Shah Alam - Minat Mohd Faiz Subri dalam bola sepak dipupuk ketika di darjah dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Laksamana, setelah menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Teknik Arau, Perlis minatnya itu tak pernah padam.

Pada awalnya dia hanya bermain bola sepak di kawasan sawah padi di kampungnya di Ayer Hitam, Jerlun, Kedah.

Berkat kesungguhan yang tidak pernah kenal putus asa akhirnya impian untuk menjadi pemain bola sepak Kedah tercapai selepas SPM, iaitu pada usia 18 tahun.

Ketika itu beliau terpilih mewakili Kedah pada saingan Piala Presiden. Karier profesionalnya bermula pada 2010 setelah dipilih menyertai skuad Perlis selama dua tahun bagi posisitengah sebelum berhijrah ke pantai timur untuk menyertai T-Team pada 2012, dan Kelantan (2013-2014).

Karier Mohd Faiz memuncak apabila menyertai skuad Pulau Pinang sejak 2015. Beliau juga pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan pada 2012, 2013 dan 2015.

Mohd Faiz mempunyai dua anak iaitu Akif Fayyadh, 5, dan Muhammad Aqil Zayyan, lapan bulan hasil perkahwinan dengan Norzawanis Hashim, 29.

Sementara itu, rakannya, Abu Bakar Zakaria, 37, tidak menyangka teman sepermainan zaman remaja dahulu, kini jadi perhatian dunia dek jaringan tersebut.

“Fenomena yang melanda Mohd Faiz membuka mata semua pemain bahawa sesiapa sahaja boleh menyinar ke peringkat tertinggi dengan usaha berterusan,” katanya.

Dari seorang budak kampung kini menempa nama di peringkat dunia dan membawanya ke Zurich untuk menerima Anugerah Puskas Fifa 2016.

Jaringan tercantik penyerang Pulau Pinang itu, membolehkan beliau bersama-sama penerima anugerah seperti bekas pemenang gol tercantik dunia, Cristiano Ronaldo (2009) dan Neymar pada 2012.

Biarpun belum menyarung jersi kebangsaan, namun pencapaian pemain berusia 29 tahun itu lebih bermakna apabila muncul pemain pertama Asia menerima anugerah tersebut.

Mohd Faiz melakukan jaringan disifatkan ‘melanggar hukum fizik’ ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Februari 2016.