JOHOR BAHRU - Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 2, di sini mengambil inisiatif mewujudkan dusun dalam sekolah sebagai salah satu usaha menyokong matlamat melahirkan masyarakat rendah karbon.

Pengetua SMK Taman Johor Jaya 2, Nik Hasni Nik Mahmood berkata, usaha itu juga sebagai langkah memupuk budaya cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan.

Katanya, menerusi projek itu, mereka memanfaatkan kawasan tanah lapang di sekolah dengan menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan.

“Kita tidak memberi fokus terhadap satu tanaman sahaja kerana projek ini bukan bertujuan untuk berniaga, sebaliknya kita mahu mengusahakan pelbagai pokok buah-buahan seperti nangka madu, pisang, betik dan durian.

“Langkah ini sebagai menyahut inisiatif masyarakat rendah karbon, kita berusaha memperindah kawasan sekolah dengan pokok buah-buahan. Ia bukan sahaja mencantikkan landskap malah hasilnya juga dapat di kongsi bersama dengan seluruh warga SMK Taman Johor Jaya 2.

“Pelajar akan meluangkan masa mengusahakan dusun dalam sekolah pada sesi kokurikulum, malah kita juga tidak mengehadkan projek ini kepada kumpulan pelajar yang mengambil subjek pertanian kerana ia bertujuan menerap kefahaman mereka terhadap usaha tersebut,” katanya.

Pelajar SMK Taman Johor Jaya 2 menyerahkan sebahagian hasil tanaman yang terdapat di dusun sekolah berkenaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri
Mohamed Khaled Nordin sempena Mesyuarat Agung PIBG, SMK Taman Johor Jaya 2, baru-baru ini.

 

Nik Hasni berkata, pihaknya berharap menerusi usaha itu pelajar akan dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi dan mengamalkan sebagai rutin di rumah bersama keluarga.

“Kita sedar, pelajar sekolah ini tinggal di kawasan bandar yang dikelilingi dengan perindustrian, jadi usaha mereka menanam pokok ini bukan sahaja menghijaukan persekitaran dalam masa yang sama mereka juga dapat mengenal jenis-jenis tanaman yang ada.

“Selain menanam pokok, kita juga mengadakan pelbagai program dalam usaha memelihara alam sekitar termasuk aktiviti kitar semula yang turut melibatkan penyertaan daripada ibu bapa,” katanya.

Antara tanaman yang terdapat di dusun dalam sekolah SMK Taman Johor Jaya 2.

Pokok limau kasturi yang ditanam bersebelahan kantin SMK Taman Johor Jaya 2.