KUALA SELANGOR - Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan lagi kecemerlangan murid sejak awal tahun ini. Guru Besarnya, Shahidan Said berkata, sudah menjadi harapan pihak sekolah untuk melihat pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini lebih baik berbanding tahun sebelum ini.

“Pihak kami sasar seramai lapan orang capai 6A selain sasaran Gred Purata Sekolah (GPS) 2.50.

“Pelbagai program juga dianjurkan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seperti Kem Transformasi Juara Tahun 6, Kem Perkampungan Ilmu Siri 1 dan 2 serta gerak gempur. Pada masa sama, kami ada buat dialog prestasi bersama ibu bapa, bengkel menjawab UPSR, motivasi dan lawatan sambil belajar bagi menyuntik semangat untuk lebih berjaya.

“Paling penting, kami mahukan yang terbaik untuk yang terbaik dan semoga semua calon dapat menjawab soalan dengan baik,” katanya.

Shahidan bantu mengasah pensil seorang calon di dataran perhimpunan, semalam.

Sementara itu, Shahidan berkata, persediaan awal calon cukup penting bagi membolehkan mereka menjawab soalan dengan sempurna sepanjang tempoh empat hari bermula semalam. Katanya, persediaan alat tulis sempurna cukup penting sebagai ‘senjata’ untuk berdepan peperiksaan sekali gus memudahkan mereka menjawab dengan tenang.

“Kami juga akan pastikan setiap murid mempunyai set alat tulis lengkap sebelum masuk ke dewan peperiksaan supaya mereka tidak terganggu,” katanya.

Usaha tingkat pencapaian

Sementara itu, SK Seri Pristana, Saujana Utama dan SK Sungai Burong, Tanjong Karang masing-masing menaruh harapan besar untuk melihat sasaran murid cemerlang 6A meningkat berbanding tahun lepas.

Guru Besar SK Seri Pristana, Zazaluma Harun berkata, pihaknya sentiasa mendoakan sekolah ini beroleh kejayaan cemerlang dengan peningkatan GPS 2.46.

“Berbanding GPS 2.59 tahun sebelum ini, kami berusaha untuk meningkatkan pencapaian cemerlang dengan sasaran 15 murid untuk keputusan penuh 6A dengan jumlah keseluruhan 275 calon.

Zazaluma turut memberikan kata semangat kepada calon UPSR, semalam.

“Tahun lepas, kita peroleh enam murid untuk keputusan cemerlang 6A dan tahun ini, kita sasarkan 15 orang dengan harapan peratusan meningkat kepada 91.53 peratus berbanding 86.53 peratus tahun terdahulu.

“Pendekatan pihak sekolah sentiasa mengadakan dialog prestasi dengan guru tahun 6 supaya kelemahan dan kekuatan calon dapat dikenal pasti sekali gus dapat diperbaiki sehingga peringkat akar umbi.

“Pemuafakatan dengan ibu bapa juga penting dan bersama mereka mengadakan 'study group' dalam program The Champion, Kelas Aspirasi dan program mentor mente,” katanya.

Calon UPSR SK Seri Pristana menikmati juadah makanan yang disediakan PIBG ketika waktu rehat.

Lebih menarik katanya, semua perbelanjaan makan dan minum calon UPSR sepanjang tempoh peperiksaan empat hari ditanggung sepenuhnya PIBG SK Seri Pristana.

“Saya juga bersyukur apabila semua calon UPSR juga dapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam apabila menyumbangkan alat tulis bersama Damia Optical Saujana Utama,” katanya.

Calon UPSR jadi anak angkat

Guru Besar SK Sungai Burong, Abdul Rahman Marhaban turut berkongsi inisiatif pihak sekolah untuk menjadikan calon UPSR sebagai anak angkat guru supaya persiapan berdepan peperiksaan lebih rapi.

“Selain melaksanakan Program Champion melibatkan lima murid setiap malam selepas percubaan UPSR tempoh hari, kelas tambahan turut diadakan di rumah Guru Penolong Kanan Ko Kurikulum.

Abdul Rahman memberikan restu kepada calon UPSR sekolahnya.

“Untuk tahun ini, calon UPSR seramai 60 orang dan saya menyasarkan dua orang untuk meraih keputusan cemerlang 6A dan jika lebih dari sasaran, itu menjadi bonus buat sekolah.

“Usaha pihak sekolah tidak pernah berhenti dan kami berusaha meningkatkan kecemerlangan murid dengan pelbagai program bersama ibu bapa sebab kami mahukan semuanya cemerlang,” katanya.

Seramai 246 calon UPSR SK Dato Maharaja Lela mengaminkan doa sebelum memulakan peperiksaan semalam.