari tetapi perlu sama-sama mencari penyelesaian.

"Bukan masanya untuk saling menuding jari mencari salah siapa terutamanya guru di sekolah tetapi inilah masanya kita sama-sama mencari dan melaksana kaedah pencegahan.

"Masyarakat perlu menyalurkan maklumat yg proaktif bagi mengekang kejadian buli daripada berlaku atau melaporkan perbuatan buli melalui saluran yang telah disediakan," katanya.

Menurut beliau, mendidik masyarakat mengenai buli pula bukan hanya tanggungjawab pihak kerajaan, malah ibu bapa, komuniti setempat dan pihak media.

Katanya, selain itu sektor swasta, pertubuhan bukan  kerajaan dan alumni perlu bergabung atas dasar kebersamaan demi melindungi setiap ahli masyarakat.

"Tanggungjawab bagi melaksanakan hukuman terhadap pembuli (peringkat sekolah) jika didapati bersalah, kita laksanakan mengikut panduan dan peraturan sedia ada.

"Manakala bagi perbuatan yg melibatkan unsur jenayah, kita serahkan kepada penyiasatan dan tindakan lanjut pihak berkuasa. Jangan pula kita membuat penghakiman dan melaksanakan hukuman mengikut perasaan kita sendiri," katanya.

Kata Mahdzir, begitu juga dengan kes buli bersifat mental dan menggunakan aplikasi media sosial.

"Pihak PDRM pernah menasihatkan orang ramai agar tidak meyalahguna mana-mana aplikasi aplikasi untuk mengeluarkan kenyataan palsu, menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain. Sila rujuk akta berkaitan seperti Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Semoga kita semua mempunyai satu kesedaran bersama bahawa isu buli ini bersifat universal dan berkaitrapat dengan masa hadapan negara melalui pendidikan kepada generasi masa kini," katanya.