SEBERANG TAKIR - Tanpa sebarang tanda atau pesan, semalam menjadi khidmat terakhir bagi seorang guru di Sekolah Menengah Agama (SMA) Marang apabila didapati meninggal dunia di bilik guru sekolah itu tengah hari semalam.

Allahyarham Mohd Nasir Harun, 53, merupakan guru Bahasa Inggeris ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dipercayai akibat serangan jantung.

Difahamkan, sebelum itu arwah ada memberitahu rakan guru yang lain bahawa dia ingin berehat sementara menunggu kelas berikutnya.

Bagaimanapun, setelah agak lama rakan guru yang turut berada di bilik berkenaan cuba untuk mengejutkan arwah kira-kira jam 12.30 tengah hari, namun didapati mangsa tidak memberi tindak balas.

Pihak sekolah kemudian menghubungi pasukan perubatan untuk pemeriksaan lanjut sebelum pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin ketika ditemui turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan menghargai jasa arwah sepanjang 31 tahun berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris.

“Arwah amat disukai pelajar kerana kemesraannya selain disifatkan sebagai seorang guru yang baik dan pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar kepada sekolah dan JPNT.

“Pihak sekolah turut menghantar sebuah bas bersama pelajar untuk bersama keluarga dan sembahyang jenazah sebelum dikebumikan,” katanya.

Dalam pada itu, kakak arwah, Hasnah Harun, 66, berkata, arwah tidak menunjukkan sikap pelik cuma ada memberitahu sakit di bahagian dada dan belakang beberapa hari sebelum kejadian selain mengadu keletihan.

“Setahu saya arwah memang tak ada sebarang penyakit kronik, cuma sesekali ada diserang gout, tapi tadi (semalam) dia ke sekolah macam biasa.

“Dalam waktu tengah hari kami terima panggilan memaklumkan arwah telah pergi selama-lamanya. Kami adik-beradik terkejut sebab tak sangka dia akan pergi meninggalkan kami terlebih dahulu,” katanya yang turut memaklumkan arwah merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik.

Sebelum itu, jenazah di bawa ke rumahnya di Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan kira-kira jam 5.15 petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Banggol Pauh.

Lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, rakan sekerja dan pelajar SMA Marang hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah.