GEORGETOWN - Sebanyak 15 premis diarahkan tutup sejak minggu lalu, berikutan peningkatan kes  jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang.

Exco Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata, beberapa premis di George town dan Butterworth itu diarahkan tutup selama 10 hari bagi membolehkan pengusaha menjalankan kerja pembersihan.

Menurutnya, sehingga Ahad lalu, sebanyak 1,616 kes jangkitan HFMD direkodkan berlaku di negeri ini berbanding 1,050 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

“Penyakit ini mudah menjangkiti orang lain, terutama kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti di taska dan tadika,” katanya.

Beliau berkata, berlaku peningkatan 436 peratus berbanding hanya 11 kluster penyakit berkenaan dilaporkan berlaku pada 2017.

“Sebelum ini kita telah mengarahkan 57 fasiliti ditutup buat sementara waktu selepas pemeriksaan dilakukan.

“Setakat ini terdapat 15 fasiliti masih dalam tempoh penutupan selama 10 hari. Masing-masing melibatkan satu kelas di sekolah rendah, tadika (11), pusat jagaan kanak-kanak (1) dan lain-lain (2),” katanya.

Afif berkata, penyakit HFMD disebabkan jangkitan virus khas daripada jenis Coxcackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) merebak secara kontrak dengan air liur, peluh dan najis pesakit.

“Biasanya jangkitan ini ringan dengan gejala demam, diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

“Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit ini pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10 hari,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan yang lain.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkembangan terkini penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang sedikit mencemaskan.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu dikategorikan sebagai masih terkawal berikutan langkah kawalan bagi menanganinya yang diambil kementerian dan Pengarah Kesihatan negeri berkenaan.

“Sejak awal kes ini dikesan, saya juga telah berhubung dengan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar bagi membincangkan langkah yang boleh diambil.

“Berikutan itu, Dr Azman mengeluarkan arahan kepada semua pengarah negeri dan pengarah hospital agar mengambil langkah segera membendung gejala itu daripada terus merebak,” katanya pada majlis bersama warga kementerian itu, semalam.

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD)

Pencegahan

1. Cuci tangan dengan bersih sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas dan menukar lampin atau mencuci najis.

2. Tutup mulut dan hidung ketika batuk dan bersin.

3. Elak berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.

4. Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.

5. Jauhkan anak daripada tempat awam yang sesak (sekolah, pra sekolah, tempat mainan, pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mempunyai tanda jangkitan.

6. Disebabkan oleh virus, mudah menjangkiti kanak-kanak bawah 10 tahun.

7. Lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan mulut.

8. Merebak dengan sentuhan melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam daripada mereka yang dijangkit.

Tanda dan Gejala

1. Demam

2. Sakit tekak

3. Ulser pada tekak, mulut dan lidah.

4. Ruam dengan vesikel (lepuhan kecil 3-7 mm) pada tangan, pergelangan tangan, kaki dan kawasan lampin.

5. Vesikal lazimnya pada tapak tangan dan tumit kaki dan ia antara ciri kemunculannya.

6. Sakit kepala.

7. Hilang selera makan.

Komlikasi

1. Biasanya bersifat sederhana dan ruam boleh sembuh dalam masa lima hingga tujuh hari.

2. Ada kes didapati berbahaya apabila melibatkan sistem saraf dan jantung.

Rawatan

1. Tiada rawatan khusus.

Sumber: Portal MyHealth