KUALA NERANG - Seramai 20 murid Tahun Enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Palas menyertai Program Latihan Keselamatan bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) di dewan sekolah itu, baru-baru ini.

Penyelaras program, Rohani Mokhtar berkata, tujuan kursus itu diadakan bagi memberi pendedahan ilmu kecemasan serta melatih murid menjadi seorang penyelamat pada masa akan datang.

“Program ini mahu melahirkan murid yang prihatin serta berkemampuan memberi khidmat awal terutamanya semasa berlakunya kecemasan.

Murid juga perlu berperanan sekurang-kurangnya mempunyai asas untuk membantu mangsa kemalangan sebelum pihak berkuasa datang untuk memberi bantuan selanjutnya.

“Di antara modul yang diajar pada kursus ini ialah pengenalan pertolongan cemas.

Pada program ini murid diajar teknik membalut cedera di anggota badan serta memberi bantuan awal kepada mangsa.

Walaupun mereka adalah murid diperingkat rendah tetapi sekurang-kurangnya mereka didedah pengetahuan mengenai pertolongan cemas.

“Pengenalan latihan keselamatan oleh APM ini juga diharap dapat menyemai minat murid dalam bidang perubatan yang boleh memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Di samping juga dapat mengetahui tugas APM yang mencabar itu dalam memberi bantuan kepada orang ramai,” katanya.

Menurut Rohani, program tahunan itu adalah aktiviti pelajar selepas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Oktober lalu.