TEMERLOH - Hanya dengan menghantar satu keratan akhbar semalam, seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Belenggu menjadi pengunjung paling bertuah apabila membawa pulang sebuah pacuan empat roda Ford Ranger 2.2 L XLT pada perasmian Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh.

Lebih manis, hadiah utama pengunjung bertuah MSAM itu disampaikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan hadirin pada perasmian program di atas pentas utama Dewan Tun Razak.

Adli Daud, 41, bapa kepada empat anak itu pada mulanya gementar sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada penganjur mengenai kejayaan itu.

Guru Matematik dan Pendidikan Jasmani itu berkata, dia menerima panggilan telefon semasa waktu rehat di sekolahnya yang memaklumkan, dia antara lima pemenang yang berpeluang memenangi hadiah sempena MSAM 2017.

“Isteri saya yang galakkan saya masuk peraduan ini, dia cakap saya bertuah. Pagi tadi (semalam) saya hantar empat keratan akhbar atas nama saya, isteri dan dua anak.

“Keratan akhbar saya ambil dari sekolah yang melanggan akhbar setiap hari, tak sangka menang hadiah utama,” katanya yang berasal dari Kelantan itu.

Adli turut menganggap kejayaan itu rezeki anak keduanya Adam Mirza, 10, yang dilahirkan sindrom down.

Najib menyampaikan hadiah cabutan bertuah sebuah kereta Ford Ranger kepada Adli sempena perasmian MSAM 2017 di Dataran Temerloh, semalam. 

Menurutnya, sejak anak keduanya itu lahir, dia dimurahkan rezeki dan kerap menang apabila ada cabutan bertuah.

“Sebelum ini saya menang sebuah televisyen pada 2011, dalam peraduan SSP BSN, kalau cabutan bertuah hari keluarga tu memang selalu dapat hadiah cabutan bertuah,” katanya.

Adli berkata, dia akan memikirkan bersama isterinya Nurul Fadilah Zainal Abidin untuk menjual salah sebuah kereta lain miliknya, kerana akan mengguna pakai Ford Ranger yang baharu dimenangi.

“Saya tak pernah dapat salam dengan PM, jadi bila terima hadiah daripada beliau, sangat teruja,” katanya.

MSAM 2017 yang berlangsung selama enam hari bermula semalam, dirasmikan Najib.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Datuk Abdul Wahid Omar.

Program berkenaan menawarkan pelbagai hadiah menarik itu menyebabkan jualan akhbar begitu laris berikutan syarat penyertaan yang mahukan keratan akhbar terpilih disertakan dalam
setiap penyertaan.