NIBONG TEBAL - Sekolah Kluster Kecemerlangan Pulau Pinang, Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat (SKPTM) di sini menjadi tumpuan delegasi dari Indonesia yang melakukan kunjungan muhibah di sini, semalam.

Delegasi yang disertai 100 murid, guru pengiring dan ibu bapa itu bertujuan melihat lebih dekat sistem pendidikan serta proses pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan di negara ini.

Penyelaras Majlis Kunjungan Muhibbah 2018, Farid Suwardi Mat Yusoff berkata, lawatan delegasi Indonesia ini adalah kunjungan balas selepas satu lawatan diadakan oleh delegasi Malaysia di Medan, dua tahun lalu.

Menurutnya, selain bertukar pandangan mengenai sistem pendidikan negara, para peserta rombongan itu juga dibawa ke beberapa lokasi menarik di negeri ini yang menjadi tumpuan. pelancong serata dunia.

“Program selama empat hari ini diadakan bukan sahaja bertujuan ingin memperkenalkan sistem pendidikan kita, malah mereka juga berpeluang melihat gaya hidup serta budaya masyarakat kita.

“Selain itu, tujuh sekolah di sekitar daerah ini turut menjalinkan kerjasama pintar dengan Dinas Pendidikan Kota Medan bagi melaksanakan pelbagai program lagi pada masa akan datang,” katanya di sini, semalam.

Hadir merasmikan program berkenaan, pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Foad Mat Isa.

Wakil delegasi Indonesia, Paujia Rusmini berkata, lawatan ini dapat memberi pendedahan berguna selain mengeratkan lagi hubungan dua negara.