SABAK BERNAM - Seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar sempat menanda kertas jawapan dan menyiapkan analisa awal kertas soalan fizik semester dua pelajar tingkatan empat sebelum disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Terusan Utama Parit 4, Sungai Besar, awal pagi semalam.

Namun difahamkan, mangsa, Khairul Anuar Salim, 30, telah memuat naik status di laman sosial Facebooknya menunjukkan analisa peratusan pencapaian pelajarnyadi dua kelas berasingan tingkatan empat pada jam 10.27 malam, Sabtu lalu.

“Tiada pelajar gagal. Good job,” tulisnya dalam status yang dimuat naik arwah ketika berada di Tampin, Negeri Sembilan.

Khairul Anuar yang memandu bersendirian Perodua Myvi dilaporkan hilang kawalan lalu masuk ke kiri jalan dan merempuh pokok kelapa sawit, kira-kira jam 7 pagi semalam.

Arwah yang dalam perjalanan ke MRSM Sungai Besar setelah bercuti hujung minggu di kampungnya di Tampin, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Sangat mesra, suka bergurau

Rakan rapat Allahyarham, Amirul Hadi Jamaludin, 31, berkata, dia masih terkejut dengan kehilangan Khairul Anuar yang dikenalinya sejak tahun 2012.

“Saya kenal Khairul Anuar sejak arwah bertugas di MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan dan saya pula di MRSM Besut, sehinggalah kami berkhidmat di sini (MRSM Sungai Besar),” katanya.

Amirul Hadi turut menyifatkan arwah seorang yang mesra dan suka bergurau.

“Khairul Anuar adalah penggerak debat MRSM Sungai Besar dan beliau pernah menerima anugerah sebagai pendebat Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia suatu ketika dulu,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia menemui arwah ialah sewaktu mereka menghadiri majlis persaraan pengetua mereka, Jumaat lalu.

“Tiada apa-apa perubahan pada raut wajah arwah dan beliau kelihatan ceria sepanjang majlis berlangsung,” katanya.

Rakan setugas asrama Allahyarham, Wan Hakim Wan Zakaria, 31, berkata, berita pemergian Khairul Anuar begitu mengejutkannya.

“Arwah juga tidak ada beritahu sama ada dia hendak balik ke kampung bercuti hujung minggu walaupun dia sering berbuat demikian sebelum ini. Lagi pun, pada hujung minggu tadi saya terlibat dengan aktiviti pengakap. Jadi, bila dapat tahu arwah meninggal pagi tadi, saya sangat terkejut,” katanya.

Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar MRSM Sungai Besar, Zeidi Zakaria pula berkata, kehilangan arwah amat dirasai seluruh warga MRSM berkenaan.

ZEIDI

Beliau berkata, Allahyarham yang mengajar subjek fizik merupakan ketua guru asrama dan antara guru yang terawal melaporkan diri di MRSM Sungai Besar yang baharu sahaja ditubuhkan pada tahun 2016.

“Antara pencapaian diraih arwah ialah berjaya bawa pasukan MRSM Sungai Besar selaku tuan rumah meraih tempat ke peringkat separuh akhir dalam pertandingan debat MRSM Se-Malaysia 2017,” katanya.

Patah tulang tengkuk

Jenazah Khairul Anuar dibawa dari HTAJ Sabak Bernam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan kejadian terbabit.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat patah tulang tengkuk utama.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini.