PORT DICKSON - “Anak saya kata dia kenal penculik tu,” kata Fazil Abdullah, 35, bapa kepada kanak-kanak berumur 10 tahun yang diculik selepas kediamannya di kuaters kakitangan Politeknik Port Dickson (PPD) diceroboh awal pagi kelmarin.

FAZIL

Menurutnya, dia hanya mengetahui perkara itu ketika dapat berjumpa seketika dengan anaknya.

“Malam semalam (kelmarin) saya dapat jumpa anak kejap saja sebab dia masih bawah pengawasan dan siasatan polis. Anak saya kata, dia kenal lelaki yang culik dia, itu saja yang sempat saya tanya. Selebihnya tak dapat nak tanya, polis tak benarkan khuatir akan mengganggu siasatan.

“Anak saya pun ada cerita, masa kejadian tu dia dikejutkan dan diacukan pisau, ada kain. Selepas tu dia dibawa keluar rumah ikut pintu belakang.

“Berjalan keluar dari kawasan politeknik, ikut laluan tikus, ada pagar yang dah berlubang besar dan kemudian baru naik kereta sebelum dibawa ke satu tempat. Jaraknya dari politeknik sekitar 15 minit,” katanya.

Fazil berkata, dia menaruh sepenuh kepercayaan kepada siasatan polis dan yakin pihak berkuasa mampu menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat.

“Polis buat kerja memang sangat cekap, kemudian dibantu rakan saya dan juga selepas kes ini jadi tular di media sosial saya rasa penculik tu jadi takut, mungkin dia pun dapat WhatsApp yang tular tentang kehilangan anak saya.

“Jadi dia tak dapat lari jauh,semula anak saya. Saya juga yakin polis akan dapat kesan dan tangkap suspek.

“Tapi sampai sekarang saya tak tahu apa motif orang tu culik anak saya,” katanya.

Fazil juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan anaknya.

“Malam semalam (kelmarin) lepas selesai solat Isyak dan hajat di Masjid Warisan Telok Kemang, buka WhatsApp tengok ada mesej beritahu anak dah jumpa dan berada di balai (Balai Polis Telok Kemang), saya dengan jemaah lain terus ke sana.

“Saya tengok anak dalam keadaan ketakutan dan pergelangan tangan serta kakinya sedikit bengkak, ada kesan diikat tali,” katanya.

Suasana di Balai Polis Telok Kemang selepas penemuan semula kanak-kanak terbabit.

Bapa kepada dua anak ini berkata, kelmarin, sepanjang tempoh kehilangan anaknya, fikirannya tidak tenteram.

“Memang sangat risau, lebih-lebih lagi anak saya ni penghidap asma, perlu sentiasa bergantung kepada 'inhaler'.

“Macam-macam saya fikirkan, tapi saya yakin anak saya akan selamat dan Alhamdulillah malam semalam (kelmarin) keresahan saya tu berakhir,” katanya.

Jelasnya, beberapa hari sebelum insiden ini, anaknya ada memaklumkan dia melihat kelibat orang di tingkap rumahnya.

“Tapi saya ambil tak endah, sebab dari dulu lagi sejak lima tahun kami tinggal di sini. Memang ada makhluk halus, dia tak mengacau, tapi kadang-kadang nampak kelibat.

“Tapi tak sangka pula, macam ni jadinya, mungkin penculik tu dah lama perhatikan rumah ni,” katanya.

Lagi berita lanjut...

Lelaki ditahan bantu siasatan

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang berlaku di kuaters kakitangan Politeknik Port Dickson, pagi kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah yang juga Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Deputi Superintendan Rujiman Ogus berkata, lelaki terbabit ditahan di kawasan berhampiran politeknik beberapa jam selepas kanak-kanak perempuan itu ditemui semula malam kelmarin.

“Penahanan lelaki itu untuk membantu siasatan dan kita akan menyiasat dari semua sudut.

“Buat sementara waktu, kanak-kanak perempuan tersebut kini berada di Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan sedang diberikan kaunseling serta rawatan yang sewajarnya. Dia masih dalam keadaan trauma.

“Malah polis juga masih lagi belum berpeluang mendapatkan maklumat penuh tentang kejadian daripada kanak-kanak terbabit,” katanya.

Terdahulu, kanak-kanak terbabit disedari hilang oleh ibunya ketika mahu mengejutnya bangun untuk ke sekolah sekitar jam 6.45 pagi kelmarin.

Bagaimanapun sekitar jam 9 malam hari yang sama, kanak-kanak itu ditinggalkan di tepi jalan berhampiran pondok pengawal politeknik dipercayai oleh individu yang menculiknya.

Mangsa culik merintih panggil ibu

AYU ASLINDA

"Ibu, ibu, ibu." Kanak-kanak perempuan mangsa culik memanggil ibu saudaranya yang digelar ibu sambil menangis ketika berpeluang menghubungi telefon Ayu Aslinda Abdullah, 44.

Menurut Ayu Aslinda dia rasa panggilan itu dibuat beberapa minit sebelum anak saudaranya ditinggalkan berhampiran kedai makan bertentangan dengan pondok kawalan kawasan kediaman keluarganya, di kuarters kakitangan Politeknik Port Dickson sekitar jam 9 malam iaitu selepas hampir 17 jam hilang.

“Saya angkat telefon, dengar suara lelaki dan dia hanya bertanyakan ni siapa?, dengan nada suara yang agak kasar.

“Saya jawab Linda, lepas tu terus telefon diberi pada anak saudara saya dan dia panggil ibu beberapa kali sebelum panggilan ditamatkan.

“Suasana di sana ada dengar beberapa lagi suara lelaki lain dan kenderaan lalu-lalang,” katanya sambil memaklumkan panggilan itu dibuat ke talian tetap di rumahnya.

Ayu Aslinda berkata, dia memang terkejut menerima panggilan tersebut.

“Memang akak agak panik ketika tu, kemudian terus hubungi polis, dan polis maklumkan anak saudara akak baru saja ditemui ditinggalkan di depan politeknik.

“Saya dari rumah (Telok Kemang) terus ke politeknik, saya dakap dia. Keadaannya sangat ketakutan dan hanya menangis dan menangis,” katanya.

Tambahnya, kanak-kanak itu dibawa ke Balai Polis Telok Kemang dan ke hospital.