KUANTAN - Seorang murid tahun empat di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di sini maut, dipercayai didera ibu kandung di Permatang Badak Maju di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, wanita berusia 29 tahun itu dikatakan membuat panggilan kecemasan menghubungi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana mendakwa anaknya tidak sedarkan diri di rumah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, pihak hospital menghantar ambulans ke rumah wanita terbabit dan cuba memberi pertolongan cemas namun gagal, sebelum murid itu dibawa ke HTAA bagi menerima rawatan.

"Setibanya di hospital, doktor yang menjalankan pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia.

"Hasil pemeriksaan luaran juga terdapat kesan pada badan mangsa, dipercayai didera iaitu kesan lebam di pergelangan kaki, belakang badan, pinggang, punggung, di bawah ketiak kanan dan siku kiri serta kesan melecur pada bahagian kemaluan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Kecemerlangan Kor Kadet Polis Pahang 2018, semalam.

Rosli berkata, satu laporan polis turut dibuat HTAA jam 3.48 petang bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Menurutnya, suspek ditahan di HTAA selepas panggilan dibuat pihak hospital.

"Berdasarkan siasatan awal, polis mengesyaki ibu mangsa mengetahui keadaan mangsa sebelum ini, kerana terdapat kesan ketara pada tubuh badan mangsa.

"Mangsa anak pertama dan ada adik lelaki berumur 8 tahun, tinggal bersama ibu bapanya. Bapa mangsa bekerja sambilan jual kereta terpakai dan pemandu Grab, manakala ibu mangsa ambil upah jaga tiga kanak-kanak di rumahnya," katanya.

Beliau berkata, pihak polis akan memanggil keluarga mangsa untuk siasatan menyeluruh.

Menurutnya, laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa disebabkan pendarahan esofagus atau salur makanan yang berkemungkinan disebabkan oleh pecah atau ulser.

"Terdapat juga banyak kesan parut lama dan luka baru di bahagian kepala dan seluruh anggota badan, berkemungkinan disebabkan oleh penderaan.

"Selain ibu mangsa, turut ditahan bapa mangsa berusia 30 tahun dan kedua-duanya kini dikenakanperintah reman oleh mahkamah sehingga 16 Julai untuk siasatan lanjut," katanya.